Al-kisah di zaman dahulu di kota Baghdad hidup seorang lelaki bangsawan yang kaya-raya tinggal di rumah besar di tengah-tengah kota mempunyai tujuh orang hamba sahaya yang semuanya muda-muda belaka. Harakian Sang Tuan tetap bekerja keras walau memiliki ramai hamba sahaya yang lebih dari bersedia untuk membantunya pada bila-bila masa.
Anehnya Sang Tuan melarang semua hamba sahayanya dari melakukan sebarang kerja semasa mereka berada di rumah besarnya. Malahan Sang Tuan sendirilah yang melakukan segala kerja melayan keperluan semua hamba sahayanya sedang mereka hanya perlu duduk-duduk saja.
Bagi Sang Tuan siapa saja yang menjejakkan kaki ke rumahnyakendatipun dari kalangan hamba sahaya yang tinggal bersamanya adalah para tetamu belaka yang perlu diperlakukan seumpama seorang raja. Sang Tuan menjadikannya satu kewajipan untuk dia melayani semua mereka dengan sepantas dan secukupnya.
Pun begitu tiap seorang dari hamba sahayanya ada tugas masing-masing yang diperintahkan Sang Tuan untuk dikerjakan di luar sana.
Setiap seorang hamba sahayanya diperintah mengunjungi sebuah rumah di setiap hari bekerja secara memperhambakan diri kepada setiap ahli rumah yang ada dengan melakukan segala kerja yang diberi dengan sepuas dan secukupnya.
Begitulah halnya, hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan tahun berganti tahun, sehingga tiada sebuah rumahpun di kota Baghdad yang tidak pernah dikunjungi, dan tiadalah mana-mana ahli rumah yang tidak pernah dilayani oleh hamba-hamba sahaya Sang Tuan yang banyak berjasa kepada para jiran tetangga.
Saya rasa memanglah Si Tuan tak perlu apa2 dari hamba2nya, tapi sewaktu di rumah Tuannya, sang hamba wajib patuh disiplin yang telah digariskan oleh Tuannya, kalau tidak nanti haru-biru jadi rumah tuannya, maklumlah masing2 hamba datang dari pelbagai latar belakang, wajib ada sesuatu disiplin yang dilakukan berulang-ulang bagi menghormati Tuannya. Walau pun Tuan rumah telah memilih tidak perlu pertolongan hamba2nya, tapi mesti ada sesuatu perlakuan atau lakonan sebagai tanda bahawa Tuannya adalah sebenarnya ‘Tuan’.