Dr. Burhanuddin al-Helmy

Di atas robohan kota Melaka Kita bangunkan jiwa merdeka Bersatulah Melayu seluruh baka Membela hak keadilan pusaka (Kota Melaka, 1946)

Dr. Burhanuddin al-Helmy, atau nama penuhnya, Burhanuddin bin Haji Muhammad Nor,  lahir di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911, adalah seorang doktor perubatan homeopati yang alim dalam bidang agama Islam. Beliau menguasai nahu saraf dan sastera Arab untuk mampu mentafsir al-Quran dan Hadis dengan baik.  Selain boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Dr Burhanuddin adalah Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ketiga selepas Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Abbas Alias. Dr Burhanuddin mengambil alih pucuk pimpinan PAS  pada tahun 1956 hingga kematiannya pada tahun 1969.

Dr. Burhanuddin al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli Muhammad dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu. Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti di antara kedua tokoh besar ini menunjukkan kematangan ahli-ahli serta amalan dan suasana demokrasi dalam PAS sejak awal-awal penubuhannya lagi.

Muktamar kemudiannya dengan sebulat suara memilih Prof Zulkifli Muhammad menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Gabungan mereka berdua inilah yang terus memantapkan PAS.

Di bawah kepimpinan Dr Burhanuddin, PAS mempunyai orientasi menyokong kesatuan sekerja dan anti-kolonial. Beliau digambarkan sebagai seorang “nasionalis radikal dan pemikir Islam”.

Kepemimpinan Dr. Burhanuddin dalam PAS  membawa kejayaan besar kepada beliau dan PAS dalam PRU 1959 apabila beliau menang kerusi Parlimen Besut  untuk menyertai 13 lagi wakil rakyat PAS ke Parlimen. PAS menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu dan  di DUN Kelantan PAS menguasai 28 daripada 30 kerusi  untuk meletakkan Mohd Daud Abdul Samad menjadi Menteri Besar di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar, Menteri Besar di Kelantan.

Namun, malang bagi PAS, kerajaan pimpinan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 lantaran permainan politik kotor Perikatan di luar Pilihanraya.

Dr Burhanuddin al-Helmy tercicir dari PRU 1964 setelah SPR mengisytiharkan Dr. Burhanuddin hilang kelayakan bertanding kerana telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan.

Malang bagi PAS dan Dr Burhanuddin pada 6hb Mei 1964 apabila  Timbalan beliau, Prof Dato’ Dr Zulkifli Muhammad (Ahli Parlimen Bachok 1969-1964), meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di Kuantan bersama isteri, Ustazah Asiah Kamaruddin yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Pusat ketika dalam perjalanan berkereta pulang ke Perak dari Kelantan.

Setahun selepas itu Dr. Burhanuddin al-Helmy pula ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama satu tahun atas tuduhan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dan memasang sebuah kerajaan pengganti yang lebih ramah kepada Indonesia. Beliau ditahan pada 28 Januari 1965 dengan sokongan oleh Tun Dr. Ismail. Alasan yang digunakan adalah kerana Dr. Burhanuddin al-Helmy ini mengkhianati dan menderhaka kepada negara. Dengan demikian beliau tidak perlu dibicarakan.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy dibebaskan dari tahanan pada bulan Mac 1966 tetapi dikenakan syarat sekatan kawasan dan tidak dibenarkan berpolitik, sehinggalah Dr. Burhanuddin meninggal dunia pada tanggal 10 Oktober 1969 akibat penyakit lelahnya yang mula menjadi tenat dan tidak terkawal sejak semasa dalam tahanan ISA.

Minat mendalam perjuangan politik Dr. Burhanuddin al-Helmy bermula ketika beliau menuntut di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyyah, Pulau Pinang.   Mudir madrasah  Sheikh Abu Bakar al-Rafie, selain Haji Arshad al-Bawayih, guru  tatabahasa bahasa Arab adalah dari golongan ‘Kaum Muda’, dan Ashiran Yaakob, yang juga merupakan seorang penulis yang memperjuangkan nasib politik, ekonomi dan sosial orang Melayu, dikatakan banyak mempengaruhi minda pemikiran politik awal Dr Burhanuddin. Aliran pemikiran baru inlah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau.

Sebelum itu, semasa belajar di Jambi, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin al-Helmy yang berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat Islam Indonesia, termasuk para pendidik lain di situ, adalah juga kebetulannya terdiri dari kalangan aliran ‘Kaum Muda’ belaka.

Selepas tamat pengajian di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyyah, Pulau Pinang, Burhanuddin al-Helmy kemudiannya telah mendapat biasiswa dari seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh, India. Di universiti ini Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pengajian Ijazah di bidang sastera dan falsafah, sehingga ke peringkat dianugerahkan Ijazah PhD.

Di India, beliau telah terdedah dengan ajaran tasawuf  Naqsyabandiah, selain didedahkan dengan perjuangan Mahatma Gandhi menuntut pembebasan India daripada penjajahan British. Beliau dikatakan menghadiri rapat umum dan ceramah-ceramah Mahatma Gandhi serta mengikuti pendapat Mahatma Gandhi yang menuntut kebebasan politik bagi India dan tidak menggalakkan kekerasan dan permusuhan dalam kalangan orang India.

Semasa di India, beliau sempat juga bertemu dan berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan para pemimpin kemerdekaan India yang lain.

Setelah tamat pengajiannya di India beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki sebelum ke Singapura untuk bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura.

Ketika di Singapura, Dr Burhanuddin al-Helmy belajar pula ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah sehingga beliau berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Dr. Burhanuddin al-Helmy turut di anugerahkan ijazah Doctor of Naturopathy dari School of Naturopathy, London dan Doctor of Divinity daripada International Academy Canada, secara ijazah luar kampus.

Dengan kelayakan ini, Burhanuddin al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura.

Dr Burhanuddin mula berjinak-jinak dengan gerakan politik tanah air apabila beliau menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaakob.

Di zaman pendududukan Jepun, Bersama-sama dengan Ibrahim Haji Yaakob, Onan Siraj dan beberapa orang pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang lain, Dr. Burhanuddin al-Helmy telah menubuhkan pula Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Julai 1945.

Penubuhan KRIS digalakkan oleh pihak Jepun. Jepun sebenarnya telah menjanjikan kemerdekaan kepada Indonesia. Justeru itu beberapa siri rundingan telah diadakan antara pihak Jepun dengan Soekarno. Lalu kesempatan ini mahu diraih Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Ibrahim Yaakob yang mahu bawa Tanah Melayu merdeka bersama Indonesia melalui gagasan Indonesia Raya apabila Jepun berundur nanti.

Atas matlamat inilah satu perundingan dan perbincangan telah diadakan antara Ibrahim Yaakob dengan Soekarno dan Hatta di Taiping pada 12 dan 13 Ogos 1945. Soekarno dan Hatta pada ketika itu dalam perjalanan pulang dari Saigon setelah bertemu Field Marshall Terauchi, Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun bagi Asia Tenggara.

Usaha-usaha mencapai kemerdekaan dalam konsep Indonesia Raya ini telah dijalankan dengan digerakkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Satu mesyuarat telah diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 1945 bagi merancang beberapa langkah yang patut dibuat bagi menentang kemasukan semula British ke Tanah Melayu. Mesyuarat juga telah memutuskan sebuah kabinet dibentuk bagi negara merdeka tersebut dengan nama Malaya Demokratik Rakyat, di mana dalam kabinet ini Dr. Burhanuddin al-Helmy juga dilantik sebagai anggota kabinet.

Mesyuarat juga membincangkan cara-cara bagi mengelak penguasaan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) selepas pengunduran Jepun. Pada 17 Ogos 1945, atas arahan Ibrahim Yaakob, satu perjumpaan dengan wakil-wakil pemuda KRIS telah diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Perjumpaan ini turut dihadiri Itagaki dan dua orang kawannya. Pihak Jepun telah memberitahu rancangan untuk merdeka dalam Indonesia Raya tidak dapat dilaksanakan kerana penyerahan diri Jepun secara mendadak pada 15 Ogos 1945. Dengan itu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu juga gagal. Kegagalan ini sedikit menghampakan Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Selepas Perang Dunia II dan selepas penjajah Inggeris kembali berkuasa, Dr. Burhanuddin al-Helmy, bersama Mokhtarudin Lasso, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam telah menubuhkan pula Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti yang dipengerusikan Dr Burhanuddin al-Helmy ini menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris, selain hasrat membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan “kesatuan politik” Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu agenda perjuangan utama Dr Burhanuddin.

Dr. Burhanuddin al-Helmy turut menjadi perancang utama untuk penubuhan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin Ahmad Boestamam dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin Shamsiah Fakeh. Beliau turut terlibat dalam penubuhan Parti Islam Hisbul Muslimin yang dipimpin Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Dr Burhanuddin al-Helmy adalah seorang pemimpin berpengaruh yang jujur, mudah didampingi, berfikiran terbuka, senang diajak berbincang  dan mudah bertolak ansur asalkan kena pada tempatnya, kerana pada sisi lain beliau adalah seorang yang tegas dan amat teguh pendiriannya.

Dalam peristiwa penggubalan Perlembagaan Rakyat, soal kerakyatan di mana All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) mahukan kerakyatan berdasarkan tempat lahir atau jus soli sedangkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) keberatan menerima kerakyatan cara ini. Perbalahan juga berlaku dalam soal nama kerakyatan, AMCJA mahukan kerakyatan yang bernama “Malayan” sedangkan PUTERA yang dipimpin Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Dr. Burhanuddin al-Helmy yang menjuarai dan mempengerusikan PUTERA-AMCJA mahukan kerakyatan yang bernama “Melayu”.

Dalam hal ini Dr. Burhanuddin al-Helmy tetap dengan pendiriannya sehingga memaksa Ahmad Boestamam menggunakan kebijaksanaannya menyelesaikan masalah ini bagi menjayakan Perlembagaan Rakyat.

Apapun, segala yang telah cuba diusahakan oleh Dr Burhanuddin bersama rakan-rakan pejuang politiknya yang lain seperti Ibrahim Yaakob,  Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir akhirnya dipatahkan dari tindakan keras pentadbiran British di Malaya yang mengisytiharkan undang-undang darurat 1948 yang menyaksikan bukan saja Parti Komunis Malaya (PKM), tetapi semua pertubuhan kiri yang menentang penjajahan British termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),  Parti Hisbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), PUTERA-AMCJA dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) diharamkan. Semua pemimpin, pengikut dan simpatisan pertubuhan diburu dan ditangkap.

Hampir 34,000 kesemuanya rakyat Tanah Melayu daripada golongan yang simpati dengan gerakan anti-kolonial telah menjadi tahanan politik tanpa bicara antara 1948-57 dari gerakan besar-besaran oleh pentadbir penjajah Inggeris untuk melumpuhkan samasekali tentangan anak negeri terhadap penjajahan Inggeris . Mereka termasuklah Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir.

Ada yang lari ke Indonesia seperti Ibrahim Yaakob dan ada yang lari masuk hutan untuk mengelak tangkapan tapi diburu terus oleh pasukan tentera bersenjata untuk dihapuskan.

Antara yang sempat lari masuk ke hutan termasuk Shamsiah Fakeh pemimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Mat Indera, pemimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) di Johor  yang kemudiannya bergabung dengan pasukan militan melayu dari Regimen ke-10 Tentera Pembebasan Malaya yang berpangkalan di Lubok Kawah, Temerloh, Pahang  untuk menyertai Rashid Maidin dan Musa Ahmad, dua pemimpin kanan Parti Komunis Malaya, yang  turut sempat lari ke dalam hutan.

Walaupun Dr. Burhanuddin al-Helmi tinggal di Singapura ketika itu, beliau turut di tahan antara tahun 1950 hingga tahun 1952 di penjara Singapura atas tuduhan terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda. Ini hanyalah dijadikan alasan pihak penjajah Inggeris yang tidak senang dengan saranan terbuka Dr Burhanuddin supaya Rakyat tidak menentang usaha Tentera Pembebasan Malaya mengusir penjajah Inggeris keluar dari Tanah Melayu.

Sementara itu. PAS (nama asalnya, Parti Islam SeTanah Melayu), pimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan , Parti Rakyat Malaya, pimpinan Ahmad Boestamam, dan Parti Buroh Malaya, yang pada awalnya dipengerusikan oleh Lee Moke Sang , kemudiannya DS Ramanathan, sebelum dipimpin Ishak Haji Muhammad  adalah antara parti politik pembangkang terawal yang ditubuhkan kemudiannya untuk menyertai Pilihanraya 1959 selepas Malaya mencapai kemerdekaan.

Penyertaan Dr Burhanuddin dalam PAS telah diusahakan oleh sekumpulan angkatan  muda PAS yang antaranya terdiri daripada Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Mohd Asri Muda setelah mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung dengan jawatan utama PAS.

Mereka bersepakat bahawa tidak ada orang yang lebih tepat memimpin PAS pada masa itu selain daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy sendiri. Ketika itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hanya bergiat cergas mempromosi Parti Rakyat Malaya di seluruh Tanah Melayu. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik ketika itu.

Pada bulan Disember 1956 satu perwakilan yang terdiri daripada Ustaz Abdul Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus bertemu Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa tugas ini dilaksanakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Hj Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh Ustaz Hasan Adli untuk mendapatkan persetujuan bertulis daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan meminta beliau mengisi borang keahlian PAS.

Dr Burhanuddin menerima pelawaan ini dengan hati terbuka. Apatah lagi dikatakan telah wujud satu persefahaman dan kesepakatan di kalangan ketiga-tiga mereka untuk Ahmad Boestamam menerajui Parti Rakyat Malaya, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) menerajui Parti Buruh dan Dr Burhanuddin  menerajui PAS.  Ini bagi membolehkan penyatuan rakyat dari tiga sisi berbeza dan memudahkan kerjasama dari kalangan parti berbeza sebagai strategi untuk menang Pilihanraya.

Sementara itu, ketegasan Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam  untuk tidak menyokong penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 kerana keghairahan masing-masing yang tidak pernah putus asa mahu menjayakan rancangan alternatif gagasan Melayu Raya yang lebih besar melalui peluang baru penubuhan Persekutuan Maphilindo selepas merdeka telah membawa padah kepada kedua-dua mereka.

Negara kemudiannya menyaksikan dua pemimpin tertinggi parti  PAS dan Parti Rakyat Malaya yang berpengaruh dtangkap dan ditahan di bawah undang-undang ISA (Internal Security Act)  atas tuduhan terlibat dalam aktiviti subversif yang membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara.

Dr Burhanuddin dituduh berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dan memasang sebuah kerajaan pengganti yang lebih ramah kepada Indonesia. Manakala Ahmad Boestamam dituduh terlibat dalam menyokong usaha Indonesia menentang penubuhan Malaysia selain dituduh terlibat dalam peristiwa kebangkitan rakyat Brunei anjuran Parti Rakyat Brunei pimpinan Azhari pada tahun 1962 yang menuntut kemerdekaan Kalimantan Utara meliputi wilayah Sabah, Sarawak dan Brunei dari British.

Walhal, rancangan penubuhan Persekutuan Maphilindo bagi menggantikan rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia  ini pada pada awalnya dipersetujui sendiri oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman bersama Presiden Republik Filipina, Macapagal dan Presiden Republik Indonesia, Soekarno dalam satu Sidang Kemuncak di Manila menjelang pengisytiharan penubuhan Persekutuan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 16 September 1963 .

Namun Tunku terpaksa tunduk kepada tekanan dan telunjuk British dan Amerika Syarikat yang tidak mesra dengan Soekarno dan Indonesia biarpun Malaya pada waktu itu telah pun merdeka dari penjajahan Inggeris.

Walaubagaimanapun, tidak pula dinyatakan sebab kenapa dipandang sepi cadangan alternatif yang lain oleh Presiden Macapagal supaya Filipina saja menyertai Malaysia dulu di bawah gagasan Federation of Greater Malaysia, tanpa Indonesia, untuk membolehkan Indonesia menyelesaikan masalahnya terlebih dulu dengan Britain dan Amerika Syarikat, demi menjayakan usaha penyatuan negara-negara Melayu seluruh Nusantara yang dipecahkan-belahkan oleh penjajah Inggeris, Sepanyol dan Belanda.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s