Hari Mengundi
Hari ini adalah hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) yang mencatatkan satu detik penting dalam sejarah Pilihanraya di Malaysia. Paling ketara pada PRU kali ini tiada lagi lambang-lambang dacing, bulan, mata, roket, kunci, basikal dsb di kertas undi (untuk dipangkah) tetapi gambar dan nama calon yang bertanding.
Kawasan Parlimen tempat aku membuang undi semua calon dari kaum melayu sahaja. Kawasan DUN aku pula semua calon bertanding dari kaum cina belaka. Dua-dua kawasan adalah pertandingan pelbagai penjuru – melayu lawan melayu, cina lawan cina.
Bukan kebetulan, tapi sengaja dirancangkan begitu. Inilah peraturan baru Pilihanraya yang julung kali diperkenalkan di Malaysia di mana semua kerusi yang dipertandingkan adalah mengikut kaum. Yakni semua calon sesuatu Kawasan Pilihanraya hendaklah terdiri dari satu kaum yang sama sahaja sepertimana yang digazetkan dalam dokumen penetapan, pembahagian dan pengagihan kerusi Pilihanraya bagi semua Kawasan Parlimen dan DUN di semua negeri. Ia adalah tambahan baru kepada syarat-syarat kelayakan calon yang sedia ada.
Kaedah baru Pilihanraya ini bertujuan menjamin kedudukan perwakilan pada kerusi-kerusi di Parlimen dan DUN di negeri masing-masing bilangannya adalah mengikut kuota kaum. Kerusi diklasifikasikan mengikut kaum melayu, cina, india, etnik-etnik pribumi dan lain-lain.
Bagi pembahagian jumlah kerusi dan kawasan Parlimen yang diperuntukkan mengikut kaum itu, ia dikira berdasarkan nisbah semasa kaum dari jumlah keseluruhan penduduk pelbagai kaum di negara ini. Bagi kerusi dan kawasan DUN di negeri masing-masing pula, ia juga dibahagikan mengikut nisbah semasa kaum tetapi dari nisbah dan jumlah keseluruhan penduduk di negeri-negeri berkenaan mengikut kaum. Ia akan disemak semula dari masa ke semasa bagi setiap PRU akan datang.
Kebanyakan Kawasan Pilihanraya Parlimen dan DUN diatur sedemikian rupa supaya pengagihan kerusi mengikut kaum adalah bertepatan dengan majoriti kaum penduduk setempat. Namun ada Kawasan Pilihanraya yang kerusinya diperuntukkan kepada kaum yang bukan dari majoriti penduduk. Keadaan istimewa ini adalah bagi mencukupkan bilangan jumlah kuota kerusi Parlimen dan DUN yang ditetapkan kepada kaum tersebut akibat kekurangan Kawasan Pilihanraya yang kaum berkenaan merupakan penduduk majoriti.
Sebelum Hari Mengundi
Hari Pencalonan
Hari pencalonan adalah lebih meriah berbanding dengan Pilihanraya yang sudah-sudah. Calon-calon diarak dengan kibaran pelbagai bendera pertubuhan. Bukan saja UMNO, MCA, PAS, PKR tetapi pelbagai NGO lain juga. Kini Pilihanraya menjadi medan terbuka kepada semua NGO. Peraturan Pilihanraya yang baru telah membenarkan semua NGO yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan turun ke padang di hari pencalonan untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding dan mengadakan kempen Pilihanraya sebelum tiba hari mengundi.
Pun begitu UMNO, MCA, PAS dan PKR tidak lagi turun ke padang sebagai parti-parti politik. Tiada lagi NGO bertaraf parti politik. Kategori sudah dimansuhkan. Pendaftar Pertubuhan telah mengarahkan semua NGO yang dulunya pertubuhan politik untuk tukar nama dan/atau tukar fasal perlembagaan yang ada istilah atau bercirikan parti politik padanya.
UMNO (United Malay National Organization), MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress) mengekalkan nama pertubuhan masing-masing kerana telah sedia menggunakan nama pertubuhan yang tidak melambangkan sebuah parti politik. Cuma masing-masing telah mengubah perlembagaan pertubuhan mereka untuk membuang ciri-ciri sebuah parti politik selaras dengan arahan Pendaftar Pertubuhan.
PAS pula telah mengubah nama pertubuhannya kepada Persatuan Islam Se-Malaysia (PAS), PKR menjadi Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), manakala PGRM (Gerakan) kini dikenali dengan nama Pakatan Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM). Di Sabah, PBS kini dikenali sebagai Pakatan Bersatu Sabah (PBS), manakala di Sarawak, PBB telah bertukar nama menjadi Perikatan Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB). Begitulah yang berlaku kepada semua pertubuhan yang menggunakan istilah ‘Parti’ (atau ‘Party’) telah membuang istilah tersebut pada nama pertubuhan dan perlembagaan pertubuhan masing-masing.
Senarai Calon
Agak menggemparkan di hari pencalonan apabila diumumkan ramai calon melayu, cina, india dan etnik peribumi telah menang tanpa bertanding di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Barangkali semua NGO sepakat untuk memberi sokongan padu kepada mereka. Cukup menarik apabila ada calon yang bertanding satu lawan satu mendapat sokongan bertindih dari UMNO, PAS dan PKR, manakala seorang lagi calon mendapat sokongan kuat dari NUTP, GPMS, MTUC dan PGRM.
Di kebanyakan tempat-tempat lain pertandingan adalah dari pelbagai penjuru. Menariknya, ada kawasan-kawasan yang menyaksikan trend ‘UMNO’ lawan ‘UMNO’, ‘PAS’ lawan ‘PAS’ dan ‘PKR’ lawan ‘PKR’, sesuatu yang jangan dimimpikan untuk berlaku dalam Pilihanraya yang lepas-lepas.
Kempen Pilihanraya
Senario kempen Pilihanraya tetap meriah dengan calon-calon menggunakan jentera pilihanraya masing-masing. Ada satu atau lebih badan NGO yg turut serta memberi sokongan moral kepada calon dokongan mereka. Bezanya kali ini tiada langsung aura ketegangan.
Tidak nampak kelibat FRU, cuma beberapa anggota polis biasa yang kerja mereka adalah lebih kepada mengawal lalu-lintas. Buat pertama kalinya orang ramai merasa begitu selamat untuk keluar beramai-ramai hadir ke rapat-rapat umum untuk memeriahkan kempen Pilihanraya. Pihak SPR pula menganjur dan menyediakan pentas untuk acara perbahasan terbuka antara calon di satu kawasan lapangan yang lebih luas.
Paling seronok tengok kemeriahan pada gerai-gerai kecil jualan makanan, minuman, buku-buku, cd, dll yang tumbuh bagai cendawan di sekitar kawasan tumpuan. Sudah tentu ini kesempatan rezeki ‘durian runtuh’ untuk kutipan yang lebih lumayan dari hari-hari biasa.
Sementara itu, jaminan bilangan kerusi kaum di Parlimen dan DUN melalui kaedah baru pertandingan sesama kaum menjadikan isu dan sentimen perkauman tidak lagi relevan untuk dibangkit dan digunakan semasa kempen. Sebaliknya wujud suasana kempen pilihanraya yang sihat lagi mencerminkan kemesraan dan keharmonian kaum. Semua bekerjasama rapat berkempen untuk memenangkan calon pilihan mereka masing-masing, tak kira calon dari kaum mana.
Agak pelik untuk lihat UMNO, PAS atau PKR duduk dalam keadaan ‘berkecuali’ apabila ada kawasan pilihanraya yang melibatkan pertandingan ‘orang’ PAS lawan ‘orang’ PAS, ‘orang’ PKR lawan sesama ‘orang’ PKR dan pertandingan ‘eksklusif’ sesama rata-rata ‘orang’ UMNO.
Inilah bagusnya sistem pilihanraya tanpa pangkah parti ini. Siapa yang nak jadi calon Pilihanraya, jadilah. Dah tak payah beli undi untuk pegang jawatan penting dalam bahagian dan dah tak perlu lagi bersusah payah lobi-melobi untuk jadi calon. Kejadian meruntuhkan pondok-pondok panas, koyak-mengoyak poster dan pulau-memulau yang melakari senario kempen pilihanraya yang lepas-lepas kini dah jadi sejarah.
Walaubagaimanapun tiada poster atau bendera mana-mana NGO yang berkempen dibenar ditampal atau dikibarkan di tempat-tempat awam. Hanya poster individu calon-calon yang diterima bertanding di kawasan Pilihanraya berkenaan sahaja yang dibenarkan. Pengecualian cuma diberi pada pentas kempen dan semasa calon dan wakil NGO berucap di rapat-rapat umum.
Selepas Hari Mengundi
Keputusan Pilihanraya
Amat terasa ketiadaan ketegangan, suspens dan drama seperti sensasi yang menyelubungi Pilihanraya yang lepas-lepas semasa pengumuman keputusan Pilihanraya dibuat. Tiada lagi kesibukan untuk mengira-ngira parti mana yang akan menang pilihanraya kerana medan pertandingan kali ini adalah dari jenis perlawanan antara tokoh individu. Apa yang dipantau adalah tokoh-tokoh mana yang menang atau kalah. NGO pula masing-masing mahu tahu siapa calon-calon yang mereka sokong menang atau kalah.
Menariknya begitu ramai yang menang adalah dari kalangan calon-calon anak tempatan. Ada yang langsung tidak mendapat sokongan dari mana-mana NGO peringkat nasional semasa kempen Pilihanraya. Paling mengejutkan mereka berjaya pula mengalahkan tokoh-tokoh calon import yang disokong NGO-NGO besar bertaraf nasional. Ia seperti menonton rancangan realiti tv di mana undian popular dari ‘sms’ peminat boleh berlaku di luar jangkaan dan tidak terpengaruh dengan komen-komen dan pilihan para juri.
Pemilihan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan
Tidak sepertimana yang sudah-sudah dan buat pertama kalinya dalam sejarah negara, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bukan lagi menjadi hak atau pilihan Ketua Parti dan Timbalan Ketua Parti yang menang Pilihanraya,
Kali ini ia ditentukan sendiri secara eksklusif oleh semua wakil rakyat yang terpilih menduduki kerusi Parlimen dari kalangan mereka di dalam Dewan Rakyat. Pemilihan secara undi rahsia ini dikoordinasikan oleh pengerusi SPR sendiri pada sidang pertama Parlimen yang dipanggil beliau.
Sudah tentu ada usaha lobi-melobi yang kuat di kalangan anggota Dewan. Masing-masing kumpulan mengatur strategi untuk mengutara dan memenangkan calon pilihan dari kumpulan sendiri atau dari kumpulan lain yang sudi bergabung dengan kumpulan mereka bagi kepentingan bersama. Mudah dibuat pemetaan siapa dari kumpulan mana berdasarkan NGO yang menyenaraikan calon-calon pilihanraya yang didokong mereka. Ada juga dari kelompok ‘bebas’ yang tidak didokong mana-mana NGO tapi berjaya menduduki kerusi Dewan.
Pada pusingan awal pemilihan selepas cadangan ditutup menyaksikan lima tokoh calon tersenarai untuk bertanding jawatan Perdana Menteri. Keputusan undian kemudian menyenarai-pendekkan dua calon yang memperoleh undi teratas untuk pertandingan satu lawan satu di pusingan akhir. Ia sejajar dengan kehendak Perlembagaan yang mensyaratkan calon yang akan menjawat jawatan Perdana Menteri mestilah yang mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat.
Menariknya calon jawatan Perdana Menteri yang mendapat tempat kedua undi terbanyak pada pusingan awal sebelumnya itu sebaliknya telah berjaya meraih undi majoriti dalam pertandingan satu lawan satu tersebut. Ternyata kumpulan pihak-pihak yang kalah di pusingan awal telah memilih untuk memberi undi kepada beliau.
Lebih menarik lagi Dewan kemudiannya sebulat suara bersetuju untuk calon yang tewas dalam pusingan akhir pertandingan satu lawan satu Jawatan Perdana Menteri dipilih terus ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Dewan kemudiannya bersidang lagi untuk pemilihan jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan menggunakan proses pemilihan yang serupa.
Setelah semuanya selesai, Dewan bersetuju berehat selama dua minggu untuk membolehkan Pengerusi SPR mempersembahkan keputusan Dewan kepada Yang DiPertuan Agong berkenaan keputusan pemilihan jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan. Ia juga untuk memberi masa kepada Perdana Menteri dan Timbalannya berunding untuk menyenaraikan barisan Kabinet untuk dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong.
Acara mengadap Seri Paduka di Istana Negara untuk upacara mengangkat sumpah jawatan telah dibuat sebelum sidang Dewan Rakyat kedua bermula. Seperti yang dijangkakan tiga calon yang kalah di pusingan awal adalah yang termasuk dalam senarai Menteri Kabinet yang diputuskan Perdana Menteri dan Timbalannya.
Pemilihan Ketua Pembangkang, Timbalan Ketua Pembangkang dan AJK ‘Back-Bencher’ Dewan
Sidang kedua Dewan yang dipanggil Yang Dipertua Dewan yang baru telah dibuat dua minggu kemudiannya. Ia khusus untuk memilih Ketua Pembangkang dan Timbalan Ketua Pembangkang dari kalangan ‘back-bencher’ menggunakan proses pemilihan yang serupa. Pemilihan ini turut dikoordinasikan oleh Pengerusi SPR.
Ketua Pembangkang kini adalah lebih sebagai ketua ‘back-bencher’ Dewan yang tidak duduk dalam Kabinet mahupun Pentadbiran Kerajaan . Beliau diberi kuasa menubuh Jawatankuasa yang diperlukan termasuk melantik Timbalannya dan Ketua-Ketua Jawatankuasa dari kalangan anggota ‘back-bencher’ Dewan.
Beliau dan Jawatankuasanya bertindak sebagai ‘penjaga’ kepada kepentingan Rakyat di dalam Dewan untuk dapat mengimbangi kuasa Kabinet dan Kerajaan. Sudah tentu pasukan ini dipertanggungjawabkan untuk meneliti segala usul dan deraf cadangan undang-undang yang dibuat Jawatankuasa Kabinet dengan cermat selain membahaskannya secara kritis sebelum Dewan mengundi melulus atau membuat pindaan padanya.
Sidang Ketiga Dewan
Sidang ini diadakan khusus untuk perasmian Dewan oleh Yang Dipertuan Agong dan untuk mendengar Amanat Seri Paduka Baginda.
Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang baru telah membuat ucapan balas yang disusuli sesi perbahasan dan ucapan terima kasih yang dibuka kepada semua anggota Dewan.
Apa yang menariknya buat pertama kalinya dalam sesi perbahasan ucapan Yang DiPertuan Agong wujud aura ketenangan dan kemesraan yang terpancar di wajah semua ahli Dewan. Masing-masing bercakap dengan cara yang santun dan dengan nada penuh sopan sebagai selayaknya untuk bergelar Yang Berhormat. Tiada lagi suara-suara sumbang, suara permusuhan, dendam-mendendam, jerit-pekik dan perasaan tidak puas hati sehingga ada pihak yang keluar meninggalkan Dewan sepertimana yang berlaku sudah-sudah.
Tak ada lagi cubaan membawa isu remeh-temeh dan yang tidak relevan dengan agenda ‘Ucapan Terima Kasih Kepada Yang DiPertuan Agong’. Semua pihak mulai sedar masa berharga Dewan tidak harus disia-siakan dengan begitu sahaja. Banyak isu dan perkara berkaitan kebajikan Rakyat dan kepentingan Negara harus diselesaikan dalam jangkawaktu sesi Persidangan Dewan yang amat terhad. Yang Dipertua Dewan telah bertindak bijak untuk menghalang mana-mana anggota Dewan dari membawa isu remeh-temeh dan tidak relevan dengan Agenda Persidangan yang selayaknya disebut dan diselesaikan di luar Dewan sahaja.
Alhamdulillah, buat pertama kalinya sejak peninggalan Al-Marhum Tun Abdul Razak, Dewan telah berjaya dimulai dengan satu nota positif. Begitulah yang sepatutnya. Sudah tentu semua perkara harus bermula dengan positif dan kekal positif.
I would not want to associate myself with any partisan political groups. I believe the interests of the Rakyat and the Country must come first – Politician/Partisan interests must take the backseats.
Blame it on the politicians/ political parties who are so fond of creating political issues and politicise over a non-issue to gain political mileage – often at the expense of getting the Rakyat and the Country divided by fanning racial and/or partisan political hatred amongst the people. 1Malaysia only thrives on non-partisan political ground i.e. all political parties must go! Are the Rakyat ready for a non-partisan PRU and non-partisan Federal and State governments?
Imagine Malaysia.. https://amnaj.wordpress.com/2007/09/06/imagine-malaysia/