Sayangnya kecintaan, puji-pujian dan pujaan yang melampau seperti yang dipamerkan orang-orang Kristian terhadap Nabi Isa telah menjerumuskan mereka kepada dosa syirik yang langsung mendatangkan kemurkaan Allah lantaran pegangan akidah sesat ‘Jesus is Lord’ (Isa itu Rabb) mereka.
Sedangkan sebagaimana diceritakan di dalam Al-Quran, ketika Allah bertanya kepada Nabi Isa apakah dia menganjur menjadikan dirinya ‘Rabb’ kepada umat manusia, Nabi Isa keras menafikan malahan bertegas bahawa apa yang diserukan kepada mereka adalah supaya mereka semuanya menjadikan Allah satu-satunya ‘Rabb’ (Lord) buat mereka.
Pun orang-orang Kristian menggandakan kesyirikan mereka dengan pegangan akidah sesat ‘Trinity’ (Persyarikatan Tiga Tuhan) yang mensyarikatkan Allah dengan Ruhul Qudus dan Al-Masih.
Betapa Allah telah perjelaskan pula di dalam Al-Quran tentang Keesaan Allah yang menjadi pemilik dan penguasa tunggal di alam ini. Lantaran tidaklah Dia bersyarikat untuk Dia punya rakan-rakan kongsi.
Tidaklah siapa lain yang berhak dan berkuasa untuk menitahkan hukum (decree), menetap dan mengeluarkan perintah selain daripada Allah, atas dasar semuanya adalah di bawah hak dan kuasa mutlak Ketuanan Allah sebagai ‘Rabb-ul-Alameen’ yang tunggal jua.
Allah juga memperjelaskan bahawa Ruhul Qudus (The Holy Spirit/Archangel Gabriel) dan Isa Al-Masih (Jesus Christ) itu adalah para rasul yang tidaklah mereka diberi hak dan Kuasa Ketuanan melainkan sekadar menyampaikan sepenuh dan seadanya hukum dan titah perintah Allah tanpa mengurangi atau menokok tambah.
Selanjutnya orang-orang Kristian menambahkan lagi akidah sesat mereka bahawa ‘Jesus is Son of God’ (Isa itu anak Allah).
Lalu Allah menegaskan dan perjelaskan di dalam Al-Quran bahawa Maha Suci Allah daripada mempunyai anak kerana tidaklah Allah beranak dan tidaklah Allah diperanakkan untuk menolak putar-belit orang-orang fasik tentang wujudnya satu hubungan kekeluargaan ‘God the Father’ dan ‘Jesus the Son of God’ dengan ‘Mother Mary’.
Sementara alasan orang-orang alim Kristian yang mengatakan Isa Al-Masih itu ‘God the Son’ (Tuhan Anak), dan Allah itu ‘God the Father’ (Tuhan Bapa) adalah untuk menunjuk dan mencontohi hubungan taat setianya Al-Masih sebagai Anak terhadap Bapa, yang tetap setia dan patuh menjalankan segala perintah Bapa untuk tidak pernah sekalipun berani mengingkari dan menderhakai Allah.
Maka begitulah bagaimana para penganut Kristian biasanya menyeru Allah dengan panggilan ‘Father’ dan menyeru Isa Al-Masih (Jesus Christ) dengan panggilan ‘Lord’, di samping menyeru Mariam (Mary) dengan panggilan ‘Mother’.
Orang-orang Kristian menganggap bahawa New Testament pada bahagian kedua Kitab Bible (yang didahului Old Testament) itu adalah Kitab Injil. Namun ia lebih mirip seperti Hadith dan Sunnah Nabi Muhammad untuk lebih tepat dianggap Hadith dan Sunnah Nabi Isa, lantaran ia penuh mengandungi riwayat kata-kata dan perbuatan Nabi Isa (sebagaimana diriwayatkan para Sahabat Nabi Isa), bukannya Firman Allah sepertimana halnya dengan Al-Quran.
Barangkali New Testament itu adalah Kitab Injil yang bercampur aduk dengan Hadith/Sunnah Nabi Isa, lantaran kegagalan membezakan fiiman Allah yang langsung keluar dari mulut Nabi Isa dengan pertuturan Nabi Isa yang bukan firman, yang mungkin termasuk pula riwayat yang ditokok tambah.
Lantaran itu, Nabi Muhammad ketika hayat Baginda amat berhati-hati untuk melarang penulisan hadith/sunnah Baginda. Larangan itu kekal dipatuhi sampai ke zaman sahabat untuk mempastikan Al-Quran itu sepenuhnya Firman Allah.
Sayugia orang-orang Kristian memperbetulkan akidah mereka supaya mereka terlepas dan terhindar dari dosa syirik. Betapa sayang melihat segala usaha kebaikan dan kerja-kerja kebajikan yang mereka tekun jalankan untuk menyampaikan rahmat Allah kepada orang-orang miskin dan kurang berupaya itu menjadi menjadi tergantung pahalanya kepada mereka lantaran kesyirikan/kesesatan mereka.
Memang orang-orang Kristian mendahului orang-orang Islam sendiri dalam susunan gerakan berkaitan usaha dan kerja-kerja kebajikan untuk faedah komuniti yang memberi pembelaan kepada orang-orang fakir dan miskin.
Kebanjiran pakaian ‘bundle’ terpakai ke negara Malaysia sejak akhir-akhir ini, umpamanya, adalah dipercayai datangnya dari sumbangan orang-orang Kristian kepada Gereja di negara-negara maju yang dilelong Gereja untuk dijual kepada pengusaha/pengedar pakaian ‘bundle’ untuk tabung kebajikan Gereja.
Selain itu orang-orang kaya dari kalangan orang-orang Kristian gemar membuat sumbangan wang ringgit kepada Gereja membuatkan Gereja mempunyai dana yang besar untuk mampu membayar gaji atau wang sara hidup kepada ramai pendakwahnya yang mahu terlibat dalam kerja-kerja keagamaan dan kebajikan sepenuh masa.
Lalu tidak hairanlah bagaimana agama Kristian mempunyai penganut yang sangat ramai mendahului penganut Islam sendiri sehingga dikhuatiri oleh sesetengah pihak mubaligh kristian mampu menghampiri untuk berjaya mempengaruhi dan menukar agama orang-orang Islam sedia ada kepada agama mereka.