‘Idola’ adalah istilah yang relatif baru kepada Bahasa Melayu, diambil dari istilah ‘idol’ dalam Bahasa Inggeris.
Pengunaannya menjadi begitu popular berikutan kejayaan rancangan hiburan realiti tv Amerika, ‘American Idol’, yang membawa kepada rancangan serupa, ‘Malaysian Idol’ di Malaysia, dan ‘Indonesian Idol’ di Indonesia, sejurus selepas itu.
Istilah ‘idol’ sebenarnya telah sekian lama wujud untuk terlebih dulu dikenali orang melayu generasi lama sebagai ‘berhala’.
Pun begitu, istilah ‘idola’ tidaklah jauh lari dari maksud ‘berhala’ di sudut fungsinya sebagai sesuatu yang disanjung, dipuji, dipuja, dan didewa-dewakan. Generasi lama sekedar menggelar artis sanjungan mereka artis ‘pujaan’ berbanding generasi baru, artis ‘idola’.
Entahlah, saya sendiri dari generasi lama agak kurang senang dengan penggunaan istilah ‘idola’ ini. Walhal orang-orang inggeris dari generasi lama itu sendiripun mengaitkan ‘idol’ khusus kepada acara dan upacara ‘idol worship’ (sembah berhala) oleh penganut ‘idol worshipper’ (penyembah berhala). Apatah lagi ia membawa konotasi mensyirikkan Allah kepada orang-orang Islam.
Kerana manusia tidak harus punya ‘idola’ lain, selain Allah. Mereka dari kalangan nabi sendiripun tidak pantas dijadikan ‘idola’ untuk menerima sanjungan, pujian, pujaan dan pendewaan manusia setara Allah, apatah lagi dari kalangan lain termasuk pemimpin dan artis popular. Lantaran hanya Allah saja yang layak disanjung, dipuji, dipuja dan didewakan oleh sekelian manusia. Begitulah mesej tegas Allah di dalam kitab suci Al-Quran.