ALLAH namakan ISLAM sejak dulu, Agama yang ALLAH turunkan buat anutan semua para Nabi dan umat mereka, dan untuk dijadikan warisan keluarga mereka dan warisan keluarga umat mereka juga.
Selepas Adam, Idris dan Nuh, baki 22 daripada kesemua 25 Nabi dan Rasul ALLAH yang wajib diketahui itu adalah terdiri dari bangsa Semite belaka. Pun janganlah ada deskriminasi atau dibeza-bezakan antara mereka, sepertimana pesan Allah di dalam Quran.
Sam (atau Shem) serta Ham, dan seorang lagi saudara mereka, Japheth (atau Yafid), adalah tiga putera Nabi Nuh yang terselamat dari banjir besar yang menurunkan tiga keturunan utama manusia sejagat yang dikenali sebagai bangsa ‘Semites’ (Shem), bangsa ‘Hamites’ (Ham) dan bangsa ‘Japhetites’ (Japheth).
Dari jumlah 22 nabi berbangsa Semite ini, Nabi Hud, Nabi Salih dan Nabi Lut adalah dari pecahan bangsa Aramean (atau keturunan Iram). Selebihnya dari pecahan bangsa Hebrew yang diturunkan dari zuriat Arfakhshad, saudara kepada Iram.
Bapa (patriarch) kepada bangsa Hebrew ini adalah Ibir (atau Eber), cucu kepada Arfakhshad atau cicit kepada Sam.
Bani Ibrahim dari zuriat Nabi Ibrahim melahirkan 18 orang nabi berbangsa Hebrew melalui tiga leluhur ‘ibu’ (induk) berlainan, iaitu induk Sarah (dari cabang keturunan Shem), induk Hajar (dari cabang keturunan Ham), dan induk Keturah (dari cabang keturunan Ham juga).
Induk Sarah menurunkan Bani Israel, manakala dari Hajar lahir Bani Ismail, dan dari Keturah (atau Saffurah) terbitnya Bani Jawi.
Nabi Ibrahim sendiri, sebagaimana Sarah, adalah dari leluhur bangsa Semite.
Ada 19 orang kesemuanya nabi berbangsa Hebrew ini, termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, dan Nabi Ishak serta puteranya Nabi Yaakub yang bergelar Israel itu. Putera lain kepada Nabi Ishak adalah Ish yang bergelar Edom.
Nabi Hebrew dari keturunan Bani Ismail adalah Nabi Muhammad. Dari Bani Jawi berketurunan Madyan pula adalah Nabi Shuib. Sementara nabi Hebrew dari keturunan Ish atau Bani Edom (Edomite) adalah Nabi Ayyub dan Nabi Zulkifli.
Paling ramai adalah 11 orang nabi Bani Israel dari induk Sarah.Salah satu pecahan kecil kepada Bani Israel adalah Bani Yahudza (atau lebih dikenali sebagai bangsa Yahudi). Para Nabi berbangsa Yahudi adalah Daud, Sulaiman, Zakaria, Yahya dan Isa.
Yahudza (bapa kepada bangsa Yahudi), hanyalah salah seorang dari 12 putera Nabi Ya’akub (Israel), yang lalu tidak wajar disalahanggap kesemua keturunan Bani Israel itu berbangsa Yahudi belaka.
Sementara Nabi Yusuf adalah satu-satunya anak Nabi Yaakub yang jadi Nabi. Yahudza (atau Judah), selain Levi dan Bunyamin bukanlah bertaraf Nabi, namun menurunkan para nabi dari zuriat mereka.
Zuriat Bunyamin (atau Benjamin) melahirkan Nabi Yunus. Manakala dari zuriat Levi lahir empat orang nabi, iaitu Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Ilyas Dan Nabi Alyasa’.