Bukanpun Ferdinand Magellan, tetapi Juan Sebastián Elcano secara resminya yang dinobatkan sebagai orang pertama mengelilingi dunia dengan jalan laut. Namun ada spekulasi yang mengatakan orang itupun bukannya Elcano, tetapi seorang lain yang bernama Enrique de Malacca (lihat gambar).
Diriwayatkan Enrique de Malacca, yang juga dikenali sebagai Henry the Black, atau Panglima Awang (menurut pengarang Harun Aminurrashid) adalah seorang berketurunan melayu yang dibeli Magellan di pasar abdi Melaka pada 13 Julai 1511 di saat kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Enrique yang kemudiannya dibaptiskan sebagai seorang Kristian dibawa balik Magellan untuk kemudiannya turut serta dalam ekspedisi pelayaran mengelilingi dunia yang pertama dan terkenal itu.
Penobatan Elcano adalah kerana beliau orang kanan Magellan yang mengambil alih tugas Magellan sebagai ketua ekspedisi, setelah Magellan terbunuh ketika pertempuran di Pulau Cebu, Filipina pada 27 April 1521. Peristiwa itu berlaku di pertengahan ekspedisi pelayaran mengelilingi dunia Magellan yang dimulakannya pada Ogos 1519 itu.
18 ahli ekspedisi yang terselamat kerana berjaya melarikan diri, termasuk Elcano, telah meneruskan pelayaran untuk kembali ke Sanlucar de Barrameda dan sampai pada 8 September 1522 dengan kapal Victoria. 17 yang tertinggal kemudian pulang dengan kapal lain.
Alasan kuat untuk Enrique de Malacca sebenarnya, yang patut dinobatkan orang pertama mengelilingi dunia dengan jalan laut, adalah berdasarkan satu peristiwa yang dikisahkan dalam riwayat ekspedisi pelayaran Magellan mengelilingi dunia itu. Diceritakan bagaimana Magellan jadi terkejut dan tercengang bila didapatinya Enrique dapat berinteraksi dalam dialek tempatan penduduk asli Masao ketika rombongan Magellan tiba di daerah kepulauan Filipina pada minggu terakhir bulan Mac 1521.
Kerana tidak mungkin orang melayu tempatan Melaka boleh faham dan bertutur dalam dialek asli melayu tempatan kepulauan Filipina. Lalu timbul spekulasi bahawa Enrique sebenarnya bukanlah orang melayu tempatan negeri Melaka, tetapi seorang pendatang dari daerah kepulauan melayu Filipina.
Cerita ini punya signifikasi besar sejarah yang harus mengambil kira peringkat pertama perjalanan Enrique dari Kepulauan Filipina ke Melaka melalui jalan laut sebelum Enrique dibeli Magellan sebagai abdi. Kemudian peringkat kedua pelayaran Enrique dari Melaka ke Portugal bersama Magellan. Dan akhirnya peringkat ketiga yang menyaksikan Enrique menyertai rombongan ekspedisi pelayaran Magellan mengelilingi dunia yang terkenal itu untuk sampai (semula) ke kepulauan Filipina. Lalu, biarpun Enrique tertinggal (sama ada kerana mati atau sebaliknya) di kepulauan Filipina, Enrique telahpun melengkapkan pelayaran mengelilingi dunianya itu ketika Elcano baru saja separuh jalan untuk melengkapkan ekspedisi pelayaran dunianya itu.
Magellan adalah seorang berbangsa Portugis yang lahir di utara Portugal pada tahun 1480. Beliau menjadi yatim piatu di usia 10 tahun. Pada usia 12 tahun Magellan telah diambil bekerja di Istana, sebagai budak penghantar surat. Magellan kemudiannya belajar mengenai ilmu pelayaran.
Pada tahun 1505 ketika berusia 25 tahun, Magellan diberi peluang menyertai Armada laut , untuk dapat berlayar bersama Francisco de Almedia, Laksamana Pertama Portugal, dengan Armada lautnya.
Pada tahun 1511, Magellan telah menyertai Armada laut Portugis untuk misi penaklukan Melaka. Ketika itulah Enrique dibeli Magellan sebagai abdi, di saat kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Enrique kemudian dibawa Magellan pulang ke Portugal sebelum Magellan memulakan usaha dan perancangan ekspedisi pelayaran mengelilingi dunia yang pertama dalam sejarah dunia itu.
Ekspedisi pelayaran mengelilingi dunia Magellan itu hanya dimulakan pada 6 September 1519 dengan rombongan besar menggunakan lima buah kapal, iaitu Santiago, San Antonio, Conception, Trinidad, dan Victoria. Kapal Victoria yang dikepalai Elcano menjadi pertama melengkapkan ekspedisi tersebut untuk kembali ke Sanlucar de Barrameda pada 8 September 1522, tanpa Magellan dan tanpa Enrique de Malacca.