Wujud pelbagai parti politik di Indonesia, begitulah juga di Malaysia. Bezanya Indonesia merundingkan pakatan parti-parti selepas keputusan Pilihanraya, sementara Malaysia menentukan pakatan parti-parti sebelum bertanding Pilihanraya. Pilihan pendekatan yang berbeza inilah menjadikan masalah dan cabaran yang dihadapi parti-parti politik di Malaysia dan Indonesia itu sangat berbeza pula.
Masalah terbesar pakatan parti-parti sebelum Pilihanraya adalah tentang soal pembahagian kerusi dan kawasan Pilihanraya di kalangan parti-parti yang bekerjasama, selain cabaran dalaman Parti dalam penentuan calon Pilihanraya. Silap pembahagian kerusi boleh memecahbelahkan pakatan parti-parti. Silap pemilihan calon dalam parti pula boleh menyebabkan parti berpecah-belah.
Banyak parti-parti di Malaysia dan di Indonesia wujud kerana serpihan parti, gara-gara adanya kumpulan dalaman parti yang tidak berpuas hati tentang pembahagian kerusi calon kepada kumpulan mereka untuk menghadapi Pilihanraya. Lalu kumpulan ini keluar parti untuk tubuhkan parti baru dan letak calon-calon mereka sendiri dalam Pilihanraya. Ada yang sangat berjaya dengan strategi ini dan ada yang kecundang lalu lenyap menjadi sejarah.
Di Sabah seketika dulu, misalnya, Berjaya yang jadi parti serpihan USNO berjaya mengalahkan USNO dalam Pilihanraya di Sabah. Kemudian muncul parti serpihan baru PBS yang berjaya menumbangkan pula kedua-dua USNO dan Berjaya di satu Pilihanraya seterusnya di Sabah.
Sementara PAS asalnya adalah serpihan dari UMNO, kemudian tertubuh pula Berjasa dan Hamim dari serpihan PAS pula. Parti Gerakan juga pada dasarnya adalah serpihan dari parti MCA. Kemudian muncul Pekemas serpihan dari parti Gerakan. Pekemas gagal mendapat tempat di hati pengundi lalu bungkus. Manakala parti PPP boleh dikatakan serpihan dari MIC. Paling menarik DAP adalah asalnya parti PAP semasa Singapura menjadi sebahagian Persekutuan Malaysia untuk menjadikan DAP parti serpihan yang lahir secara istimewa dari parti PAP Singapura.
UMNO yang menubuhkan pakatan Perikatan untuk bersama MCA dan MIC di zaman Tunku terbiasa tidak berkongsi kerusi Melayu dengan siapa-siapa. Begitu juga MCA dan MIC. UMNO mula menghadapi masalah apabila Tun Razak tubuhkan BN bagi menggantikan Perikatan dengan membawa penyertaan parti-parti yang dulunya Pembangkang seperti PAS, Gerakan dan PPP untuk menguatkan BN.
Namun tak lama kemudian akibat perbalahan pembahagian kerusi melayu dalam BN, UMNO bertindak mengambil jalan mudah menyingkirkan PAS dari BN sebaik Tun Hussein Onn mengambil alih pucuk pimpinan BN dan UMNO selepas kematian mengejut Tun Razak.
UMNO tidak gemar ada parti melayu lain dalam BN yang UMNO kena berkongsi kerusi DUN dan Parlimen selain jawatan Kabinet Persekutuan dan EXCO negeri. Sebab itu UMNO pujuk Parti Melayu Semangat 46 untuk membubarkan parti dan menyertai UMNO, bukannya menjadi satu lagi parti komponen melayu dalam BN.
Sementara itu masalah pembahagian kerusi kaum cina dalam BN antara MCA dan Gerakan, begitu juga pembahagian kerusi kaum india antara MIC dan PPP diserahkan sahaja kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO untuk menentukan. Entahlah sama ada jauh di sudut hati masing-masing mereka benar-benar bersetuju dengan cara pembahagian kerusi tersebut. Apapun ternyata dalam PRU12 yang lalu prestasi MCA, MIC, Gerakan dan PPP didapati merudum kerana dikalahkan DAP. Apakah ada sabotaj dalaman pada pakatan BN di antara parti-parti komponen berorientasikan kaum cina dan india itu? Entahlah.
Namun paling memeranjatkan pada PRU13 kali ini terdapat ramai pula tokoh UMNO yang bertanding bebas menentang calon resmi UMNO. Lalu UMNO mengambil tindakan pecat keahlian mereka dengan serta-merta. Berlainan dengan masa dahulu di mana yang berlaku calon-calon bebas itu dari ahli parti komponen lain dalam BN yang bertanding menentang calon resmi BN kerana mahu buktikan parti komponen mana yang lebih berpengaruh untuk patut diperuntukkan kerusi tersebut. Ia menjadi terkawal selepas itu apabila BN mengadakan peraturan mana-mana ahli Parti komponen yang menjadi calon bebas dalam Pilihanraya dipecat sertamerta dari Parti masing-masing.
Sementara itu di beberapa kawasan Pilihanraya dalam PRU 13 kali ini menyaksikan kedua-dua calon PAS dan calon PKR menentang calon UMNO, sedang sepatutnya yang berlaku sama ada calon PAS atau calon PKR saja yang menentang calon UMNO seperti yang berlaku di rata-rata kawasan Pilihanraya yang lain. Pun di sudut positifnya ia memberi peluang keemasan yang bagus untuk dijadikan petunjuk secara langsung tentang sejauh mana pengaruh semasa UMNO, PAS dan PKR di hati pengundi di kawasan majoriti melayu untuk sesuai dijadikan sampel analisis oleh para penganalisa politik.
Kita yang mengamalkan pendekatan pakatan parti-parti pra-Pilihanraya tentunya mempunyai tanggapan yang negatif terhadap kejadian-kejadian yang tidak kita inginkan ini. Namun kejadian yang serupa ditanggapi di Indonesia sebagai amalan demokrasi yang sihat. Memang tidak hairanlah kerana mereka melihatnya dari sudut amalan pendekatan pakatan parti-parti pasca-Pilihanraya yang menjadi amalan mereka dan banyak lagi negara lain di dunia.
Barangkali menukar pendekatan pakatan parti-parti sebelum Pilihanraya kepada selepas Pilihanraya itu lebih baik untuk Malaysia. Namun wajar kita ubah terlebih dahulu dari pencalonan semua kerusi terbuka kepada semua kaum kepada pencalonan kerusi yang tertutup dan terkhusus kepada kaum tertentu sahaja. Yakni, biarpun di semua kawasan Pilihanraya itu para pengundinya dari pelbagai kaum tetapi kerusi-kerusi yang dipertandingkan ada yang khusus untuk calon-calon dari kaum melayu sahaja, ada yang khusus untuk calon-calon dari kaum cina sahaja, ada yang khusus untuk calon-calon dari kaum india sahaja, ada yang khusus untuk calon-calon dari kaum iban sahaja, ada yang khusus untuk kaum kadazan-dusun sahaja, dsb.
Mudah dilaksanakan SPR dengan cara pertamanya menentukan kuota kaum untuk jumlah kerusi Parlimen dan DUN di negeri masing-masing berdasarkan nisbah masing-masing kaum dari jumlah penduduk negeri untuk DUN dan nisbah masing-masing kaum dari jumlah penduduk negara untuk Parlimen. Kemudian barulah SPR mengenalpasti kawasan-kawasan Pilihanraya untuk Parlimen dan DUN di negeri masing-masing bagi agihan kerusi mengikut kaum yang tersebut. Sudah tentu keutamaan berdasarkan pertimbangan majoriti kaum dalam sesuatu kawasan Pilihanraya Parlimen dan DUN berkenaan.
Yakni kerusi melayu untuk kawasan Pilihanraya yang mempunyai majoriti penduduk melayu, kerusi kaum cina untuk kawasan majoriti kaum cina, kerusi kaum Iban untuk kawasan majoriti kaum iban, kerusi kaum kadasan-dusun untuk kawasan majoriti kaum kadazan-dusun, dsb. Kemudian bolehlah diagihkan baki kerusi Parlimen dan DUN ke mana saja kawasan yang difikirkan sesuai jika tiada lagi kawasan majoriti kaum yang diperuntukkan kerusi-kerusi tersebut bagi mencukupkan jaminan bilangan kuota kerusi kaum di kawasan-kawasan Parlimen Persekutuan dan DUN negeri masing-masing.
Cara ini kebetulan bukan sahaja dapat menyelesai masalah parti kena tentukan sendiri calon dari kaum mana yang harus bertanding di kawasan Pilihanraya yang mana, malahan dapat mengelak sentimen kaum dan isu kaum calon-calon dibangkitkan sekiranya dibiar calon-calon dari pelbagai kaum bertanding untuk kawasan Pilihanraya yang sama. Ia juga berupaya menggalak dan memupuk perpaduan pelbagai kaum di negara ini secara yang lebih baik dari kesempatan pelbagai kaum berkempen bersama untuk memenangkan calon parti pilihan tanpa bias kepada pertimbangan kaum calon-calon.
Ini menjadikan tiada kaum yang perlu lagi risau bertanding sesama sendiri pada sesuatu kawasan Pilihanraya kerana khuatirkan perpecahan undi kaum yang boleh merugikan kaum masing-masing, lantaran kini kerusi kaum menjadi terjamin biar siapapun calon dari kalangan kaum mereka itu yang akan menang atau kalah Pilihanraya.
Jaminan kerusi kaum selain perubahan yang memungkinkan kepada pakatan strategik parti-parti selepas Pilihanraya yang lebih fleksibel dan terbuka ini tentunya akan lebih menyemarakkan lagi amalan demokrasi dalam Negara. Terutama ia bakal mendorong kepada penubuhan lebih banyak parti-parti politik yang bakal membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada lebih ramai calon menyertai Pilihanraya. Ia turut memberi pilihan yang lebih luas kepada Pengundi dalam memilih calon perwakilan dan pakatan parti-parti terbaik untuk menggalas amanah memimpin negeri dan negara dengan cemerlang bagi kesejahteraan Rakyat dan Negara.