Bapa kepada makhluk jin, iaitu Iblis, terusir dari Syurga lantaran enggan kerjakan suruhan Allah bersujud kepada Adam. Akibatnya, Iblis turut hilang jawatan ‘Archangel’ (Ketua Malaikat) yang memakai gelaran “Ruhul Qudus”.
Manakala bapa kepada makhluk manusia, iaitu Adam, terusir dari Syurga lantaran melanggar larangan Allah dari mendekati ‘Pohon Terlarang’ kerana tertipu dengan pujukan dan hasutan Iblis.
Iblis menyimpan perasaan dendam dan irihatinya terhadap Adam dan menyalahkan Adam terhadap segala nasib malang yang menimpanya sejak terciptanya makhluk manusia.
Adam yang segera sedar dan mengakui kesalahannya itu telah memohon ampun daripada Allah dengan taubat tidak akan mengulangi keingkaran terhadap Allah di masa akan datang. Sementara Iblis memohon tangguh dan izin daripada Allah untuk memberi dia kebebasan bertindak menyesatkan keturunan Adam (Bani Adam) secara memujuk dan menghasut manusia untuk mengingkari Allah.
Allahpun perkenankan permohonan kedua-dua mereka. Iblis yang hilang gelaran “Ruhul Qudus” digantikan Allah dengan gelaran “As-Syaitan” dengan pangkat yang lebih tinggi iaitu di kedudukan menyaingi Allah sebagai pemimpin pilihan Manusia.
وَاتْلُ عَلَیۡہِمْ نَبَاَ ابْنَیۡ اٰدَمَ بِالْحَقِّ ۘ اِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنۡ اَحَدِہِمَا وَلَمْ یُتَقَبَّلْ مِنَ الۡاٰخَرِ ؕ قَالَ لَاَقْتُلَنَّکَ ؕ قَالَ اِنَّمَا یَتَقَبَّلُ اللہُ مِنَ الْمُتَّقِیۡنَ
27. Ceritakanlah kepada mereka kisah dua orang putera Adam(Habil dan Qabil) yang telah berlaku dengan sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima daripada salah seorang dari mereka berdua(Habil) dan tidak diterima daripada yang lain(Qabil). Dia(Qabil) berkata : “Aku pasti membunuhmu!” Habil berkata : “Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa”
لَئِنۡۢ بَسَطۡتَّ اِلَیَّ یَدَکَ لِتَقْتُلَنِیۡ مَاۤ اَنَا بِبَاسِطٍ یَّدِیَ اِلَیۡکَ لِاَقْتُلَکَ ۚ اِنِّیۡۤ اَخَافُ اللہَ رَبَّ الْعٰلَمِیۡنَ
28. “Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam.”
اِنِّیۡۤ اُرِیۡدُ اَنۡ تَبُوۡٓاَ بِاِثْمِیۡ وَ اِثْمِکَ فَتَکُوۡنَ مِنْ اَصْحٰبِ النَّارِ ۚ وَذٰلِکَ جَزٰٓؤُا الظّٰلِمِیۡنَ
29. “Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan(membawa) dosa (membunuh)ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan jadi penghuni neraka; dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang yang zalim.”
فَطَوَّعَتْ لَہٗ نَفْسُہٗ قَتْلَ اَخِیۡہِ فَقَتَلَہٗ فَاَصْبَحَ مِنَ الْخٰسِرِیۡنَ
30. Maka hawa nafsu Qabil telah menjadikannya tergamak untuk membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya, maka jadilah dia termasuk orang yang rugi.
فَبَعَثَ اللہُ غُرَابًا یَّبْحَثُ فِی الۡاَرْضِ لِیُرِیَہٗ کَیۡفَ یُوٰرِیۡ سَوْءَۃَ اَخِیۡہِ ؕ قَالَ یٰوَیۡلَتٰۤی اَعَجَزْتُ اَنْ اَکُوۡنَ مِثْلَ ہٰذَا الْغُرَابِ فَاُوٰرِیَ سَوْءَۃَ اَخِیۡ ۚ فَاَصْبَحَ مِنَ النّٰدِمِیۡنَ
31. Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk menunjukkan kepadanya(Qabil) bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Qabil berkata : “Aduh celaka aku! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti gagak ini, lalu dapat menguburkan mayat saudaraku ini?” Maka jadilah dia termasuk orang yang menyesal.
[Surah al-Ma’idah : 27 – 31]
Oleh itu, pada kehidupan manusia pertama-tamanya adalah untuk buat pilihan sama ada mengangkat Allah atau As-Syaitan sebagai pemimpin untuk mereka taati . Sudah tentu pilihan itu memberi kesan yang bertentangan terhadap diri dan kehidupan seseorang manusia kerana apa yang disuruh Allah adalah menjadi larangan As-Syaitan, manakala apa yang dilarang Allah adalah menjadi suruhan As-Syaitan pula.
Mengimani (atau mengangkat) Allah sebagai Pemimpin bererti mengkufuri (atau menolak) As-Syaitan sebagai pemimpin. Oleh itu orang-orang kafir itu harus didefinisikan sebagai orang-orang yang memilih untuk mengimani (atau mengangkat) As-Syaitan sebagai pemimpin pilihan mereka, sekaligus memberi erti bahawa mereka telah mengkufuri (atau menolak) Allah sebagai pilihan kepemimpinan mereka.
Oleh itu mereka yang memilih Allah sebagai pemimpin untuk mereka taat kepadaNya dan para pesuruhNya (rasulNya) digelar Allah Muslimuun.
Manakala mereka yang kufur, menentang dan menderhakai Allah kerana mengimani As-Syaitan sebagai pemimpin mereka, untuk mereka taat kepada As-Syaitan dan para pesuruh As-Syaitan dari kalangan Taghut (Pelampau) itu, Allah gelarkan mereka Fasiquun.
Lalu wujud pada asasnya dua pecahan besar dari kalangan umat manusia untuk membentuk golongan-golongan Muslimuun dan Fasiquun. Yang satu berkiblatkan Allah dan satu lagi berkiblatkan As-Syaitan.
Kemudian wujud pula kelompok-kelompok pecahan lain pada dua golongan utama itu akibat godaan, hasutan dan penipuan As-Syaitan yang bukan sekadar memusuhi puak yang berkiblatkan kepada Allah, tetapi turut mahu mengkhianati puak yang berkiblatkan kepada dia juga.
Kerana sama saja pada mata Iblis semuanya dari keturunan Bani Adam belaka, musuhnya yang wajar ditipu, diperdaya dan disesatkan. Lalu wujud di kalangan umat manusia pelbagai puak yang saling bertentangan dan bermusuhan di mana saja lantaran mengangkat dan mematuhi pelbagai kepemimpinan yang bertentangan sikap, nilai dan amalan selain bertentangan matlamat dan halatuju.