Tragedi Kemanusiaan Bumi Palestin

Penubuhan negara Israel diisytiharkan pada 14 Mei 1948 oleh Perdana Menteri pertama Israel, David Ben-Gurion, sehari sebelum tarikh pelan pengunduran British dari tanah jajahannya di bumi Palestin.

(Berdasarkan isu, realiti dan pilihan praktikal yang ada kini) sepatutnya  pemimpin tertinggi Palestin (pada ketika itu) membalasnya dengan satu pengisytiharan serupa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat atas wilayah yang telahpun diperincikan persempadanan dan pembahagiannya antara yahudi Israel dan arab Palestin, mengikut resolusi 181 Pelan Pembahagian (Partition Plan) PBB yang diluluskan dalam sidang PBB bertarih 29 November 1947.

Kesilapan besar pemimpin Arab Palestin, temasuk pula campurtangan negera-negara tetangga Arab yang lain, ialah menentang dan enggan akur kepada ketetapan berkerompromi PBB mewujudkan dua negara berasingan, melalui kaedah persempadanan untuk penubuhan satu negara majoriti bangsa yahudi dan satu lagi penubuhan negara majoriti bangsa arab, di bumi Palestin. Ini termasuk penubuhan wilayah antarabangsa yang ditadbir PBB di Baitulmaqdis.

Sebaliknya Mesir, Iraq, Syria, Lebanon dan Jordan telah bertindak menyerang bumi Palestin pada 15-16 Mei 1948, lalu membangkit dan menimpakan serantaian tragedi besar kemanusiaan terhadap rakyat Arab Palestin yang sampai hari inipun masih dinafikan hak negara sendiri.

Barangkali serangan itu boleh dijustifikasikan untuk tujuan menyelamatkan penduduk Arab di bumi Palestin yang sebelum serangan tersebut 300,000 Arab Palestin telahpun lari meninggalkan bumi Palestin sebagai pelarian perang kerana takut menerima nasib sama berikutan peristiwa pembunuhan beramai-ramai 250 orang Arab Palestin, termasuk lebih 100 wanita dan kanak-kanak, dalam serangan tanpa perikemanusiaan di perkampungan Deir Yasin pada 9 April 1948 oleh dua kumpulan militan Yahudi dari kaum Irgun di bawah ketua pemerintah Menachem Begin, dan dari kumpulan Stern Gang di bawah ketua pemerintah Yitzak Shamir.

Hari ini dianggarkan ada 4.7  juta pelarian Palestin di mana 3.4 juta daripadanya didaftarkan oleh UNRWA di penempatan kem-kem pelarian perang Arab-Israel terutamanya di Jordan dan Lubnan, termasuk di Syria dan Mesir. Antara mereka,  ada yang telah berpindah untuk menetap di Amerika Syarikat, Kanada dan Amerika Latin.

Konflik perang Arab-Israel tahun 1948 tersebut disusuli dengan perjanjian genjatan senjata Arab-Israel 1949 untuk membolehkan Mesir menguasai dan mentadbir Semenanjung Gaza. Sementara  Jordan bukan saja bertindak menguasai malah telah kemudiannya mengisytiharkan wilayah Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai sebahagian daripada wilayah negaranya.

Nampak seperti bukan niat serangan dan penaklukan itu antaranya untuk mengelak yahudi Israel daripada cuba turut menguasai dan merampas wilayah-wilayah penduduk majoriti arab di bumi Palestin untuk dijadikan sebahagian negara yahudi Israel. Jika tidak, masakan wilayah-wilayah tersebut tidak terus segera diserahkan kepada Arab Palestin untuk mengisytiharkan sebuah negara Arab Palestin yang merdeka dan berdaulat di atas wilayah tersebut tanpa boleh dipertikaikan mana-mana pihak  kerana ia sejajar dan sepertimana dikehendaki resolusi 181 PBB 1947.

Namun malang 19 tahun kemudiannya, meletus pula “perang enam hari” Israel-Arab 1967 yang menyaksikan pencabulan perjanjian gencatan senjata di pihak Israel dengan melakukan serangan mengejut ke atas Mesir, Jordan dan Syria tanpa provokasi untuk Israel merampas kembali Semenanjung Gaza dari Mesir, juga Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dari Jordan, termasuk menawan Semenanjung Sinai dari Mesir dan Bukit Golan dari Syria.

Kejayaan perang 1967, termasuk perang 1973 untuk menangkis cubaan Mesir dan Syria untuk mendapatkan semula Semenanjung Sinai dan Bukit Golan telah kemudiannya mendorong Mesir  mengadakan beberapa siri perjanjian damai Mesir-Israel 1974, 1975 dan 1979, diikuti perjanjian damai Syria-Israel 1994, dan perjanjian damai Jordan-Israel di tahun yang sama.  Lubnan yang patuh kepada Perjanjian Perlucutan Senjata Arab-Israel 1949 itu tidak menyertai perang 1967 dan perang 1973 dengan Israel. Sejak itu Mesir dan Jordan masing-masing telah mengiktiraf dan mengadakan hubugan diplomatik dengan negara yahudi Israel.

Hilangnya cabaran dan terhentinya sokongan negara-negara jiran Israel ini terhadap perjuangan pembebasan Arab Palestin mendorong keberanian regim zionis Israel melakukan pencerobohan, pendudukan dan pembinaan penempatan haram ke atas wilayah yang asalnya diperuntukkan PBB untuk penubuhan negara Arab Palestin itu.

Regim zionis Israel mempertahankan tindakannya dengan berkeras bahawa Israel tidak melakukan pencerobohan atau pendudukan haram kerana tidak wujud negara Arab Palestin yang merdeka di bumi Palestin untuk dicabuli kedaulatan wilayahnya.

Israel memberi amaran untuk menentang habis-habisan apa jua cubaan untuk mewujudkan sebuah negara Arab Palestin, tanpa terlebih dahulu mengadakan rundingan dan perjanjian keselamatan dengan Israel selain syarat mengiktiraf kedaulatan negara yahudi Israel di bumi Palestin.

Sementara itu, bangsa Arab tidak meihat Empayar Uthmaniyah sebagai kerajaan Islam tapi penjajahan hampir 400 tahun bangsa Turki ke atas bangsa Arab dan tanah Arab.

Lalu, mereka mengadakan perjanjian dengan British melalui perjanjian secara perutusan surat-menyurat yang dikenali sebagai  Hussein-McMahon Correspondence pada tahun 1915 untuk membantu pemberontakan menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah supaya tanah Arab dibebaskan dari cengkaman penjajahan Turki untuk bangsa Arab dapat memerintah tanah air mereka sendiri.

Empayar Kerajaan Uthmaniyah Turki

Malangnya bangsa Arab tidak tahu pakatan sulit British-Perancis yang mengadakan Perjanjian Sykes-Picot, 1916 untuk mengambil alih dan membahagikan sesama mereka kuasa penjajahan dari tangan bekas kuasa Empayar Uthmaniyah Turki yang mereka kalahkan dalam perang dunia pertama dengan bantuan pemberontakan bangsa Arab itu sendiri.

Bangsa Arab Palestin, Iraq, Mesir, Jordan, Lebanon dan Syria terutamanya akhirnya merasa seperti diperdayakan apabila British berhasrat menunaikan Deklarasi Balfour 1917 secara menyerahkan bumi Palestin kepada zionis utk menjadikan Palestin sebuah negara Yahudi di atas tanah Palestin yang menjadi ‘tanah suci’ Yahudi.

Mereka sedar, selain Palestin, wujudnya juga ‘tanah suci’ yahudi di wilayah-wilayah dalam negeri mereka yang menjadi tempat bersejarah nabi-nabi orang Yahudi untuk mereka merasa sangat terancam dengan kehadiran sebuah negara Yahudi di Palestin. Mereka khuatir zionis mahu memperluaskan negara Yahudi ini untuk meliputi wilayah-wilayah negeri mereka juga satu hari nanti.

Barangkali sebab itulah Iraq, Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan merasa terpanggil untuk bertindak menyerang Israel bagi menggagalkan usaha penubuhan negara yahudi di tanah Palestin itu sebaik penubuhan negara Israel diisytiharkan.

Apapun, persoalan di sini apakah negara yahudi Israel itu dibentuk untuk bercirikan sebuah negara theokrasi yahudi atau sebuah negara demokrasi yang menjadi halaman kepada orang-orang yahudi?

Atau, nama Israel yang dipilih sebagai nama negara itu ada tersirat maksud untuk menjadikan Israel negara buat umat Bani Israel (keturunan Nabi Yaakob a.s.) yang sudah tentunya ada dari kalangan mereka itu yang beragama kristian dan islam, selain yahudi.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan Arab Palestin? Apakah ia berdasarkan sebab mereka itu terdiri dari kalangan orang Islam dan orang Kristian berbangsa Arab yang bukan dari keturunan Israel (Nabi Yaakub a.s.) tetapi dari keturunan Nabi Ismail a,s. untuk mereka dibangsakan sebagai Arab?

Walhal, sama ada yang menghuni bumi Palestin itu adalah salasilah keturunan dari suku-suku yang boleh dikaitkan dengan Bani Israel atau Bani Ismail, kesemua mereka tetap dari Bani Ibrahim, tidak kira mereka itu yahudi, nasrani atau muslim.

Apapun, hakikatnya ialah orang-orang yahudi berkongsi Tuhan, para malaikat, para rasul, sejarah dan bumi anbia dengan orang-orang islam, kecuali yang berkaitan dengan Nabi Muhammad (saw) dan Nabi Isa (as), yang orang-orang yahudi tidak iktiraf kenabian dan kerasulan mereka berdua itu.

Begitu juga halnya orang-orang Kristian dengan orang-orang Islam, kecuali yang berkaitan dengan Nabi Muhammad (saw), yang orang-orang kristian tidak iktiraf kenabian dan kerasulan Baginda itu.

Sepatutnya ketiga-tiga umat di bumi Palestin dari umat Israel (Nabi Yaakob a.s.), umat Al-Masih (Nabi Isa a.s.) dan umat Nabi Muhammad (saw) yang agama masing-masing berasal dari agama Nabi Ibrahim (as), yang diangkat Allah sebagai pemimpin besar semua umat, harus dapat saling bersefahaman dan bermuafakat, untuk dapat berkongsi hidup dan berkongsi tanah bumi yang menjadi hak milik mutlak Allah jua itu secara beramanah dan berlaku adil dalam suasana mesra dan aman damai.

Tidak harus ada permusuhan, serangan dan kejadian berbunuhan dari kalangan mereka dan tidak juga harus ada sempadan pemisahan negara dari pembinaan tembok sempadan, biarpun atas alasan keselamatan, yang tidak sesuai dengan ketamadunan manusia selain mengaib dan mencolok mata itu.

Barangkali lebih sesuai jika wujud cuma satu negara tunggal Greater Palestine, bukan dua negara yahudi Israel dan arab Palestin di bumi Palestin, untuk kedua-dua puak arab Palestin dan yahudi Israel dapat membentuk sebuah negara demokratik secara perkongsian kuasa, yang boleh digilirkan jawatan Perdana Menteri antara kedua puak Bani Israel dan Arab.

Biar ia menjadi lambang dan pemangkin yang menjurus kepada persefahaman dan persatuan penganut agama Ibrahim sedunia demi memulihkan hubungan kurang mesra yang penuh prejudis antara Kristian-Yahudi, Islam-Yahudi dan Islam-Kristian supaya dapat dipertingkatkan hubungan baik antarabangsa bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan global.

Apapun, biarlah nasib bumi Palestin ditentukan sendiri oleh umat arab Palestin (termasuk 3.4 juta pelarian perang Arab-Israel dalam daftar UNRWA) bersama umat bani israel Palestin, melalui satu pungutan suara yang dikendalikan PBB sama ada mereka mahukan dua negara berasingan (yahudi Israel dan arab Palestin) atau satu negara tunggal (Greater Palestine).

Jika hasil keputusan pungutan suara mahukan dua negara berasingan maka PBB perlu mengadakan sidang khas PBB meluluskan resolusi mengekal dan mengesahkan resolusi 181 PBB 29 November 1947 untuk memaksa Israel berundur dari semua wilayah haram yang didudukinya untuk diserahkan kepada arab Palestin untuk mengisytiharkan penubuhan negara arab Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Sekiranya pula keputusan pungutan suara itu menghendaki sebaliknya, PBB perlu mengadakan sidang untuk meluluskan resolusi meleraikan kenegaraan Israel dan membentuk Jawatankuasa Khas untuk mengawal selia penubuhan negara baru Greater Palestin yang tunggal dan demokratik di bumi Palestin, selain menyelia satu Pilihanraya bebas yang pertama untuk negara baru tersebut bagi menubuhkan Kerajaan yang boleh diterima semua warganegara Greater Palestine untuk dihormati dan diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s