oleh ANNAS HAJI AHMAD
Sifat dan jenis Sastera Rakyat
Sebahagian besar dari sastera zaman klasik Melayu terdiri dari apa yang kita fahamkan dengan istilah sastera rakyat. Sastera rakyat tidak mementingkan tulisan, kerana sastera demikian disebarkan dari mulut ke mulut dan disampaikan dari satu keturunan kapada keturunan yang lain. Dengan itu, sastera rakyat dikenali juga dengan nama sastera lisan atau sastera mulut. Sebahagian besar dari unsur-unsur sastera rakyat ini telah dibukukan. Jadinya apa yang hendak kita kajikan ialah sastera lisan, tetapi apa yang kita baca ialah sastera tulisan. Perbezaan terdapat dalam kedua-dua bentuk sastera ini. Misalnya, sastera lisan mempunyai beberapa ciri tertentu yang apabila dituliskan, jalan bahasa dan sukatan-sukatan yang ada padanya diubah atau disesuaikan dengan jalan bahasa dalam tulisan.
Pengkajian sastera lama Melayu akan membawa kita ke zaman animisma lagi, zaman sebelum terdapat pengaruh Hindu. Masyarakat pada zaman itu ialah masyarakat primitif, masyarakat yang rapat sekali hubungannya dengan alam semesta. Dalam memperjuangkan kehidupan mereka, dalam mencari sebab akibat sesuatu benda yang tidak dapat difikirkan oleh akal biasa, dalam pengalaman-pengalaman mereka mengajar dan mendidik anak-anak kecil, maka timbullah berbagai-bagai bentuk sastera rakyat. Bagitu juga segala bentuk peribahasa, adalah hasil dari perdampingan mereka dengan alam semesta.
Masyarakat Melayu lama mempunyai berbagai-bagai bentuk mentera, jampi dan serapah yang kita warisi hingga sekarang ini. Berjenis-jenis sastera rakyat ini merupakan gambaran langsung dari dunia, sebagaimana yang dilihat oleh masyarakat purba. Isi dan pendapat-pendapat di dalamnya amat aneh untuk manusia moden, tetapi hal-hal itu merupakan soal biasa untuk masyarakat zaman dahulu. Pentingnya sastera bagini, tidak dapat kita nafikan kerana sastera bentuk ini merupakan tali dan hubungan kapada kita untuk mencari keadaan-keadaan, kepercayaan, pandangan hidup dan segala yang mengenai kehidupan zaman silam.
Masyarakat di mana sastera rakyat tumbuh adalah masyarakat yang statis; masyarakatyang mementingkan perpatuhan ramai kapada norma-norma yang terdapat dalam masyarakat. Bagitu juga sastera rakyat adalah kepunyaan ramai atau umum, semua orang faham dan mengakui ujudnya. Individu tidak dipentingkan.
Sastera ini disebarkan secara lisan dari mulut ke mulut dan dari satu keturunan ke satu keturunan yang lain. Cerita-cerita ini kerap-kalinya ditokok tambah dari setempat ke setempat.
Sastera rakyat juga berlatarbelakangkan masyarakat zamannya. Banyak dari hasil-hasil ini bersifat ‘universal’ iaitu dikenai oleh beberapa kumpulan manusia.
Persamaan-persamaan dalam bentuk cerita juga terdapat dalam beberapa masyarakat di beberapa tempat saperti dalam cerita bermotif, binatang dan dalam cerita-cerita penglipur lara. Soal ‘diffusion’ ialah salah satu faktor yang mengakibatkan persamaan ini. Satu lagi faktor yang memungkinkan bentuk yang sama dalam cerita-cerita ini ialah soal keadaan sekeliling yang mungkin melahirkan cerita yang sama.
Dalam kita memperkatakan corak-corak atau golongan sastera rakyat, terdapat juga tafsiran yang ada kalanya meliputi beberapa buah cerita. Juga pembahagian ini dapat membantu kita dalam memahami berbagai-bagai golongan sastera rakyat. Antaranya terdapat:—
Cerita asal-usul
Cerita asal-usul ini meliputi kepercayaan kejadian alam, nama tempat, tumbuh-tumbuhan seperti pokok-pokok jagung, keladi; dan seterusnya asal-usul sesejenis binatang saperti mengapa ular sawa hilang bisanya. Cerita-cerita asal-usul ini menjadi kepercayaan; dan kepercayaan ini berupa sesuatu yang harmonis dengan benda itu.
Kita sendiri tahu bahawa hidup kita berkehendakkan sesuatu yang harmonis yang seimbang dengan corak hidup kita sendiri. Cerita-cerita ini memberikan sesuatu alasan yang dapat diterima mengenai ujudnya sesuatu benda. Soal logik dan masuk akal tidaklah timbul dalam sebuah masyarakat yang tidak mempunyai batasan dalam kepercayaannya.
Contohnya ialah tentang sesebuah gunung, seperti Gunung Jerai. Kononnya asalnya Gunung Jerai ini ialah sebuah kapal yang membawa puteri Gerai yang bila ditegur oleh Gedembai, langsung menjadi batu.
Bagitu juga dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, kita temui asal-usul sesuatu tempat saperti Semudera dan Pasai. Semudera kononnya berasal dari semut yang besar dan Pasai dihubungkan dengan kisah pelanduk putih menendang anjing Merah Silu (Malik al-Saleh) yang bernama Pasai.
Nama-nama tempat dan negeri juga saperti dalam Sejarah Melayu mungkin diambil dari sesuatu peristiwa; misalnya nama Singapura:—
Masyarakat Melayu purba dapat mereka-rekakan mengapa sejenis binatang itu begitu keadaannya. Misalnya mengapa buaya itu begitu rupanya, mengapa harimau berbelang kulitnya. Bagitu juga ada cerita-cerita yang memberi alasan mengapa puyuh tiada berekor, beruang pendek ekornya dan ular sawa hilang bisanya. Kononnya ular sawa itu hilang bisanya setelah ia marah melihat ikan simpanannya habis dicuri orang, lalu disemburkannya segala bisanya pada tapak kaki orang iaitu seorang anak raja. Anak raja itu pun mati dan ular sawa hilang bisanya.
Mitos (myth)
C. Hooykaas dalam Penyedar Sastera menyebutkan mitos (myth) sebagai ceritera dewa-dewa. Biasanya cerita-cerita yang disebut mitos ini berunsur keagamaan yang merupakan kepercayaan asal-usul sesuatu bangsa atau keturunan. Cerita-cerita ini mengandungi unsur-unsur ajaib. Dalam ‘Sejarah Melayu’ asal-usul Raja-Raja Melaka dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain dan Bukit Si Guntang.
Orang-orang Batak percaya bahawa mereka keturunan dari Si Raja Batak, anak Tuhan. Bagitu juga dalam Hikayat Aceh, nenek moyang Iskandar Muda dikaitkan dengan raja keinderaan, nasab Iskandar dan nasab Visnu.
Sebahagian lagi unsur-unsur mitos yang selalu kita temui dalam hikayat-hikayat lama saperti Hikayat Seri Kelantan, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lain, ialah unsur-unsur ‘totemisma’ ia-itu kepercayaan bahawa raja-raja mereka berasal dari ‘buih’ buluh betung atau mempunyai unsur-unsur ‘gajah’.
Bagitu juga pawang dalam jampi serapah dan mentera menyebut nama dewa-dewa, penunggu-penunggu dan roh-roh yang mereka percayai terdapat dan berkuasa dalam masyarakat mereka.
Legenda (cerita-cerita tentang hal-hal yang berdasarkan sejarah)
Perkataan legenda asalnya dari legend dari bahasa Latin. Legenda dalam kesusasteraan kita, ialah cerita-cerita mengenai tokoh-tokoh yang pernah hidup dalam sejarah umumnya dan juga mengenai tokoh-tokoh agama. Biasanya legenda memuat kisah-kisah yang ajaib yang dapat dimegah dan ditauladani oleh rakyat. Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah dapat kita sebutkan sebagai tokoh legenda Melayu yang terkenal, tetapi ada juga sarjana-sarjana sastera yang memasukkannya ke dalam golongan epik dan roman sejarah, tergantung kapada tafsiran mereka sendiri. Begitu juga, ada sasterawan yang ingin menyatakan Sejarah Dato’ Bahaman itu sebuah legenda.
Cerita-cerita Hantu dan Pari-pari
Dalam kepercayaan masyarakat kuno, terdapat satu golongan cerita yang diberi nama cerita-cerita hantu.
Cerita ini khas mengenai kisah makhlok yang dipercayai bukan manusia. Masyarakat lama kita amat biasa dengan cerita-cerita penanggalan (tenggelung), langsuyir, puaka, hantu bungkus, pelesit, jin tanah, mambang, dan lintasan; bahkan cerita orang-orang halus atau bunian juga kerap dimasukkan dalam golongan ini. Cerita-cerita ini amat ditakuti. Dalam adat istiadat Melayu saperti semasa beranak dan turun ke laut, diadakan peristiwa-peristiwa tertentu. Misalnya: masa beranak mereka meletakkan duri tambuni atau daun2 yang berduri dibawah rumah untuk mengelakkan kedatangan polong. Begitu juga semasa turun ke laut — hingga sekarang orang-orang Melayu mengadakan istiadat memuja pantai untuk menjauhkan mala petaka di laut dan untuk menjamu penunggu-penunggu laut.
Penanggalan atau tenggelung ini berkait rapat dengan orang-orang yang mati beranak dan dipercayai penanggalan amat suka menghisap darah orang yang baharu bersalin.
Fable (Cerita yang mengandungi tauladan dan bersifat didaktik)
Sebahagian besar daripada cerita-cerita mengenai binatang, (termasuk juga asal-usul sesuatu jenis binatang, fable dan epik binatang atau ada juga yang disebut ‘Beast Cycle’), kita masukkan ke dalam satu golongan cerita-cerita bermotif binatang atau cerita-cerita margastua.
Fable khasnya ialah cerita-cerita yang bertujuan menyampaikan pengajaran atau ajaran yang disisipkan pada hujung cerita. Cerita-cerita ini berpengaruh sekali dalam alam kanak-kanak dan mempunyai daya penarik yang istimewa dan mengesankan. Dalam masyarakat Melayu kuno, terdapat cerita-cerita anjing dengan bayang-bayang, kura-kura dengan arnab, sang kancil dengan siput dan berbagai-bagai lagi.
Epik binatang ialah cerita yang berpusat pada sejenis binatang yang tertentu. Dalam masyarakat Melayu, binatang yang amat terkenal ialah sang kancil atau pelandok jenaka. Cerita Sang Kancil atau Syah Alam Di Rimba mempunyai beberapa tingkatan perkembangannya.
Penglipur Lara
Golongan ini amat terkenal dan tersebar ke merata ceruk Kepulauan Melayu. Hooykaas dalam Penyedar Sastera menamakan cerita-cerita ini Epos Rakyat. Cerita-cerita Penglipur Lara ini diceritakan oleh dalang-dalang, saperti Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan. Pada mulanya cerita ini tersebar secara lisan. Pada umumnya cerita-cerita ini mempunyai sifat-sifat tertentu yang membolehkannya untuk dimasukkan ke dalam satu golongan. Cerita-cerita yang terkenal dari bahagian ini ialah hikayat-hikayat Malim Deman, Awang Sulung Merah Muda, Anggun Cik Tunggal, Malim Dewa, Raja Budiman, Raja Muda, Raja Dunan dan Seri Rama.
Cerita-cerita Jenaka atau cerita-cerita Lucu
Cerita-cerita Jenaka lebeh dekat lagi menggambarkan keadaan-keadaan dalam masyarakat Melayu lama hingga cerita-cerita ini dijadikan peribahasa-peribahasa dan juga simpulan bahasa.
Semua ahli masyarakat kenal akan cerita-cerita ini. Cerita-cerita ini juga mempunyai beberapa tingkat perkembangannya dan dalam golongan ini termasuklah juga cerita-cerita tempatan yang menunjukkan sifat-sifat aslinya saperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Pak Belalang, Si Luncai dan Mat Jenin dan cerita-cerita yang menunjukkan unsur-unsur luar saperti Musang Berjanggut, Abu Nawas dan Khoja Nasyaruddin.
Cerita-cerita Rakyat yang lain
Pembahagian yang secara kasar di atas bertujuan supaya menyenangkan kita untuk mengenal sastera rakyat sendiri. Pembahagian yang lebih teliti sepatutnya dibuat berdasarkan bentuk-bentuk cerita itu sendiri dan kesan-kesan yang kita dapati bila membaca dan mendengar cerita-ceritanya. Namun demikian, banyak lagi cerita-cerita rakyat, dongeng-dongeng orang tua-tua, bentuk syair (kaba) Minangkabau yang harus kita perhatikan. Contohnya di tanahair kita ini terdapat cerita-cerita rakyat yang mengesahkan sesuatu peristiwa dan bertujuan mendidik kanak-kanak.
Cerita-cerita saperti Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Puteh Bawang Merah, Ikan Duyung, Pokok Puding dan lain-lainnya ada kalanya disebut cerita-cerita Melayu tua atau asli dan ada kalanya disebut cerita-cerita dongeng yang bermoral. Cerita-cerita ini umumnya ialah cerita-cerita sedih yang dapat menginsafkan masyarakat. Begitu juga dalam beberapa daerah, negeri dan juga bangsa terdapat beberapa dongeng mengenai sesuatu perkara atau peristiwa. Dengan itu, tidak hairanlah kita jikalau terdapat dongeng-dongeng di kalangan orang-orang Melayu, Jawa, Bali, Batak, Sunda, India, Parsi dan juga Yunani. Perkara-perkara ini semua, hanya membuktikan betapa kayanya alam sastera klasik Melayu.
Cerita-cerita Penglipur Lara
Istilah Penglipur Lara mungkin tidak bagitu tepat digunakan untuk kumpulan cerita-cerita ini; tetapi Winstedt pun menggunakan istilah yang amat umum juga iaitu “Folk Romance” untuk cerita-cerita ini. Banyak orang yang suka menggunakan istilah ceritera, dengan membawa makna yang umum — iaitu cerita-cerita ini tidak tentu asal-usulnya; dan yang dalam bentuk lisannya disebarkan dari satu keturunan kapada yang lain.
Cerita-cerita ini kebanyakannya diceritakan oleh Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan dan dibukukan oleh R.O. Wilkinsun. Sebelum cerita-cerita ini dibukukan dalam bentuk tulisan, cerita-cerita ini adalah menjadi hak monopoli dan keistimewaan tukang-tukang cerita dan tok dalang. Cerita-cerita ini disampaikan pada ketika-ketika tertentu oleh dalang-dalang, ahli-ahli penglipur lara dalam majlis-majlis perkahwinan, memuja umur Sultan atau pada masa menyambut sesuatu perayaan. Cerita-cerita penglipur lara ini mempunyai bentuk yang tersendiri yang mementingkan pendengaran dan bila dibukukan hilanglah setengah daripada keindahannya. Juga cerita-cerita ini dapat memberi imbasan mengenai masyarakat lama dalam pandangan, gambaran dan tujuan-tujuannya.
Antara cerita-cerita Penglipor Lara yang terkenal dan telah dibukukan ialah:—
Hikayat Malim Deman
Hikayat Awang Sulung Merah Muda
Hikayat Anggun Cik Tunggal
Hikayat Malim Dewa
Hikayat Raja Budiman II
Hikayat Raja Muda
Hikayat Raja Ambung, Raja Dunan,
Hikayat Seri Rama, Hikayat Indera Putera dan Selampit.
Di lndonesia pula terdapat cerita-cerita Si Umbut Muda, Sebai Nan Aloeh, Si Pahit Lidah dan Nan Tunggal Si Magek Jabang.
Semua cerita Penglipur Lara yang terkenal di alam Melayu menggunakan nama hikayat. Memang bentuk, sifat dan aliran cerita-cerita ini dalam menggambarkan kisah-kisah hero dan heroin memakai bentuk hikayat.
Cerita-cerita ini kapada masyarakat sekarang dipandang sebagai cerita-cerita tahyul dan fantasi, kerana isinya tidak masuk akal dan coraknya terlalu romantik.
Ceritanya bukan sahaja bermain di dunia kita, bahkan ada kalanya beredar di permukaan air laut dan meninggi hingga ke kayangan. Perkara yang harus disedari dalam mengkaji cerita ini ialah: cerita-cerita ini mestilah dikaji berdasarkan zamannya, zaman yang tidak mengenal ilmu sains, zaman di mana datuk nenek kita berdamping rapat dengan fenomena alam. Jikalau dikaji dengan mendampingkan masyarakat zamannya, baharulah kita dapat memahami selok-belok kepercayaan mereka, faham sosial dan masyarakat mereka. Berasaskan masyarakat zamannya, cerita-cerita ini berupa kebenaran, boleh berlaku, dan lantaran itulah maka cerita-cerita ini disukai oleh setiap ahli masyarakat.
Ahli-ahli sastera barat sangat mementingkan unsur-unsur pinjam-meminjam dan perkaitan dari luar dalam memperkatakan tentang sastera Melayu. Dalam dunia ini kita harus akui pinjam-meminjam sebagai perkara biasa yang berlaku di mana-mana. Kadang-kadang pula unsur-unsur pinjam-meminjam tidak harus timbul, kerana mungkin sekali alam sekeliling dan keadaan-keadaan yang sama, menyebabkan timbulnya persamaan-persamaan dalam cerita. Winstedt misalnya mengaitkan cerita-cerita ini (terutama versi Seri Rama — Maxwell) dengan cerita-cerita Ramayana. Hikayat Seri Rama dan Penglipur Lara mempunyai unsur-unsur dan warna tempatan dalam nama watak, tempat, dan keadaan dalam cerita hinggakan berupa sebuah sastera rakyat Melayu. Nama-nama tempat, dalam cerita ini saperti Tanjung Bunga; nama puteri saperti Puteri SeKuntum Bunga Se Tangkai, mempunyai tradisi tempatan.
Setelah dibaca keseluruhan cerita-cerita dalam kumpulan ini, kita akan mendapat beberapa kesan mengenai tujuan atau motif cerita-cerita ini. Di sini hanya dapat diperkatakan hal-hal yang umum yang meliputi seluruhnya sahaja. Sesetengah tujuan yang dipaparkan untuk cerita-cerita Jenaka dapat dipakai juga untuk cerita-cerita ini. Selain dari itu cerita-cerita ini dapat menggambarkan faham sosial dalam masyarakat lama, iaitu yang dipentingkan ialah kalangan atasan atau di raja. Tugas rakyat jelata ialah mencari hiburan dari cerita-cerita ini dan dengan itu menganggapnya sebagai panduan hidup.
Pada keseluruhannya, ada beberapa sifat umum dalam cerita-cerita ini:—
i. Pati cerita adalah mengenai cinta dan peperangan atau dugaan. Cerita-cerita ini tidak mempunyai plot yang terjalin. Sebahagian besar daripadanya hanya menyambung-nyambungkan satu peristiwa dengan yang lain. Dengan itu sudah tepatlah nama bila hikayatnya diletakkan di hadapannya.
ii. Watak utama (hero) dan pasangannya (heroin) biasanya dari kalangan di raja.
iii. Tema dalam cerita-cerita ini tidak banyak perbezaannya antara satu sama lain.
iv. Hikayat ini biasanya boleh dibahagikan ke dalam tiga peringkat.
a. Pengenalan terhadap watak hero dan kesusahan atau kezaliman yang menyebabkan hero atau heroin dibuang atau dihalau. Kemudian bermulalah pengembaraannya.
b. Dalam pengembaraan dan perantauannya, hero dan kadang-kadang heroin dengan pengikutnya menemui berbagai-bagai halangan dan peristiwa membela yang baik dan memusnah yang buruk dan jahat. Cerita sampai ke puncaknya.
c. Hero dan heroin biasanya mendapat kebahagiaan dan hidup aman damai semula.
v. Hikayat ini kerapkali dimulakan dengan keadaan ibu bapa hero, yang berkehendakkan seorang anak, misalnya: Mereka mencari ubat mandul atau sesuatu keinginan yang sukar didapati.
vi. Hero dari masa diperanakkan menunjukkan sifat-sifat yang ngeri masa hero dilahirkan, keadaan suasana alam sangat mengerikan dan menakutkan saperti guruh petir, angin ribut, hujan panas.
vii. Sejak kecil lagi hero atau heroin terpaksa mengembara disebabkan mimpi raja atau telahan nujum — hero dibuang atau dihanyutkan atau terpaksa mengembara mengadu nasib.
viii. Hero dan juga heroin mempunyai sesuatu kuasa semulajadi atau sesuatu kesaktian saperti sifat gagah perkasa, kecantikan yang dapat menawan puteri-puteri, dengan menggunakan sesuatu alat atau perkakas saperti cincin, pedang atau pakaian yang mempunyai kuasa untuk menolongnya. Hero juga dibantu oleh seorang penolong Bujang Selamat, nenek kebayan atau orang tua.
ix. Dalam pengembaraannya hero bertemu dengan puteri-puteri jelita dan dapat menawan mereka. Kerapkali puteri-puteri itu adalah tunang orang dan terpaksa dirampas. Setelah beradu kekuatan herolah yang selalunya menang. Dalam pengembaraan juga hero berlawan dengan musuh-musuh seperti gergasi, naga, raja-raja yang bengis dan selepas perlawanan yang berat sebelah, herolah yang menang. Hero berupa pengharapan kapada pihak yang lemah dan yang teraniaya, membela yang baik dan menghapus yang buruk.
x. Pengembaraan hero disebabkan oleh beberapa perkara:
a. Hero dibuang kerana telahan nujum dan sebagainya.
b. Untuk membela yang baik dan memusnah yang buruk.
c. Kerana soal-soal persendirian.
xi. Hero kerapkali pula menukar rupa atau menjelma kerana kepentingan diri sendiri atau untuk menduga kekasihnya.
xii. Semasa peninggalan hero, ibu bapanya menderita akibat niat buruk dari pembesar atau nujum; dan herolah yang kembali membela mereka.
xiii. Hampir semua hikayat-hikayat ini disulami dengan bentuk-bentuk puisi yang penuh berirama dan yang digubah dengan bijak untuk menceritakan kisah-kisah putera puteri, kemakmuran negeri, pakaian, kebesaran raja-raja dan lain-lain.
Cerita-cerita penglipur lara juga kaya dengan gambaran kepercayaan masyarakat lama saperti sabung-menyabung, adat dan perayaan perkahwinan, adat istiadat saperti melenggang perut dan juga bermacam-macam adat raja-raja. Inilah yang menjadi bahan penyelidikan kita dalam hendak mengenal dan memahami masyarakat lama.
Cerita-cerita Jenaka
Dalam sastera Melayu lama, terdapat berbagai jenis cerita yang dapat menyebabkan kita tertawa dan yang membawa unsur hiburan. Dalam istilahnya yang khas, kita gunakan nama Cerita-Cerita Jenaka untuk kumpulan cerita yang membabitkan beberapa tokoh yang amat terkenal kapada masyarakat Melayu lama. Perkara yang penting kapada kita ialah adakah kita masih hendak berpegang kapada pendapat bahawa kebanyakan daripada cerita-cerita Jenaka datang dari luar tanah air, terutama dari unsur-unsur India dan Parsi. Perkara yang nyata kapada kita ialah walaupun cerita-cerita ini mempunyai persaingan dengan unsur-unsur luar, cerita-cerita ini telah disesuaikan dengan unsur-unsur tempatan, diterima oleh masyarakat kita sejak beberapa lama dahulu dan kerana itu patut dianggap sebagai kepunyaan bangsa Melayu asli. Cerita-cerita jenaka juga lebih menggambarkan suasana masyarakat rakyat jelata.
Cerita-cerita jenaka ini boleh kita bahagikan ke dalam dua golongan:—
i. Yang telah sebati dengan masyarakat kita:—
Cerita-cerita Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Pak Belalang, Si Luncai dan Mat Jenin.
ii. Yang masih memperlihatkan unsur-unsur luar terutama Arab dan Parsi:—
Cerita Musang Berjanggut, Abu Nawas dan Khojah Nasyarudin.
Kalau diteiiti cerita-cerita jenaka ini akan terlihat beberapa tujuannya, antara lain ialah:—
i. Cerita-cerita ini dapat membawa masyarakat lama ke alam khayal, berangan-angan, untuk menghiburkan hati dan memisah diri dari alam kenyataan, dari segala kesulitan dan kebosanan yang dihadapi setiap hari.
ii. Setengah-setengah cerita ini membawa unsur petunjuk dan pedoman, (mungkin dalam bentuk sindiran), dan boleh membawa unsur penyedaran kapada yang lalai.
iii. Cerita-cerita ini juga dapat berupa pengkritik yang dalam kapada perkara-perkara yang kurang sopan dan mencela kelakuan yang kurang baik yang dilakukan oleh golongan atasan. Dalam cerita-cerita Pak Belalang ditunjukkan kepintaran Pak Belalang dan kebodohan raja.
Kumpulan cerita jenaka yang terkenal telah dikumpulkan oleh Raja Haji Yahya bin Raja Haji Mohd. Ali dan kemudiannya dibukukan oleh Winstedt dan Wilkinsun.
Cerita jenaka yang berunsur tempatan dapat dibahagikan dalam tiga tingkat:—
i. Cerita orang bodoh — cerita Pak Kadok dan Lebai Malang.
ii. Cerita orang lurus dan betul — Pak Pandir.
iii. Cerita orang cerdik dan pintar — Pak Belalang dan Si Luncai.
Dalam tingkat pertama, digambarkan betapa bodohnya Pak Kadok dan Lebai Malang. Kemalangan Pak Kadok separuh daripadanya terbit dari kebodohannya dan separuh lagi dari nasibnya yang malang. Dalam kedua-dua cerita ini kita diperkenalkan kapada suasana masyarakat Melayu dan sifat-sifat yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Dalam cerita Pak Kadok, segala segi kebodohannya diringkaskan dalam gurindam:—
“Adohai Malang Pak Kadok
Ayamnya menang, kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran.
Mudek menungkah surut
Hilir menungkah pasang.
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan.
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandung duduk.”
(Lihat m.s. II. Cerita jenaka oleh R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock)
Dalam kisah Lebai Malang, perkara-perkara malang yang berlaku pun menimbulkan unsur kelucuannya. Kejenakaan mengenai Lebai Malang digambarkan dalam gurindam:—
“Ayohai nasib fakir miskin
Dapat sedekah sebungkus lempeng
Habis hilang baju dan kain
Penganan habis dibaham anjing
Penat bekerja tidak terkira
Ke sana ke mari tersera-sera
Punah golok bersama nira
Pulang ke rumah mendapat mara.”
(Lihat m.s. 58 Cerita jenaka oleh R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock.)
Cerita Pak Pandir menggambarkan dua sifat yang berbeza. Dari satu pehak kelihatan Pak Pandir sebagitu bodoh dan tolol membuat sesuatu tanpa berfikir:— hinggakan anaknya dimasukkan ke dalam air yang sedang menggelegak, pipit uban disangka lebai, kambing jantan dianggap haji, garam disembunyikan didalam air dan tajak rumput disangkanya kerbau. Dibahagian yang lain pula Pak Pandir digambarkan sebagai orang yang bijak yang dapat membunuh gergasi dan menipu isterinya Mak Andeh untuk membuat penganan. Dengan adanya kedua-dua sifat ini kelihatan lebih jelas sifat penglipurnya di sebalik cerita-cerita ini. Cerita-cerita ini juga setaraf dengan pemikiran masyarakat Melayu lama, sebab itulah cerita-cerita ini sangat popular di kalangan masyarakat Melayu.
Cerita Pak Pandir juga bukan sahaja terkenal di kalangan masyarakat Melayu, tetapi terdapat juga di kalangan bangsa Batak di Sumatra, Sunda dan Jawa.
Cerita Pak Belalang dan Si Luncai menunjukkan sifat kepintaran rakyat biasa yang dapat menipu dan membodohkan kalangan atasan. Pak Belalang dapat mencari nafkah hidup dengan tipu daya mencuri kerbau, tetapi perbuatannya itu tidak diketahui sebab nasib yang baik selalu menyebelahinya. Bahagian cerita di mana Pak Belalang menjadi ahli nujum dan menangkap pencuri, terdapat pula di kalangan orang-orang Aceh, Sunda, Jawa, Batak dan Makasar. Bagitu juga bahagian cerita yang menyatakan bahawa Pak Belalang dapat membezakan antara anak itik jantan dan betina, dan hujung dan pangkal sebatang kayu, di dapati juga di kalangan orang-orang Mun di Indo-Cina, Jawa, Filipina dan Ceylon. Bahagian akhir cerita, di mana Pak Belalang dapat meneka belalang, merupakan satu unsur yang melambangkan nasib baik.
Si Luncai pula digambarkan sebagai seorang yang hina, tetapi kerana kepintaran dan nasib baik, ia dapat mengelakkan diri daripada kena hukum bunuh, dan dapat pula menipu raja hingga membodohkannya; tetapi ia akhirnya mendapat balasan buruk pula. Yang harus dipentingkan dalam cerita-cerita ini bukanlah segala kerumitan dan selok-belok ceritanya tetapi ialah sifat-sifat umum dari keseluruhan cerita-cerita itu.
Cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur pengaruh asing
Sebahagian besar dari cerita-cerita jenaka yang bersifat Melayu asli, oleh orang-orang yang bukan Melayu dicari-carikannya persamaan-persamaan yang terdapat antara cerita-cerita ini dengan cerita-cerita dari bangsa-bangsa yang telah mempengaruhi alam Melayu saperti India, Arab dan Parsi. Winstedt berpendapat, bahawa ada persamaan antara cara, matinya Pak Belalang, Pak Pandir dan Si Luncai dengan bahagian-bahagian cerita dalam kitab-kitab tua Hindu saperti Kasa Sarit Sagara, Hitopa Desa dan Pancatantra. Adanya pengaruh bangsa-bangsa lain di alam Melayu tidak dapat dinafikan, tetapi kemungkinannya besar bahawa persamaan ini ialah secara kebetulan saja. Dengan adanya suasana dan gambaran masyarakat Melayu, lebih-lebih pula yang telah menjadi sebati dengan jiwa Melayu, cerita-cerita ini telah menjadi milik kita.
Cerita-cerita jenaka yang lain yang tidak kurang digemari oleh masyarakat Melayu lama ialah cerita Mat Jenin, Musang Berjanggut dan Abu Nawas. Mat Jenin mengesahkan orang yang berangan-angan di atas pohon kelapa hendak membanyakkan hasil upahannya hingga hendak berkahwin dengan puteri raja dan akhirnya terjerumus jatuh dari pohon itu. Corak cerita Mat Jenin serupa dengan cerita dalam Pancatantra dan juga hikayat 1001 malam. Dalam Hikayat Kalilah dan Daminah (terjemahan Abdullah Munshi 1835) terdapat cerita tentang angan-angan seorang Brahman dengan takar tepungnya, hingga akhirnya takar itu jatuh dan tepungnya terbuang. Tetapi cerita Mat Jenin dengan pokok kelapa, adalah sesuai dengan alam Melayu dan diterima oleh masyarakat Melayu.
Cerita Musang Berjanggut berasal dari Parsi, dianggap sebagai cerita Jenaka yang tinggi mutunya dan lebih menggelikan hati. Cerita ini mencampur-adukkan unsur-unsur kepintaran, kebodohan dan tipu helah untuk melepaskan diri. Cerita ini juga mengagungkan kaum wanita yang dengan kepintarannya dapat menewaskan beberapa orang lain. Jika diteliti ceritanya, timbullah kiasan dan tamparan hebat kapada kaum atasan dan pembesar-pembesar negeri supaya jangan melakukan sesuatu sewenang-wenangnya.
Cerita Abu Nawas berasal dari Parsi dan amat dikenal di kalangan masyarakat Melayu. Yang menjadi unsur hiburan dan gelak ketawa bukanlah hanya kepintaran Abu Nawas sahaja, tetapi ialah juga perbuatan dan tingkahlakunya, yang akhirnya dapat membodohkan sesiapa sahaja yang mengemukakan masaalah atau menguji kepintarannya. Antara cerita-cerita mengenai dia yang termasyhur, ialah Abu Nawas Membilang Bintang Di Langit, Abu Nawas Mencari Lembu Pandai Berkata-kata, Abu Nawas Mengangkat Masjid dan Menunjuk Pusat Bumi. Kononnya Abu Nawas benar-benar hidup di kota Baghdad dalam zaman gemilang kerajaan Parsi.
Cerita-cerita Yang Bermotifkan Binatang
Di sesetengah kalangan masyarakat, cerita yang berlaku di sekeliling binatang, dikenal dengan nama Cerita Mergastua. Di kalangan orang Melayu sendiri terutama yang berbabit dengan pengaruh Islam dalam zaman Nabi Sulaiman, binatang dipercayai boleh bercakap dan berfikir saperti manusia. Dalam cerita-cerita rakyat begini, pelaku-pelakunya kadang-kadang terdiri dari binatang sahaja. Watak-watak manusia, kalau ada pun hanya memainkan peranan sambilan sahaja; kadang-kadang bersifat sebagai seorang bodoh dan memainkan peranan sebagai pemburu atau pengembara sahaja.
Kalau diselidiki secara mendalam, kita akan dapati bahawa tujuan-tujuan cerita ini ialah:—
i. Sebagai satu punca hiburan.
ii. Untuk menyampaikan pengajaran dan penerangan. Binatang-binatang ini juga dapat menjadi lambang sindiran yang dalam, yang pada asasnya, ditujukan kapada manusia. Menggunakan binatang dan alam sekeliling sebagai sindiran adalah satu kebiasaan dalam masyarakat Melayu saperti yang ternyata dalam perumpamaan kita. Dari cerita-cerita binatang juga, kita akan mendapat kesan-kesan penghidupan masyarakat Melayu lama semenjak ia bersifat animisma lagi.
Cerita-cerita mengenai binatang, merupakan satu corak pemikiran masyarakat Melayu lama dalam menghadapi masaalah harian yang tidak dapat dihuraikan dari segi logik. Cerita-cerita ini dapat merupakan suatu jalan keluar untuk kehausan pengetahuan hendak mengetahui sebab musabab sesuatu. Dari itu, bolehlah dibahagikan dongeng binatang atau mergastua ini ke dalam tiga kelompok besar:-
1. Cerita asal-usul atau kejadian sesuatu, baik tumbuhan, tempat, maupun binatang. Dari cerita-cerita ini dapatlah ahli-ahli masyarakat tahu dan menerima pula sifat-sifat binatang itu. Ini merupakan satu pengetahuan, dan dapat meringankan beban hidup sehari-hari. Dalam bahagian ini, kita tidak sahaja diberitahu tentang asal-usul buaya, harimau dan ular, tetapi kita juga turut diberitahu mengapa singa mengaum, beruang pendek ekornya, landak diselubungi duri, ular sawa hilang bisanya, burung hantu keluar waktu malam dan berbagai-bagai cerita lagi.
2. Binatang juga diceritakan dalam bentuk fable, yang mempunyai dua bahagian iaitu:—
a. aliran ceritanya.
b. moral, pengajaran atau tujuan didaktiknya.
Dengan menggunakan unsur-unsur binatang, secara halus lagi berkesan, si pendengar dapat dipengaruhi oleh ajaran di sebalik cerita itu. Cerita saperti ini amat berkesan di kalangan kanak-kanak.
Antara cerita-cerita yang dibaca di sekolah-sekolah ialah cerita Anjing Dengan Bayang-Bayang, Perlumbaan Antara Arnab Dengan Kura-Kura, Tikus Menolong Harimau, Cerita Anak Bayan Dengan Anak Cerpelai dan berbagai lagi. Fable ini kerapkali diakhiri dengan sebuah perumpamaan.
3. Cerita binatang yang terkenal sekali dan terdapat di kalangan beberapa bangsa di dunia ini, ialah yang bernama Beast Epic atau cerita-cerita yang berpusat pada satu pelakon utama yang mempunyai kecerdikan dan kebijaksanaan, dan cerita-cerita ini berpusing di sekitar binatang ini. Epik binatang bukan sahaja terkenal di kalangan bangsa Melayu dengan watak Sang Kancilnya, tetapi terdapat juga di kalangan orang-orang Sunda, Cham, di Eropah Barat dan di kalangan orang India-Amerika.
Di negeri Belanda, binatang yang terpenting ialah serigala, di kalangan orang-orang India-Amerika, sejenis musang. Sang Kancil atau Pelanduk ialah binatang yang menjadi asas epik Melayu. Cerita jenis epik binatang ini bersifat universal, iaitu dikenal di beberapa benua. Maksud utama dari cerita Sang Kancil ialah hiburan, tetapi di sebalik hiburan itu tersembunyi unsur teguran dan penerangan yang dalam.
Binatang yang kecil ini dengan kebijaksanaannya dapat mengalahkan binatang-binatang yang lebih besar dan kuat daripadanya. Begitu juga bentuk pengajaran di sebalik watak yang kecil itu ialah untuk mendorong manusia supaya berfikir dan menggunakan otak dalam menjalankan tugas dan meng-hadapi masaalah harian, juga berupa sindiran terhadap sesaorang yang melakukan sesuatu yang zalim.
Cerita kancil ini boleh dibahagikan ke dalam beberapa tingkatan:—
I. Kancil memainkan peranan sebagai binatang yang pintar dan suka menipu. la dapat menggunakan tipu helahnya untuk mengalahkan binatang-binatang yang lebih besar dan kuat daripadanya. Cerita-cerita ini menjadi sumbangan untuk memberani dan menggalakkan ahli-ahli masyarakat supaya berfikir dalam menjalankan tugas mereka.
Dalam bahagian ini terdapatlah cerita:—
a. Kancil menipu buaya sewaktu hendak menyeberang sungai dan sewaktu kakinya ditangkap buaya.
b. Kancil berlawan minum air sungai dengan binatang-binatang lain; kancil meminum tatkala air sedang surut dan saingannya meminum tatkala air sedang pasang.
c. Kancil menipu kambing sewaktu jatuh dalam perigi.
d. Kancil menipu harimau.
2. Kancil memainkan peranan sebagai binatang yang adil, dan kerana bersikap adil, ia digelar “Syah Alam Di Rimba.” Bahagian ini memperlihatkan watak manusia yang bodoh dan terpaksa menuntut keadilan dari Kancil. Yang penting dalam bahagian ini ialah, secara tak langsung manusia itu dikehendaki berfikir dan jangan berbalah antara mereka dan hendaklah berpegang teguh kapada kata-kata mereka. Contoh-contoh cerita ini ialah:—
a. Kancil menjadi hakim dalam mencari jalan untuk memperlihatkan dua bulan, untuk menyelesaikan perbalahan antara dua orang kawan.
b. Kancil menjadi pengadil masa membicarakan seseorang yang enggan memulangkan beliung yang dipinjam dari kawannya.
c. Kancil melepaskan kerbau yang menolong buaya yang dihempap oleh sebatang kayu, setelah kerbau hampir-hampir menjadi mangsa buaya.
3. Kancil yang cerdik ditipu oleh binatang-binatang lain yang lebih kecil daripadanya. Jenis ini ada beberapa buah sahaja dalam bahasa Melayu, diantaranya ialah:
a. Kancil dialahkan oleh agas.
b. Kancil ditipu oleh bangau sewaktu menyeberang sungai atas kerak nasi.
c. Kancil dialahkan oleh siput dalam lumba lari.
Soal yang mungkin menjadi pertanyaan ialah adanya persamaan-persamaan cerita-cerita bermotif binatang Melayu dengan cerita-cerita dari India. Memang perhubungan antara tanah India dengan alam Melayu terdapat sejak 2,000 tahun dahulu lagi. Soal pinjam-meminjam dan menyesuaikan dengan keadaan-keadaan tempatan, adalah satu perkara biasa dalam kebudayaan.
Di Tanah India memang terdapat kitab-kitab tua Hindu yang membawa cerita-cerita fable yang mengandungi moral saperti kitab Mahabharata. Perkara yang harus kita pentingkan ialah betapa rapinya dan bagaimana kita menerima cerita-cerita itu sebagai sebahagian dari hasil sastera kita.
Petikan dari:
SASTERA MELAYU LAMA (untuk Tingkatan Menengah dan Atas) oleh ANNAS HAJI AHMAD, Terbitan Saudara Sinaran Berhad (Tahun 1964)
Filem Musang Berjanggut