Tun Teja: Antara Versi Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah

Tun Teja

Tun Teja Ratna Benggala, atau Tun Teja, adalah puteri tunggal Bendahara Seri Amar Diraja Pahang ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Shah, Sultan Pahang ketiga,yang sezaman dengan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka ke 8.

Tun Teja, yang sebenarnya telahpun ditunangkan dengan Sultan Pahang, dikatakan tersangat cantik rupa parasnya dan menjadi buah mulut para pedagang ke negeri Pahang. Khabar kecantikan Tun Teja sampai ke pengetahuan Sultan Mahmud Shah yang ketika itu telah pun kematian isterinya yang pertama, Tun Kecil.

Baginda telah menghantar utusan peminangan ke Pahang namun ditolak oleh Bendahara Seri Amar Diraja lantaran Tun Teja telahpun ditunangkan dengan Sultan Pahang. Itu cerita dalam naskah Sejarah Melayu.

Sementara itu kisah Tun Teja turut disebut dalam naskah Hikayat Hang Tuah. Menariknya, jika naskah Hikayat Hang Tuah menceritakan Hang Tuah itulah orang yang memujuk Tun Teja lari ke Melaka, naskah Sejarah Melayu pula memperihalkan orang itu adalah Hang Nadim.

Diriwayatkan, terdahulu sebelum itu, Hang Nadim yang merupakan Laksamana Melaka, telah diutus Sultan Melaka belayar ke India untuk membeli 40 gulung kain. Malangnya kapal beliau telah karam dipukul ribut. Bimbang akan kemurkaan Sultan Mahmud, Hang Nadim telah pergi ke Pahang dengan niat untuk bertemu dan membawa lari Tun Teja untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka sebagai ganti kegagalan misinya ke India.

Sesampainya Hang Nadim di Pahang, beliau telah mula menjalin hubungan rapat dengan kalangan orang istana supaya tiada siapa mencurigai niatnya untuk mendapatkan Tun Teja untuk dibawa lari ke negeri Melaka.

Hang Nadim akhirnya berjaya bertemu dan menjalin hubungan dengan Tun Teja. Hang Nadim telah menceritakan kepada Tun Teja tentang ketampannya rupa paras Sultan Mahmud dan kegagahan kerajaan Melaka. Tun Teja yang termakan pujuk itu akhirnya bersetuju untuk mengikut Hang Nadim lari pulang ke Melaka. Hang Nadim telah membuat perancangan rapi untuk melarikan Tun Teja ke Melaka yang perjalanannya memakan masa selama 40 hari.

Sesampainya Hang Nadim ke Melaka, beliau telah meniarap di lantai balai istana dengan tangan seolah terikat kebelakang. Melalui penggunaan kata-kata kiasan, tahulah Baginda bahawa Hang Nadim telah berjaya mendapatkan Tun Teja dari negeri Pahang untuk dipersembahkan kepada Baginda. Tun Teja yang dikahwini Baginda itu telah dikurniakan seorang puteri, Tengku Amra Dewi.

Tun Teja diriwayatkan jatuh sakit dan mangkat ketika Sultan Mahmud Shah dan para pengiringnya bertindak lari berundur ke Muar sewaktu Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511. Tun Teja telah dimakamkan di Merlimau, Melaka, sekitar 24 km daripada bandar Melaka.

Makam Tun Teja di Merlimau, Melaka

Berbeza dengan versi Hikayat Hang Tuah yang menyebut tentang Hang Tuah yang sebelum itu telah difitnah oleh orang-orang istana Melaka dan telah membawa diri lari ke Pahang setelah dinasihati begitu oleh Bendahara Paduka Raja.

Sesampai di Pahang, Hang Tuah telah terlebih dahulu membuat perhubungan dengan Bendahara Seri Buana, ayahanda kepada Tun Teja, dan Tun Jenal, adinda Tun Teja, untuk memudahkan Hang Tuah bertemu dan menjalin pula hubungan dengan Tun Teja.

Pada mulanya Tun Teja menolak pelawaan perhubungan dengan Hang Tuah. Namun setelah diberi ubat guna-guna melalui Dang Ratna, inang pengasuh Tun Teja yang juga menjadi ibu angkat Hang Tuah, Tun Teja telah jatuh cinta kepada pahlawan itu. Walhal Tun Teja Telah pun bertunang dengan Megat Panji Alam, anak raja Terengganu.

Hang Tuah telah membuat perancangan rahsia untuk membawa Tun Teja lari ke Melaka melalui jalan laut. Para panglima dan hulubalang Pahang, diketuai Tun Jenal, walaubagaimanapun berjaya menghidu tindakan Hang Tuah. Malangnya, angkatan tentera Pahang terpaksa berpatah balik setelah tiang kapal mereka patah dipanah Hang Tuah.

Sesampai di Melaka, Tun Teja diarak dengan gajah ke balairong seri istana Melaka. Tun Teja terperanjat apabila disedarinya dia akan dipersembahkan kepada Sultan Melaka sebagai isteri, walhal tujuan kedatangannya ke Melaka adalah semata-mata kerana kasihkan Hang Tuah dan untuk mengahwini Hang Tuah.

Namun setelah diberi sirih jampi oleh Hang Tuah, Tun Teja melupakan Hang Tuah dan akhirnya mengahwini Sultan Melaka. Sementara itu Hang Tuah yang telah mendapat keampunan Sultan Melaka, telah dilantik Sultan sebagai Laksamana Melaka.

Megat Panji Alam yang amat marah dengan kejadian yang menimpa tunangannya itu, telah mengambil keputusan untuk menyerang Melaka bersama 4,000 bala tentera. Beliau telah singgah di Pahang untuk terlebih dahulu mengadap Sultan Pahang.

Malang bagi Megat Panji Alam yang kemudiannya berjaya dibunuh Hang Jebat dan Hang Kasturi yang telah diarahkan oleh Hang Tuah setelah berjaya menghidu tindakan Megat Panji Alam untuk menyerang Melaka.

Sultan Pahang yang murka kerana kegagalan menjalin hubungan Kerajaan Pahang dengan Kerajaan Terengganu melalui pernikahan puteri negeri Pahang dengan putera negeri Terengganu, telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seluruh ahli keluarga Tun Teja.

6 Comments Add yours

  1. rasyidah says:

    seronok dapat baca cerita tun teja

  2. kicik says:

    teda yg b’gambar ponya ka???

    1. yatim says:

      Tun Teja: Wahai kau sultan Melaka, suami ku; wahai kau Tun Tuah, kekasih ku; wahai kau Jebat pembunuh tunangku, wahai kamu sekalian laki-laki..akulah Tun Teja, wanita berkuasa tetapi malang yang kalian, mengaku-akui peodung wanita, tetapi kalian sebenarnya pengecut

      wahai kau Dang Ratna, lucut keperempuanan dalam tubuh mu sebab kerana kau itu lebih baik kau jadi batu atau kayu

      Wahai kau Megat Panji Alam: seumur hidup aku tak pernah berhaka kepada ayahdan bonda ku, tetapi apakan daya, jikalau dalam hati mu pun membantah tindakan Tuah dan segerombolan manusia bagai penyamun itu, cukup kurasakan kasih mu, apatah pula kau diintip dan dibunuh kerana mahu mempertahankan peribadi mu, kaulah pahlawan tanah Melayu ini, pujaan ku

  3. yatim says:

    Tun

  4. melle says:

    andai ni masa sekarang,gerenti dah masuk metro….ha tuah kena dakwa, mahmud bersuhabat,ratna pun masuk jel dan megat jadi hero yang pi lapor kes penculikan ini….

  5. Azalia Hussin says:

    Teja hanya meredhakan setiap kejadian yang berlaku walaupun dalam hatinya penuh dendam…apalah dayaku ..sekadar menurut takdir ketentuan Ilahi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s