Bayangkan Malaysia tanpa Pilihanraya. Lalu bayangkan Organisasi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tanpa jawatan-jawatan lantikan politik padanya pula.
Mari kita fikirkan secara jujur. Apakah akan terhenti berfungsi dan boleh terjejas jentera Kerajaan Persekutuan cuma kerana tak ada jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet dalam organisasi Kerajaan Persekutuan?
Apakah juga akan terhenti jentera Kerajaan Negeri gara-gara cuma tiadanya jawatan Menteri Besar, Ketua Menteri, EXCO Negeri atau Menteri-Menteri Negeri dalam Organisasi Kerajaan Negeri?
Apakah tanpa Pilihanraya, yang peranannya mewujudkan jawatan YB (dari kalangan MP dan ADUN) yang akan bersidang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri itu, menjadi kurang penyertaan rakyat dan akan hilang jiwa rakyatnya pada pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri?
Bukankah di peringkat Persekutuan, kita ada Ketua Setiausaha Negara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif negara lantikan awam oleh Agong. Yang sedia dibantu Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan, para Setiausaha dan para Pengarah, serta para Pegawai dan Kakitangan lantikan awam yang lain?
Bukankah di peringkat negeri pula, kita ada Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Negeri lantikan awam oleh Sultan/Raja/YDP Negeri. Kita juga ada Ketua-Ketua Jabatan Negeri, para Pegawai Daerah Negeri, para Penghulu Mukim, para Ketua Kampung dan para kakitangan lantikan awam negeri yang lain.
Jadi di mana benarnya untuk dakwa kita perlukan Pilihanraya untuk bentuk Kerajaan? Apakah benar sebaik Parlimen dan DUN dibubarkan, akan bubarkah juga Kerajaan dan terhenti berfungsikah jentera Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tiap kali tibanya musim Pilihanraya?
Lalu berbekalkan hakikat ini, barangkali Rakyat merasa perlu untuk bertanya sejauh mana besarnya peranan dan apakah sumbangan ‘value-add’ (nilai-tambah) parti-parti politik dari jawatan-jawatan lantikan politik sampai mahu menggelar Kerajaan Persekutuan/Kerajaan Negeri itu ‘Kerajaan Barisan Nasional’ (atau ‘Kerajaan Pakatan Harapan’).
Siapa orang-orang politik dan parti-parti politik mahu memperkecil dan tenggelamkan peranan, tugas, tanggungjawab dan sumbangan yang tidak kurang utama dan pentingnya semua pegawai dan kakitangan penjawat awam kepada rakyat, negeri dan negara (yang rata-rata mereka barangkali tidakpun menganggotai atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik). Barangkali mereka sebenarnya boleh menjayakan tugas masing-masing dengan jauh lebih cekap dan berkesan, kerana bebas dari kerenah, masalah dan gangguan ‘orang politik’ dan parti politik.
Bukankah pula gaji dan elaun para pemegang jawatan lantikan politik pun, segala kos operasi pentadbiran Kerajaan, segala bantuan kewangan kepada para pelajar untuk tujuan pendidikan, segala bantuan subsidi serta kos projek-projek Kerajaan pun, segalanya bukanlah dibiayai dana dari kantung mana-mana parti politik yang menang atau kalah Pilihanraya pun.
Maka atas apa landasan dan alasan apa untuk ungkit jasa Parti kepada Rakyat? Bukankah yang sebaliknya itulah sebenarnya yang betul?