Barangkali bukan menjadi hak atau kewajipan masyarakat Islam untuk menghalang tumbuhnya tempat-tempat maksiat atau memerangi aktiviti-aktiviti maksiat ‘suka sama suka’ oleh pelaku jika ia dilakukan secara sembunyi-sembunyi di tempat terpencil dan tersembunyi dari laluan atau pandangan orang-ramai.
Malah, pendekatan dan tindakan mengintip, mengintai dan menceroboh ‘privacy’ bagi tujuan menangkap, mendedah perlakuan aib dan memalukan pelaku di mata keluarga dan masyarakat mungkin saja termasuk perbuatan melampaui kuasa (‘ultra-vires’) atau menyalahguna kuasa (abuse of power) yang sebenarnya menjadi larangan Allah pula.
Mengintai, mendedah dan menyebarkan aib seseorang adalah tergolong dalam perbuatan ‘fitnah’ yang disifatkan Allah lebih buruk dari membunuh kerana individu yang ‘terfitnah’ akan menanggung aib dan malu seumur hidup.
Keperluan untuk mengadakan empat saksi dari orang baik-baik yang menyaksikan aksi sex pasangan berzina secara yang amat jelas untuk menangkap dan menghukum penzina perlu diperhati dari aspek kesalahan pasangan penzina yang berani berbuat aib di depan khalayak sampai tidak kurang dari empat orang yang baik-baikpun boleh nampak.
Padahal kalau boleh ada sampai empat pengintip yang boleh hadir bersama mengintai perlakuan sex pasangan penzina di tempat ‘private’ yang tertutup dan tersembunyi dari pandangan orang ketiga, maka keempat-empat ‘saksi’ tersebut bolehkah disifatkan sekumpulan orang yang sangat-sangat tidak bermoral untuk ‘hilang’ kelayakan mereka menjadi saksi.
Padahal senakal-nakal orang, dia akan terasa malu bila perbuatan aibnya mengintai pasangan sedang ‘bersetubuh’ itu disedari dan diketahui orang lain.
‘Amar Makruf, Nahi Mungkar’ adalah berkaitan anjuran ‘suruh’ (amar) dan anjuran ‘larang’ (nahi) yang pada dasarnya lebih berbentuk ‘seruan mulut’ saja yang tidak melibatkan ‘tindakan anggota badan’ pihak yang menyeru. Respons tindakan anggota badan adalah untuk pihak yang kena seru. Itupun terpulang sama ada dia nak ‘ikut’ atau tidak dengan ‘nasihat’ tersebut.
Begitu juga dengan ‘ingat-mengingat kepada kebenaran’ dan ‘ingat-mengingat kepada kesabaran’ adalah berupa ‘nasihat’ yang bukan bertujuan memaksa.
Maka, Islam pada asasnya adalah ‘agama dakwah’ dan ‘agama nasihat’ yang menyeru umat manusia kepada kebaikan. Untuk diikuti secara sukarela dan bukannya untuk mendapat kepatuhan melalui ugutan, paksaan, atau menidakkan pilihan. Maka wujud garis panduan Allah supaya ‘tiada paksaan’ atas sebab ‘telah jelas apa yang baik dan apa yang buruk’.
Bagaimanakah yang ‘baik’ dan yang ‘buruk’ boleh menjadi jelas untuk dibeza-bezakan jika semua yang ‘buruk’ dihapus dan ditiadakan?
Cabaran kepada para ‘pemimpin’ dan ‘pendakwah’ adalah lebih kepada untuk ‘establish’ dan untuk terangkan dengan jelas supaya yang baik dan yang buruk itu menjadi jelas kepada semua menggunakan contoh-contoh yang ada dan nyata di persekitaran.
Walaubagaimanapun, sudah tentu kaedah ‘berlembut’ ini hanyalah berkaitan perlakuan buruk ‘suka sama suka’, bukanlah untuk digunapakai dan dikompromikan kepada perkara berkaitan perbuatan ‘jenayah’ yang termasuk perbuatan ‘maksiat’ yang dilakukan secara terang-terangan di khalayak ramai.
Jelasnya, jenayah bukanlah aktiviti ‘suka sama suka’ dan perbuatan maksiat secara terbuka (kecuali dilakukan di tempat-tempat ‘private’ yang rata-rata dikunjungi golongan ‘pemaksiat’) pula bukanlah sesuatu yang disukai masyarakat untuk menjadi tontonan khalayak umum.
Tentunya masyarakat bertamadun tidak suka kepada perkara dan perlakuan buruk yang memalu dan mengaibkan terutama apabila ia boleh mempengaruhi dan meracuni fikiran ‘kanak-kanak’ yang belum ‘mumaiyiz’ (untuk kenal dengan jelas apa yang buruk dan apa yang baik).
Allah menciptakan buruk dan baik untuk menjadi pelajaran kepada manusia supaya manusia dapat dididik untuk tahu apa yang sepatutnya dianjur untuk dilakukan, dan apa yang sepatutnya ditegah untuk dihindari atau ditinggalkan.
Jelasnya, mendapat ‘pahala’ bukan saja melalui cara menghampiri dan berbuat apa yang disuruh, tetapi melalui cara menghindari dan meninggalkan apa yang terlarang juga.
Menghapuskan tempat-tempat maksiat dan memerangi aktiviti-aktiviti maksiat, barangkali boleh menghalang anggota masyarakat dari berbuat dosa. Tetapi yang buruknya, ia sekaligus menghilangkan peluang anggota masyarakat daripada ‘mendapat pahala’ dari menyeru kepada ‘amar makruf, nahi mungkar’. Ini termasuklah peluang mendapat pahala dari menghindari perbuatan mungkar ketika berdepan dengan pilihan nyata ‘nak buat atau tak nak buat’. Apatah lagi peluang mendapat pahala meninggalkan perbuatan terlarang yang datang dari keinsafan diri sendiri secara ikhlas dan sukarela.
Sesungguhnya Allah menjadikan yang baik sebagai contoh tauladan dan anjuran kepada golongan penjenayah/pemaksiat untuk berubah menjadi ‘solihin’ yang memperbaiki diri. Dan Allah menjadikan yang buruk sebagai ujian untuk menduga dan memantapkan lagi iman golongan orang baik-baik supaya mereka tidak mudah ‘tergoda’ untuk ‘tergelincir’ menjadi orang yang ‘menzalimi’ diri sendiri.
Allahpun bertanya di dalam Al-Quran apakah kita fikir iman kita akan terus diterima Allah tanpa diuji? Maka siapa kita mahu mendahului Allah dan Rasul dalam hal menghapuskan ‘rahmat’ dan ‘ujian’ Allah ini.