Ramai yang menyalahtafsir asal usul peribahasa ini. Sebenarnya bukan MELEPAS BATUK tetapi MELEPAS BATOK DI TANGGA.
Ia bermula dari kesilapan mengubah ejaan batok kepada batuk lalu menjadikan ramai golongan muda tidak tahu apa sebenarnya batok yang dimaksudkan dalam peribahasa ini.
Batok yang dimaksudkan bukanlah batuk “uhuk..uhuk”.
Batok adalah dari istilah yang dipinjam dari bahasa jawa bermaksud tempurung. Dalam konteks ini batok adalah penyedok air yang diperbuat daripada tempurung yang digunakan pada zaman dulu-dulu di rumah kampung datuk nenek kita untuk cedok air di dalam tempayan (atau guri) untuk buat basuh kaki. Sebabnya ialah orang dulu-dulu berjalan ke sana sini berkaki ayam saja (tidak pakai kasut).
Selepas kita gunakan, sewajarnya batok itu kita letakkan semula di tempat yang sepatutnya seperti didalam tempayan, di atas penutup tempayan atau digantung pada batang kayu yang dicacak dekat tempayan. Bukan melepaskannya (yakni meninggalkannya) di atas tangga begitu saja sebelum naik ke rumah. Itu kerja orang malas dan tak ada disiplin.
Jadi peribahasa ini bermaksud orang yang buat kerja separuh jalan, tidak bersungguh-sungguh, tidak sempurna, tak ada komitmen atau hanya ambil syarat saja.