Majoriti negara dunia kini telah mengiktiraf kedua-dua negara yahudi Israel dan negara arab Palestin untuk menjalin hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara tersebut. Cuma sedikit negara yang memilih mengiktiraf salah satu, manakala ada sebilangan yang telah memutuskan hubungan diplomatik dan menarik balik pengiktirafan mereka terhadap negara Israel.
Sementara negara-negara yang menolak pengiktirafan negara Arab Palestin itu beranggapan tidak wujud entiti negara Arab Palestin yang merdeka (untuk dberi taraf pengiktirafan), selagi wilayah negara yang diisytiharkan itu tidak dibebaskan Israel untuk dikuasai sepenuhnya oleh Arab Palestin.
Sejarah mencatatkan Arab Palestin tidak pernah menguasai wilayah yang diperuntukkan PBB kepadanya. Lain halnya dengan Yahudi Israel yang telah menuntut hak kenegaraan dan penguasaan ke atas wilayah yang diperuntukkan kepadanya mengikut Resolusi 181 (Partition Plan) PBB 1947 secara mengisytiharkan penubuhan negara Israel pada 14 Mei 1948, sehari sebelum tarikh pelan pengunduran British dari wilayah bumi Palestin yang dijajahnya.
Arab Palestin mengambil sikap menolak resolusi PBB yang tersebut dan enggan membuat pengisytiharan serupa untuk menuntut penguasaan dan kemerdekaan negara Arab Palestin di wilayah yang diperuntukkan PBB kepadanya mengikut ‘Partition Plan’ Resolusi 181 PBB sidang 29 November 1947 itu.
Pada hari pengunduran British dari bumi Palestin pada 15 Mei 1948, lima negara jiran Mesir, Syria, Iraq, Lubnan dan Jordan telah bertindak menyerang bumi Palestin dan menawan wilayah Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Serangan tersebut mendorong kepada meningkatnya pertambahan pelarian perang Arab Palestin kepada jumlah 713,000 orang.
Sebelum serangan itu 300,000 Arab Palestin telahpun lari meninggalkan Palestin kerana takut menerima nasib sama berikutan peristiwa pembunuhan beramai-ramai 250 orang Arab Palestin, termasuk lebih 100 wanita dan kanak-kanak, dalam serangan tanpa perikemanusiaan di perkampungan Deir Yasin pada 9 April 1948 oleh dua kumpulan militan Yahudi dari kaum Irgun di bawah ketua pemerintah Menachem Begin, dan dari kumpulan Stern Gang di bawah ketua pemerintah Yitzak Shamir.
Mesir kemudiannya menguasai dan mentadbir Semenanjung Gaza, manakala Jordan bukan saja bertindak menguasai malah telah mengisytiharkan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur menjadi sebahagian wilayah negaranya setelah termeterainya perjanjian gencatan senjata 5 negara Arab yang tersebut degan Israel pada tahun 1949.
Sembilan belas tahun kemudian pada tahun 1967 Israel mencabul gencatan senjata 1949 untuk melancarkan serangan mengejut merampas dan menguasai kembali Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur untuk kekal berada di bawah penguasaan Israel sehingga ke hari ini.
Sejak itu Israel telah mula menceroboh dan membina penempatan haram terutama di wilayah Tebing Barat. Regim zionis Israel dengan angkuhnya menjustifikasikan tindakan tersebut sebagai bukan satu pencerobohan ke atas kedaulatan wilayah Arab Palestin, kerana pada Israel, tidak pernah wujud sebuah negara Arab Palestin yang merdeka di bumi Palestin.