Antara Nasib di Dunia dan Nasib di Akhirat

Ada manusia dari jenis yang ‘keras hati’  dan ada pula dari jenis yang ‘lembut hati’.  Ada yang jenis ‘panas hati’ dan ada yang jenis ‘sejuk hati’. Namun Manusia tidak boleh buang atau lari dari perasaan dan emosi.

Ada yang menyifatkan emosi itu satu gangguan kepada perasaan bila yang datang itu negatif sifatnya. Tak kurang pula yang suka dibelai perasaan dan dibuai emosi apabila yang datang itu positif sifatnya.

Jangan terfikir emosi dan perasaan itu ‘duniawi’. Sebenarnya ia ‘ukhrawi’ kerana ia berkaitan dengan ‘hati’. Yang duniawi itu deria rasa  pancaindera pada pengalaman fizikal.  Sedangkan emosi dan perasaan itu adalah berkaitan pengalaman spiritual.

Gangguan pada perasaan dan emosi itu menunjukkan keadaan ‘roh’ (‘spirit’) yang tidak aman dan  tidak tenteram, yang menandakan sedang berlakunya ‘pergolakan’ dan ‘peperangan’ pada jiwa,  yang memerlukan kita untuk bertindak menenang dan mengamankannya.

‘Ibu’ atau ‘punca’ pergolakan emosi ini datangnya dari perasaan ‘rungsing/takut’ dan ‘sedih/dukacita’.

Kita takut menghadapi hari-hari mendatang, yang kita tidak tahu apa yang bakal terjadi; dan rungsing memikirkan apakah kita punya ‘perlindungan’ untuk menghadapinya dengan jaya.

Kita boleh jadi sedih dan dukacita dengan keadaan yang sedang menimpa; sedangkan kita tidak mampu mendapatkan  ‘pertolongan’ untuk membantu meredakan bencana yang sedang melanda.

Sudah tentu lawan kepada ‘takut’ itu adalah ‘berani’; dan lawan kepada ‘duka’ itu adalah ‘suka’.  Takut atau berani, suka ataupun duka sebenarnya adalah lebih kepada bagaimana sikapnya seorang manusia. Pastinya  perasaan berani dan suka itulah yang mampu membawa ketenangan dan kedamaian di jiwa; datanglah apa pun jua suratan ‘nasib’ dunia.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالنَّصَارَىٰ وَالصَّابِئِينَ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

(Al-Quran, Surat Al-Baqarah 2:62)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

‘Nasib’ buruk atau baik pada alam fizikal itu Allah yang menentukannya. Tetapi ‘nasib’ baik atau buruk pada alam spiritual kita, kita sendirilah  yang menentukannya dari sikap positif atau negatifnya kita terhadap ujian dunia.  Lalu, ‘syurga’ atau ‘neraka’, pada perasaan dan emosi kita, terpulanglah kepada ‘sikap’ pada polariti  ‘spiritual’ kita, tatkala berdepan dengan ‘nasib’ ketentuan Allah di alam dunia.

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ

(Al-Quran, Surat Ar-Ra`d 13:11)

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Terpulanglah kepada kita untuk membentuk sifat ‘berani’ dan ‘suka’ terhadap apa saja dari ujian dan takdir Allah ke atas diri kita.  Ini sifat yang kita sendirilah yang berkuasa memperolehinya; yang tidak ada siapa boleh mendapatkannya untuk kita, atau cuba singkirkannya dari kita. Begitulah juga tidak ada siapa yang boleh membantu buang perasaan takut dan dukacita dalam diri kita, melainkan diri kita sendiri juga.

Apapun, kita sebenarnya tidaklah dibiarkan berkeseorangan menghadapinya, kerana bagi mereka yang beriman kepada Allah, Dialah ‘Wali’ (Pelindung dan Penolong) mutlak kepada kita semua. Lalu apalah yang kita hendak ‘takut’ dan ‘risau’ bila Allah Yang Maha Berkuasa itu sedia memerintahkan para malaikat menjadi ‘pelindung’ kita terhadap apa saja mara bahaya yang bakal melanda. Maka apalah yang kita hendak ‘sedih dan berdukacita’ pula apabila Yang Maha Berkuasa bersedia memerintahkan para malaikatnya untuk menjadi ‘penolong dan pembantu’ kita meleraikan segala masalah dan bencana yang sedang melanda diri kita.

Minta dan berserahlah kepada Dia, Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat; Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Insya Allah, Allah akan menunjuki jalannya, kerana sudah pasti ada jalannya. Insya Allah, Allah akan datangkan pertolongan dan perlindungannya.

Lambat atau cepat datangnya, terpulanglah kepada budibicara Allah semata-mata. Bersabar, berdoa dan terus mengorak langkah berusaha  dan mencoba; dan janganlah kita mudah berputus asa. Kerana Allah sekadar mahu menguji dan mempertingkatkan tahap keimanan kita dan mahu menyempurnakan akhlak mulia kita untuk layak menduduki syurgaNya. Kerana tidak ada yang boleh masuk syurga tanpa melintasi titian yang di bawahnya api neraka yang marak menyala-nyala.

Hai jiwa yang tenang.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya.

ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً

Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku,

فَادْخُلِي فِي عِبَادِي

masuklah ke dalam surga-Ku.

وَادْخُلِي جَنَّتِي

(Al-Quran, Surat Al-Fajr 89: 27-30)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s