Ada jin baik ada jin jahat, dan ada manusia baik ada manusia jahat. Dalam Al-Quran Allah sebut syaitan dari kalangan jin dan manusia, seolah ‘syaitan’ itu adalah semata gelaran yang merujuk kepada ‘jin jahat’ dan ‘manusia jahat’.
Barangkali begitu juga halnya dengan ‘malaikat’ yang menjadi gelaran kepada ‘jin baik’ dan ‘manusia baik’.
Maka Iblis (dari makhluk Jin) yang tergolong ‘malaikat’ dulunya (yang amat dimuliakan di langit kerana ‘baik’nya) terus jatuh merudum dan tergolong ‘syaitan’ apabila dia bertukar ‘jahat’ kerana telah menjadi sombong, kufur dan engkar kepada arahan Allah.
Al-Quran menceritakan ‘nasihat’ Iblis kepada Adam bahawa larangan Allah kepada Adam itu adalah supaya Adam tidak menjadi ‘malaikat’/’immortal’. Maka Adam ikut nasihat Iblis kerana kepingin nak meningkat diri menjadi ‘malaikat’/’immortal’.
Sungguh Nabi Khidir itu sendiri adalah misteri, seolah Khidir itu seorang manusia ‘immortal’ yang hidup sepanjang zaman mampu merentas mana-mana ruang dalam mana-mana masa dengan sekelip mata untuk dapat tahu apa yang telah dan bakal berlaku – satu tahap pencapaian tinggi seorang manusia yang didambakan Musa juga.
Al-Quran menceritakan atas permintaan Musa, Allah pertemukan Musa dengan Khidir. Malangnya Musa jelas belum bersedia untuk ujian ‘kepercayaan’ kerana mempersoalkan ketiga-tiga tindakan ‘pelik’ Khidir (yang pada Musa tidak patut diperlakukan sebegitu) ketika mereka mengembara bersama. Musa sebelum itu telah berjanji memberi sepenuh kepercayaan untuk ikut dan setuju saja dengan apapun keputusan dan tindakan Khidir.
Walaubagaimanapun, siapa-siapapun yang ‘baik-baik’ ini akan berbuat seperti Musa juga apatah lagi bila berdepan dengan keputusan dan tindakan bunuh seorang kanak-kanak kecil yang tidak berdosa dalam keadaan tidak semena-mena dan dengan sewenang-wenangnya yang tidakpun dikenal, sebaik terjumpa buat pertama kalinya di jalanan.
Sebenarnya ia bukan persoalan patut atau tidak patut, namun timbulnya persoalan sedemikian cukup sebagai tanda bahawa iman, kepercayaan atau keyakinan penuh seseorang (terhadap seseorang yang lain, dsb) sudah boleh dipersoalkan.
Begitulah Iblis (bapa Jin) yang menjadi ketua dan dimuliakan para malaikat ‘terperangkap’ dengan ujian ‘kepercayaan’ apabila engkar dan mempersoalkan apakah patut Allah menyuruh ‘sujud’ kepada Adam yang bertaraf lebih rendah darinya. Begitu juga Adam (bapa Manusia) yang terperangkap dengan ujian keimanan yang serupa lalu melanggar larangan Allah (seolah tidak patut bagi Allah meletak halangan untuk manusia mempertingkat diri menjadi ‘malaikat’/’immortal’).
Perlu juga diingat para Malaikat pernah mempersoalkan sebelumnya bagaimana Manusia dari golongan ‘suka bertumpah darah’ menjadi pilihan Allah sebagai Khalifah di Bumi (bukannya dari golongan Malaikat yang ‘baik-baik’ ini). Hanya selepas mendengar penjelasan Allah para Malaikat kemudiannya mengambil sikap untuk tidak lagi mempersoal dan akur kepada hakikat bahawa “Sesungguhnya Allah Maha Tahu lagi Maha Bijaksana” (yakni, tahulah Allah apa yang Dia buat).
Dalam Kitab-Kitab Hindu Nabi Khidr terkenal dengan nama Vishnu Maharaj, Krisyanji dan Ramji. Beliau anak raja dan Iskandar Zulkarnain anak orang alim. Mereka berdua lahir pada tempat, hari dan masa yang sama. Tetapi takdir menentukan mereka telah tertukar ibu bapa, maka Khidr menjadi anak orang alim dan Iskandar jadi anak raja. Seterusnya Khidr jadi nabi dan Iskandar jadi raja…begitulah menurut riwayat Sang Klembai. Aku minta hang tulis pasal hikayat Sang Klembai pulak, hero Sabah hang tulis dah.