Kekeliruan pada maksud istilah Tawhid dan Syirik

world_hug.jpg

`Tawhid’ adalah perkataan yang berasal dari istilah `wahid’, yang bermaksud `satu’. Tawhid tidak boleh dipakaikan kepada Allah jika `tawhid’ itu kita maksudkan usaha menjadikan `satu’ akan sekelian yang `banyak’. Kerana itu kebetulan sama pula maksudnya dengan `mensyarikatkan’, yang berkaitan pula dengan istilah `syirik’.

Di dalam Quran, ALLAH melarang manusia mensyarikatkan Dia. Yakni mengada-adakan rakan-rakan kongsi kepada ALLAH, untuk menjadikan tuhan-tuhan yang lain itu sama taraf dan sama berkuasanya dengan ALLAH, seperti perkongsian kuasa rakan-rakan kongsi dalam syarikat.

ALLAH tidak ada kena mengena dengan tuhan-tuhan yang lain itu. Malahan `tuhan-tuhan’ yang diangkat dari kalangan manusia untuk diidolakan itu pada hakikatnya semuanya bertuhan dan bertuankan ALLAH belaka, kerana ALLAH sebenarnya satu-satunya Tuhan mengikut maksud istilah `tuhan’ itu sendiri. Begitulah pada kalimah Syahadah “La ilaha il-Allah” yang bermaksud “Bukan Tuhan melainkan Allah”.

Jangan diangkat atau dianggap ‘tuhan’ mereka daripada kalangan nabi dan rasul, termasuk para wali dan mana-mana alim ulamak sepertimana berlaku di kalangan orang-orang Kristian yang menganggap Nabi Isa itu `tuhan’ dan para padri seperti `tuhan’ yang diberi kuasa pengampunan lantaran sanjungan dan pendewaan yang melampau.

Jangan pula ada yang berani bertindak seperti `tuhan’ untuk mengada-adakan perintah dan hukum-hakam selain daripada yang diputuskan dari ketetapan dan perkenan Tuhan yang berdasarkan kepada Kitab ALLAH dari kalam ALLAH itu.

Begitulah, tidak ada yang lebih tuhan, kurang tuhan, atau paling tuhan seperti halnya dengan lebih tinggi, kurang tinggi, atau paling tinggi, melainkan sama ada Tuhan atau bukan Tuhan sahaja. Maka kalau yang satu itu dijadikan Tuhan, maka yang lain-lainnya itu bukanlah Tuhan lagi namanya.

Maka kesimpulannya, Tuhan itu hanyalah satu dan satu-satunya (yaitu ALLAH). Selainnya yang dipanggil tuhan itu adalah palsu (atau batil) belaka, kerana hanya ALLAH Tuhan yang Esa, Tuhan yang benar (atau haq). Selainnya itu bukanlah Tuhan untuk dipertuhankan. Walhal, yang banyak yang perlu dijadikan dan digerakkan sebagai satu dalam satu perkongsian itu sebenarnya adalah umat Manusia yang ramai ini.

Supaya kita dari keluarga besar Bani Adam ini semuanya secara bersama boleh bertindak sebagai satu keluarga dan ummah bersatu dengan semangat ikatan persaudaraan dan kasih-sayang yang tidak berkepentingan diri, tidak bertelingkah, tidak berbalah, tidak berperang dan tidak berbunuh-bunuhan sesama sendiri, tetapi untuk bersefahaman dan bertindak secara berjemaah dan bersyarikat untuk menjadikan kita lebih cekap dan berkesan untuk kehidupan yang sejahtera, aman, makmur dan sentosa.

Barangkali pemahaman popular rata-rata orang Melayu bahawa fitnah itu ialah mengadakan cerita bohong bagi tujuan jahat menjatuhkan maruah dan kedudukan seseorang di mata masyarakat harus pertama-tama diubah terlebih dulu untuk menjayakannya.

Ini lantaran pengertian fitnah yang diperihalkan ALLAH di dalam Al-Quran itu adalah lebih kepada berkaitan wujudnya senario huru-hara dan kacau-bilau dalam ummah akibat pertelingkah, perbalahan, permusuhan, peperangan dan saling berbunuhan sesama sendiri yang contohnya sedang berlaku di kalangan umat Islam antara puak Sunni dan Syiah di sesetengah negara Islam. Walhal masing-masing beriman kepada ALLAH, Tuhan yang satu, beriman kepada satu Nabi yang sama yaitu Nabi Muhammad (saw), serta beriman dan berpedoman kepada satu Kitab Allah yakni Al-Quran.

Lalu maksud Fitnah yang sebeginilah yang harus difahami, yang lalu untuk lebih kita khuatiri dan takuti, kerana berpotensi menjahanamkan jemaah dan ummah untuk harus segera ditangani atau dielakkan dari berlaku dalam mana-mana jemaah mahupun ummah.

Sayugia diingat bahawa kita semuanya berasal dari satu, yaitu Adam, yang kemudian menjadi dua apabila Allah ciptakan pasangannya Hawa. Lalu dari keluarga Adam dan Bani Adam itu lahir pelbagai cabang puak keturunan, yang salah satu darinya cabang Bani Ibrahim yang kemudian melahirkan cabang-cabang Bani Ismail dan Bani Israel.

Agama yang dibawa Nabi Muhammad (saw) yang berbangsa Arab, melalui cabang keturunan Bani Ismail dari salasilah cabang keturunan Bani Ibrahim itu bukanlah sebenarnya satu agama baru dengan nama yang baru, tetapi agama Islam yang sama dengan nama yang sama diturunkan Allah sebagai jalan petunjuk kepada Nabi Ibrahim (as). Di mana Nabi Ibrahim (as) yang menjadi bapa kepada bangsa Hebrew (atau Ibrani) itu kemudiannya mewariskan Islam kepada Nabi Ismail (as) dan keturunannya Bani Ismail.  Juga diwarisi Nabi Ishak (as) yang Nabi Ishak (as) pula mewariskannya kepada Nabi Yaakub (as), yang kemudiannya mewariskannya kepada keturunannya dari Bani Israel pula.

Doa Nabi Ibrahim (as) adalah supaya ALLAH berjanji menjadikan Islam dan tugas kenabian itu warisan Bani Ibrahim. Lalu ALLAH perkenankan permintaan Nabi Ibrahim (as) dengan pengecualian ia bukan ke atas mereka dari keturunan Ibrahim yang zalim.

Pernyataan Allah yang sedemikian menggusarkan Nabi Ibrahim (as). Lalu Nabi Ibrahim menetapkan Agama Islam menjadi satu amanat turun temurun untuk Bani Ibrahim yang dimulai dengan pesanan Nabi ibrahim (as) kepada anak-anaknya Nabi Ismail (as) dan Nabi Ishak (as) supaya janganlah mereka mati kecuali dalam Islam.

Begitulah seterusnya, sepertimana diceritakan ALLAH di dalam Al-Quran, yang Nabi Ishak (as) pula berpesanan yang serupa kepada anaknya Nabi Yaakub (as) supaya jangan mati kecuali di dalam Islam, yang kemudiannya Nabi Yaakub juga berpesan kepada anak-anaknya pula amanat yang sama supaya mereka semuanya janganlah mati kecuali dalam Islam.

Lalu menjadi amat jelas bahawa tidak ada agama lain yang ALLAH turunkan kepada para Anbiya dari kalangan Bani Ibrahim yang mencakupi Bani Ismail dan Bani Israel itu melainkan Islam.

Betul ia agama untuk orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, tetapi tidak benar untuk memanggilnya agama Yahudi ataupun agama Nasrani, kerana agama yang dibawa oleh semua para nabi dari keturunan Bani Israel itu tak lain dan tak bukan agama yang ALLAH namakannya Islam sejak dahulu lagi. Nasib baiklah Islam yang menjadi anutan majoriti orang-orang Melayu dan majoriti orang-orang Arab itu tidak bertukar namanya menjadi Agama Melayu dan Agama Arab pula.

Maka dakwah Nabi Muhammad (saw) yang dari keturunan Bani Ismail terhadap orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani dari Bani Israel itu, bukanlah sebenarnya persoalan untuk mereka bertukar agama tetapi untuk mereka kembali kepada agama Islam yang asal yang menjadi amanat dan pesanan yang diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi keluarga besar Bani Ibrahim.

surah al-Baqarah verse 62

Maka sayugia digarap bahawa perbezaannya antara fahaman umat Kristian, umat Yahudi dan umat Islam itu tidaklah lebih daripada perbezaan Mazhab, persis sepertimana berbezanya Mazhab Sunni dan Mazhab Syiah, di mana di Malaysia mazhab Syiah dianggap sesat oleh Pemerintah sebagaimana rata-rata orang-orang Islam mengkafir dan menganggap sesat pegangan penganut yang berfahaman Kristian dan Yahudi dari kalangan Ahli Kitab itu.

Walhal semuanya bertuhankan ALLAH yang sama, mempunyai nama para Malaikat yang sama, nama para Nabi dan Rasul yang sama, selain nama-nama Kitab yang serupa pula, selain percaya kepada kehidupan selepas mati, beriman kepada Hari Pembalasan. Semua sama menganjur kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan.

Lalu, yang menjadi syirik, kufur, sesat dan fasiq itu bukanlah agama tetapi penganut agama, di mana sama saja halnya mereka itu sama ada dari kalangan yang bergelar Muslim, Kristian, Yahudi, Syiah atau Sunni, dsb, lantaran tindakan membelakangkan kitab-kitab petunjuk dan tidak menghiraukan larangan dan suruhan ALLAH.

ALLAH melarang manusia dari berbuat jahat terhadap orang lain (yaitu, berhenti atau menahan diri daripada melakukan jenayah dan penganiayaan terhadap orang lain seperti mencuri, merompak, menipu, mencedera, menindas, mendera, membunuh, merogol, dsb). Allah sebaliknya menyuruh manusia berbuat baik kepada orang lain (seperti menolong, menyelamat, melindungi, memberi makan, dsb).

ALLAH juga melarang manusia daripada melakukan kejahatan terhadap diri sendiri (yaitu, melakukan maksiat seperti berzina, berjudi, minum arak, dsb), sebaliknya menyuruh manusia berbuat baik terhadap dirinya sendiri (yaitu, seperti memperbaiki akhlak, meneguhkan iman, memambah ilmu pengetahuan, dsb).

Begitulah ALLAH menciptakan kepelbagaian jemaah, puak dan ummah supaya kita semua beradu lumba di jalan kebaikan dan bukannya beradu lumba di jalan kejahatan.

Surah al-Maidah (5) Ayat 8

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s