Terdapat salah-faham yang serius tentang peranan parti-parti politik dalam Pilihanraya. Walaupun rata-rata pengundi fikir yang mereka ‘pangkah parti’ dalam setiap pilihanraya, hakikatnya bukanlah begitu.
Di Malaysia, parti-parti politik pada hakikatnya tidak pernah bertanding dalam mana-mana Pilihanraya. Yang bertanding adalah rata-rata calon individu belaka. Kekeliruan adalah berpunca dari sistem pilihanraya di negara ini yang menghendaki semua calon mesti menggunakan lambang yang dibenar atau disediakan SPR.
Dacing, bulan, mata, roket, kunci, motokar, basikal, motosikal dsb. semuanya sekadar lambang pada kertas undi untuk dikaitkan dengan calon yang bertanding dalam Pilihanraya. Kalau mahu, SPR boleh saja gantikan semua lambang-lambang itu dengan gambar-gambar calon tanpa sedikitpun menjejaskan proses pilihanraya.
Barangkali ini cara yang lebih sesuai dan tepat kerana pada dasarnya para pengundi perlu tahu nama dan kenal wajah calon yang mereka mahu pilih.
Kenapa kena guna lambang sebagai perantaraan? Walhal, sesiapapun boleh jadi calon pilihanraya asalkan layak. Tak perlu menjadi ahli sebuah parti politik untuk jadi calon pilihanraya dan tak perlukan parti untuk mencadang dan menyokong pencalonan pada kertas pencalonan.
Bukan saja calon, malah pencadang dan penyokong yang terlibat dalam proses menyedia dan mengemukakan kertas pencalonan semuanya dikehendaki dibuat atas kapasiti individu masing-masing. Tiada petak khas disediakan dalam borang pencalonan untuk memasukkan nama parti atau cop parti, dan tiada juga tempat untuk menulis jawatan masing-masing dalam parti.
Pada borang pencalonan Pilihanraya (dipanggil ‘Kertas Penamaan’) ada bahagian ‘butir-butir calon’ dgn petak-petak utk diisi nama penuh calon, no. kad pengenalan calon, nama lain calon (jika ada), pekerjaan calon (jika ada), alamat tempat tinggal calon dan alamat surat menyurat calon. Juga ada bahagian ‘butir-butir pencadang dan penyokong’ dengan petak-petak utk diisi nama dan nombor kad pengenalan pencadang, juga nama dan no. kad pengenalan penyokong selain ruang tandatangan pencadang dan penyokong yg perlu menandatangani deklarasi yg mereka adalah pemilih bagi bahagian pilihanraya yg tersebut dan calon adalah seorang yg mereka dapati layak dan sesuai utk berkhidmat sbg ahli Dewan. Itu saja maklumat yg dikehendaki dan yang tertera pada kertas pencalonan.
Jelaslah, pada kertas pencalonan tidak ada satupun maklumat bagi menandakan penglibatan atau kaitan calon, mahupun pencadang dan penyokong, dengan mana-mana parti politik. Oleh itu, pada dasarnya dan di segi perundangan ia tidak boleh dianggap pencalonan parti politik, apatah lagi untuk menjadikan Pilihanraya di Malaysia pertandingan antara parti-parti politik.
Cuma wujud persefahaman antara SPR dan parti-parti politik supaya penggunaan lambang-lambang seperti dacing, bulan, mata dan roket memerlukan persetujuan dari parti-parti politik berkenaan terlebih dahulu jika ia mahu digunakan mana-mana calon.
Sebagai contoh, PAS telah memberi persetujuan untuk SPR membenarkan Ibrahim Ali menggunakan lambang ‘bulan’ dalam PRU12, walau Ibrahim Ali bukannya ahli PAS untuk mengaitkannya dengan PAS.
Oleh itu di segi perundangan lambang adalah sekadar lambang yang digunakan cuma untuk mengaitkannya dengan calon sama ada lambang kunci, basikal, motosikal, maupun dacing, bulan, mata atau roket.
Barangkali jika SPR mahu, SPR mempunyai kuasa untuk menolak penggunaan lambang-lambang dacing, bulan, mata dan roket di dalam Pilihanraya tanpa boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana parti politik.
Lalu bukan saja kemenangan Ibrahim Ali itu atas kapasitinya sebagai calon individu, malah semua calon yang bertanding dan menang dalam PRU12 itu telah terpilih sebagai ‘wakil rakyat’ atas kapasiti individu mereka masing-masing. Lalu mereka mempunyai hak mutlak ke atas kerusi yang dimenangi mereka.
Oleh itu, sesiapapun wakil rakyat yang keluar parti atau lompat parti, tidak akan menjejaskan status atau kedudukan kerusi yang mereka telah menangi.
Keperluan untuk mengadakan pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum bagi menggantikan wakil rakyat yang kerusinya menjadi kosong kerana kematian, perletakan jawatan atau hilang kelayakan menyerlahkan hakikat bahawa yang sah terpilih dalam PRU adalah individu, bukannya parti.
Maka cadangan supaya diadakan undang-undang supaya kerusi wakil rakyat yang meninggalkan parti atau lompat parti itu diisytiharkan kosong sudah tentu tidak ada relevannya kerana parti sebenarnya tidak pernah bertanding, apatah lagi untuk menang pilihanraya.
Hakikat ini menjadi lebih terserlah pada peristiwa sejurus berakhirnya PRU12 yang lalu apabila keinginan dan keputusan pucuk pimpinan parti mengemukakan calon pilihan parti bagi jawatan Menteri Besar di Perlis, Terengganu dan Perak tidak kesampaian.
Sebenarnya, kuasa menubuhkan Kerajaan dan untuk menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia maupun Menteri Besar di masing-masing negeri sebenarnya adalah terletak di tangan kalangan MP atau ADUN yang telah terpilih di dalam Pilihanraya itu sendiri, bukannya ketua parti.
Apa yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan/Negeri adalah Yang Dipertuan Agong/Sultan/Yang Dipertua Negeri berhak melantik individu yang didapatinya mendapat sokongan majoriti di dalam Dewan. Tidak ada peruntukan yang menyebut ketua parti berhak menubuhkan Kerajaan atau memilih siapa yang mereka suka untuk menjadi PM atau MB di masing-masing negeri.
Kesimpulannya, kewujudan parti-parti politik dalam sistem dan proses Pilihanraya dan penubuhan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri ternyata tidak relevan maupun diperlukan sejak mula lagi.
Negara tidak memerlukan NGO berkategori ‘parti politik’ kerana penyertaan mana-mana NGO biasa untuk tujuan berkempen bagi memenangkan mana-mana calon yang mendapat sokongan mereka dalam Pilihanraya sudahpun memadai.
Apa yang ketara semua NGO (Non-Government Organization) dari namanya saja adalah jelas untuk dimaksudkan sebagai ‘pertubuhan bukan kerajaan’. Hakikatnya, semua parti politik adalah tergolong dalam kategori NGO.
Maka wujud kesalahan serius untuk melabel atau memperihalkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai ‘Kerajaan Barisan Nasional’, ‘Kerajaan PAS’ atau ‘Kerajaan Pakatan Rakyat’, apatahlagi ungkapan ‘Kerajaan Pembangkang’. Tidak harus juga ada ungkapan ‘parti kerajaan’ dan ‘parti pembangkang’.
Semua kesilapan ini harus segera diperbetulkan. Bukan saja sebab tidak ada NGO yang boleh menjadi Kerajaan atau dikaitkan dengan Kerajaan, tetapi atas sebab NGO yang berkategori parti politik sekalipun pada hakikatnya tidak pernah bertanding apatah lagi untuk menang kerusi pilihanraya untuk dapat menubuhkan Kerajaan.
Artikel lain yang ada kaitan: https://amnaj.wordpress.com/2010/04/08/memoir-pru-13-satu-model-baru-politik-malaysia/
Soalan 1:
Masih bolehkah Pilihanraya diadakan kalau semua parti politik memboikot Pilihanraya?
Jawapannya: YA
Soalan 2:
Bolehkan kita membentuk Kerajaan kalau tak ada parti politik yang menyertai Pilihanraya?
Jawapannya: YA
Kesimpulannya:
Parti-parti politik tidak ada relevannya dalam Pilihanraya dan kehadirannya tidak perlu untuk tujuan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan masing2 Kerajaan Negeri di Malaysia.