Sandokan bahan Malaysia popular di Eropah
Oleh: DR. MD. SALLEH YAAPAR
JARANG terlintas pada fikiran kebanyakan pembaca bahawa dunia Melayu mempunyai bahan menarik untuk penghasilan karya sastera bagi khalayak antarabangsa. Hanya sekali-sekala seseorang diperingatkan tentang ini. Umpamanya, apabila dia membaca beberapa karya daripada kesusasteraan Inggeris seperti Lord Jim oleh Joseph Conrad, Maugham’s Malaysian Stories oleh Somerset Maugham dan The Malayan Trilogy oleh Anthony Burgess. Atau selepas ia membaca novel menarik The Soul of Malaya (asalnya Malaisie) oleh Henri Fauconnier dari Perancis.
Sebenarnya, rantau Melayu memang menawarkan banyak bahan dalam pelbagai dimensi yang dapat diangkat untuk penciptaan karya bagi khalayak antarabangsa. Inilah yang dilakukan oleh pengarang-pengarang besar seperti yang disebut dan beberapa pengarang lain yang masih kurang diketahui oleh khalayak tempatan.
Antara mereka yang telah memanfaatkan bahan daripada khazanah dunia Melayu ialah Emilio Salgari, pengarang Itali yang harum namanya di Eropah mulai hujung abad ke-19 hingga kini. Salgari (1862-1911) adalah pengarang yang amat imaginatif dan prolifik. Dengan daya imaginasi dan kreativitinya yang luar biasa, dia telah menerbitkan selingkar novel yang amat popular yang berkisar pada seorang pahlawan bernama Sandokan. Lingkaran atau ciclo ini bermula dengan cerita La Tigre della Malesia (Harimau Malaysia) yang diterbitkan secara bersiri dalam akhbar harian kota Verona Le Nuova Arena pada tahun 1883 dan 1884. Kemudian, pada 1900 ia diterbitkan pula dalam bentuk buku dengan tajuk Le Tigre di Mompracem (Harimau Mompracem). Novel ini, dengan latarnya yang eksotik, amat menarik dan begitu popular di kalangan khalayak Itali.
Hal ini segera merangsang Salgari, yang memang subur dengan daya imaginasi, untuk menghasilkan beberapa karya susulan sehingga menjadi satu lingkaran yang cukup mengasyikkan. Lingkaran yang digelar Ciclo dei Pirati della Malesia ini akhirnya mengandungi sebelas buah novel, dengan lima daripadanya berlatarkan alam Malaysia. Semua novel ini (yang dihasilkan lebih dari setengah abad sebelum wujudnya negara Malaysia) menampilkan Sandokan dengan julukan La Tigre della Malesia (Harimau Malaysia). Fiksyen Salgari ini mendapat sambutan berpanjangan hingga mencapai kedudukan karya klasik dalam genre yang di Eropah disebut exotic adventure.
Dengan pencapaian ini Salgari sesungguhnya telah mencetuskan fenomena Sandokan, fenomena yang hingga kini masih mengesani bukan sahaja khalayak Itali, tapi Eropah umumnya, terutama generasi mudanya.
Pada asasnya, lingkaran fiksyen yang berjaya menggugah rasa jutaan khalayak Eropah ini menampilkan Sandokan sebagai pemimpin karismatik perjuangan pembebasan di Borneo, khususnya wilayah di sekitar negeri Sabah kini. Kisahnya bermula pada tahun 1847 sesudah Muluder/Malludu diserang dan dimusnahkan oleh pihak Inggeris. Sandokan terselamat lantas membina kubu yang baru di Pulau Mompracem. Dari pulau yang strategik inilah dia dan anak watan lain terpaksa berjuang di laut dan darat menyerang dan menentang penjajah, khususnya James Brooke dan sultan negeri berdekatan yang bersekongkol dengannya. Sandokan menggunakan bendera berlambang harimau. Dalam perjuangannya dia sering dibantu oleh Yanez de Gomera, seorang kelana Portugis, dan Tremel-Naik dari Benggala. Tetapi sebagai wira yang bundar, dia juga sempat bercinta dengan gadis kacukan Itali-Inggeris bernama Marianna. Penjajah Inggeris dan sekutunya, yang sama-sama eksploitatif dan kejam, memburukkan nama Sandokan dan menganggap kumpulannya sebagai lanun yang wajib dihapuskan.
Kisah Sandokan seperti tersebut bukan sahaja mempesona khalayak Itali, tapi juga menarik khalayak negara-negara lain di Eropah. Justeru itu ciclo tentang Harimau Malaysia ini telah diterjemah ke beberapa bahasa, termasuk Perancis, Jerman, Belanda dan Sepanyol. Ia juga amat popular di beberapa negara di Amerika Latin. Di benua itu kisah Sandokan banyak memberi inspirasi kepada tokoh pejuang terkenal seperti Che Guevara, dan dibaca oleh pengarang-pengarang besar seperti Gabriel Garcia Marquez dan Carlos Fuentes ketika remaja.
Pembaca berbahasa Inggeris belum begitu terdedah kepada kisah yang menarik ini. Tetapi, dua tahun yang lalu buat pertama kali Le Tigre di Mompracem telah diterjemah ke bahasa tersebut oleh Nico Lorenzutti dan diterbitkan sebagai Sandokan: The Tigers of Mompracem. Dengan ini besar kemungkinan khalayak dan peminat kisah Sandokan akan bertambah berlipat ganda.
Sebenarnya Sandokan bukan sekadar fenomena sastera. Ini kerana dari novel ia telah lama pula menyeberang ke media popular di Eropah dan Amerika. Pada tahun 1963 di Amerika Syarikat MGM telah menerbitkan filem Sandokan the Great dengan menampilkan Steve Reeves sebagai Sandokan. Tahun berikutnya sebuah lagi filem kisah Sandokan diterbitkan dan ditayang di beberapa buah negara di Eropah. Semua sekali terdapat lebih daripada 15 versi/edisi filem tentang pahlawan ini. Tetapi, Sandokan benar-benar menggegarkan Eropah hanya apabila ia dihidupkan dengan jayanya oleh Kabir Bedi, pelakon handalan yang tampan dari India, dalam mini siri TV RAI saluran perdana Itali pada tahun 1976. Sejak itu kisah Sandokan sering menjadi sebutan generasi muda, dan telah melimpah pula ke arena muzik dan teater. Aksi gagahnya juga dicetak sebagai poster dan kad mainan remaja, umumnya dengan wajah Kabir Bedi yang amat mempesona.
Sesudah dicipta sekian lama oleh Salgari, kisah Sandokan masih terus diminati hingga kini. Malah, sebarannya diperluaskan pula meliputi komik, filem animasi, termasuk melalui talian (online), dan DVD. Di Belanda, umpamanya, item hiburan/mainan mengenai Sandokan diiklankan di gedung-gedung jualan barangan yang popular seperti Blokker dan V&D. Sebuah DVD yang sedang diedarkan di sini kini memuatkan siri mini asli yang menampilkan Kabir Bedi, dengan pelakon sampingan yang termasuk Ahmad B. dan Aziz Jaafar dari Malaysia. Siri ini berbahasa Itali dengan penggunaan bahasa Melayu untuk suara latarnya (umpamanya “serang,” “ayuh, tembak mereka,” “cepat, tangkap mereka,” dan “selamat pulang Sandokan”).
Menurut catatan Anusha Samir Gill (Mid Day, 29 Mac 2003), sambutan berterusan terhadap Sandokan telah menyebabkan Kabir Bedi, yang kini agak tua, diundang ke Itali sekali lagi bagi melakonkan sebuah filem kontemporari dengan motif dan imej yang dikaitkan dengan Sandokan.
Begitulah, Sandokan telah menjadi satu fenomena yang mempesona dalam sastera dan budaya popular di Eropah. Dalam konteks Belanda sahaja, umpamanya, beberapa teman sekerja yang ditanya menyatakan memang pernah membaca atau menonton kisah Sandokan, ataupun sekurang-kurang mendengar namanya.
Banyak orang di Eropah menganggap kisah ini hasil fantasi Salgari yang gagal menjadi kapten kapal. Namun, ia sebenarnya hasil bauran harmoni antara realiti dengan imaginasi. Salgari memang tidak pernah menjejak kaki ke alam Melayu. Tapi, sebagai orang yang pernah belajar di institusi pelayaran, dan pernah tinggal di Venice, ia pasti mengetahui serba sedikit perairan dan sejarah alam Melayu. Ia juga tentu pernah mendengar cerita-cerita daripada pelaut Itali tentang kekejaman Rajah Brooke serta kegigihan anak watan mempertahankan Marudu. Fakta dan cerita inilah nampaknya yang diadunkan bersama imaginasi oleh Salgari. Dan, dalam kerangka itulah dia mencipta watak Sandokan yang perkasa dengan perjuangan dan gelora kembaranya di perairan Malaysia. Justeru itulah juga maka karya-karyanya berjaya menggugah rasa khalayak Itali dan Eropah, terutama generasi muda.
Sesungguhnya, kisah Sandokan berasaskan realiti geografi dan sejarah. Hal ini telah dibuktikan secara ilmiah oleh Bianca Maria Gerlich. Ketika belajar di Universiti Hamburg, Gerlich telah terpesona dengan Sandokan, lantas menjejakinya hingga ke Sabah dan wilayah sekitarnya, lalu menyiarkan pendapatnya dalam jurnal Archipel (1998) terbitan Perancis. Beliau juga telah menerbitkan buku Marudu 1845: The Destruction and Reconstruction of a Coastal State in Borneo (2003).
Menurut Gerlich, Sandokan memang wujud. Walaupun kurang terkenal, dalam sejarah lokal dia wujud, dan namanya Sindukung. Nenek moyangnya penduduk Sandakan, dan dia adalah datuk kepada Pengiran Samah yang terbunuh pada 1884 ketika berjuang menentang Inggeris (North Borneo Company).
Sindukung adalah rakan karib Syarif Osman yang berkuasa di Marudu dan persekitarannya pada awal abad ke-19. Ia menjadi orang kanan Syarif itu berjuang menentang Inggeris mempertahankan Marudu sebelum wilayah itu jatuh pada 19 Ogos 1845 dan dibakar hangus oleh Inggeris. Seperti Sandokan dalam fiksyen yang popular itu, Syarif Osman juga dianggap lanun oleh pihak penceroboh Inggeris.
Menurut Gerlich lagi, Mompracem juga satu realiti. Ia wujud dalam peta-peta lama dan dokumen kartografi. Ia pulau kecil berhampiran dengan Labuan, dan kini bernama Keraman. Inilah pulau strategik yang menjadi kubu Sandokan dalam fiksyen Salgari, yang kisahnya bermula beberapa tahun selepas berlakunya kekejaman Inggeris di Muluder/Maludu (kini Marudu). Dari kubu inilah Sandokan melancarkan operasi lautnya bagi menyerang balas kuasa penjajah dan mereka yang bersekongkol dengannya, hingga ia dianggap lanun yang ditakuti.
Menurut Bianca lagi, bendera berlambang harimau yang digunakan oleh Sandokan juga wujud dalam sejarah. Ia sebenarnya bendera rasmi yang memang digunakan oleh Syarif Osman, termasuk dalam peristiwa 1845.
Lingkaran Sandokan oleh Salgari bukan sahaja mempunyai latar dunia Melayu yang sama dengan Lord Jim oleh Conrad, tetapi juga mempunyai afiniti dalaman dengannya. Kedua-duanya menyoal motif penjajah dan nilai-nilai individu penakluk seperti Brooke. Malah, fiksyen Salgari, dan filem yang berasaskannya, jelas memihak kepada anak negeri dan bersifat antikolonial. Jadi, ia bukan sekadar genre exotic adventure, tetapi fiksyen yang melibatkan wacana kuasa dan wacana kolonial/pascakolonial.
Salgari menampilkan Brooke sebagai manusia yang ganas dan yang dikorupkan oleh kuasa kolonialnya. Sebaliknya, dia menonjolkan Sandokan sebagai wira underdog dan pemimpin yang unggul bagi sebuah pergerakan pembebasan rakyat yang pantang menyerah kepada penjajah.
Fenomena Sandokan menjadi bukti bahawa bahan dari dunia Melayu boleh diangkat dan diolah sehingga menjadi karya yang mengasyikkan khalayak antarabangsa buat beberapa lama. Untuk ini tentunya yang penting ialah adanya usaha pengarang besar yang bijak mengenal pasti bahan-bahan yang menarik, dan yang mempunyai imaginasi serta daya cipta yang cukup tinggi.
Dari domain sejarah sahaja dan dalam konteks genre yang dibicarakan, umpamanya, pengarang seperti ini mungkin dapat memanfaatkan kisah perjuangan tokoh-tokoh yang lain dari dunia Melayu. Ini termasuklah Raja Sulaiman di Tondo/Manila, zaman Sepanyol, Laksamana Abd al-Jamil dari kesultanan Johor, Sultanah Safiatuddin Syah dari Aceh, Dato’ Maharaja Lela ketika penjajahan Inggeris, dan Syarif Osman ketua Sindukung/Sandokan sendiri.
Setakat ini mungkin belum wujud usaha besar untuk benar-benar mengeksploitasikan kisah tokoh-tokoh seperti tersebut. Yang ada ialah percubaan-percubaan awal. Antaranya termasuklah drama Darah Di Teluk Marudu (Dewan Sastera Jun dan Julai 2002) oleh Raymond Majumah dari Sabah. Drama pendek ini mengungkap azam hidup kontemporari yang dikaitkan dengan semangat kepahlawanan Syarif Osman di zaman silam. Mungkin di satu masa nanti Raymond, atau pengarang lain, dapat menghasilkan pula sebuah saga yang mengungkap gelora dan kembara Syarif Osman, atau tokoh lain, dalam perjuangan mempertahankan nusa dan bangsanya.
* Prof. Dr. Md. Salleh Yaapar adalah Penyandang Kursi Eropah bagi Pengajian Melayu di Universiti Leiden.
Paling menarik, “La Tigre della Malesia (Harimau Malaysia)” yang berlatar-belakangkan wilayah sekitar Borneo dihasilkan penulis Itali Emilio Salgari pada tahun 1883 itu adalah bukti sejarah bahawa wilayah yang dikenali sebagai “Malaysia” telah wujud dan terkenal di sekitar Eropah sekurang-kurangnya 80 tahun lebih awal dari penubuhan negara Malaysia itu sendiri pada tahun 1963.
Satu fakta yang amat menakjubkan!
Maka apakah kawasan yang diliputi wilayah yang dikenali sebagai Malaysia di kurun ke 19 itu meliputi seluruh wilayah Malaysia, Filipina, Indonesia dan Singapura pada persempadanan antarabangsa yang ada sekarang?
Barangkali ada misteri yang tersembunyi di sebalik “Gagasan Maphilindo” di zaman penjajahan dulu dan pengisytiharan Konrontasi Indonesia-Malaysia oleh Sukarno sebaik negara Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.
Selamat kembali ke dunia blogging! Wah dah pakai jubah baru pulak..bagus..bagus.
Kalau bahasa orang Bentong ‘Sandokan’..root word ‘sandok’ ianya adalah kata kerja yang bermaksud menanduk e.g. “Terburai perutnya disandok lembu..”.
Aku rasa Emilio Salgari sebelum ke Sabah dia singgah di Bentong awal lagi, sebab itu dia dapat perkataan ‘sandok’. Aku percaya gagah dan garangnya Sandokan adalah seperti seekor kerbau yang kuat menanduk.
Terima kasih saudara kerana memaparkan kisah Sandokan ini yang penceritaannya adalah berdasarkan realiti dan fantasi.
Saya respon terhadap latar realiti yang dipaparkan oleh Salgari kerana kisah ini adalah berkait langsung dengan keturunan saya sebagai cucu-cicit Sandokan.
Untuk makluman saudara,nama sebenar sandokan adalah Pengiran Sandukung berketurunan orang sungai (sub-etnik : Buludupih)menetap di kawasan Sg, Kinabatangan dan adalah pemilik tunggal Gua Gomantong di Kinabatangan yang akhirnya dirampas oleh pihak Inggeris apabila cucu Pengiran Sandukung (iaitu Pengiran Sammah telah di bunuh oleh pihak Inggeris pada 12 Februari 1884)
Cerita pembunuhan ini terkandung dalam akhbar Borneo Britsh Herald keluaran bulan Mac 1884 (Tarikh saya tak ingat sudah..)
Apa yang malang sekali ialah pihak kerajaan khasnya kerajaan Negeri Sabah tidak ada peri kemanusiaan dengan mengembalikan gua tersebut kepada pewaris walaupun setelah merdeka,malah cerita nenek-moyang kami ini tidak digembar-gemburkan agar penguasaan pihak kerajaan akan berkekalan ke atas Gua Gomantong.
Akhir kata,saya berharap agar ada pihak yang sudi membongkar cerita ini seterusnya dapat mengembalikan hak perwarisan Gua Gomantong kepada kami…
Dr. Bianca Maria Gerlich yang percaya bahawa Sandokan @ “Harimau Malaysia” adalah watak yang benar-benar wujud di dalam sejarah itu telah membawanya ke Sabah beberapa kali untuk membuat tinjauan dan kajian.
Apa yang saudara ceritakan punya banyak persamaan dengan apa yang didapati Dr. Bianca Maria Gerlich sendiri.
Sila lawat laman web beliau di: http://www.mompracem.de/e-frames.html
saya dari keturunan pangeran samah sebenar
(status)cicit daripada pangeran sandukung.
pangeran sandukung
|
pangeran ebey
|
pangeran samah
|
pangeran jikrun
|
pangeran samah(cucu digadong samah)(mnggal pda disember 1978)(pernah brsama Tun datuk mustapha dan inggeris menentang jepun)
|
nenek saya
|
mak saya
|
saya
Sebagai respon keatas perbincangan sebelum ini, berikut adalah sedikit fakta mengenai anak cucu Sandokan yang dikenali sebagai Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey (1820-1884)
Pada 12 Februari 1884 bersamaan 15 Rabiulawal 1305H adalah suatu tarikh keramat bagi keturunan Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey kerana pada tarikh tersebut telah terukir satu catatan sejarah yang terulung di Negeri Sabah dalam memperjuangkan hak asasi warisan anak negeri disamping menjunjung kedaulatan tanahair, maruah bangsa serta menegakkan martabat agama semasa zaman penjajahan kolonial British. Menurut laporan akbar The North Borneo Herald bertarikh 01 Mac 1884 bahawa pada tarikh tersebut bertempat di Kampung Melapi Kinabatangan, almarhum telah gugur (Francis, 1986) dalam pertempuran sengit dengan segorombolan askar yang diketuai oleh Sir William Hood Treacher gabenor pertama British di Negeri Sabah, Mr. William Pryer residen pertama Sandakan dengan ditemani oleh Mr. De Fontaine ketua inspektor, Mr. W.R. Flint dan 30 orang pengikut yang berpangkat konstabel (Diari De Fontaine, 1884). Peristiwa ini berlaku disebabkan kepentingan ekonomi, politik dan perbalahan ke atas sistem penuaian hasil sarang burung di Gua Gomantong yang dikuatkuasakan oleh pihak penjajah British yang tidak dipersetujui oleh almarhum dan para pengikutnya.
Walaupun pada tarikh tersebut almarhum gugur secara tragik dalam perjuangannya namun semangat keberanian dan keperwiraan almarhum tetap segar dalam kenangan sehingga ke akhir zaman. Jesteru, pada hari ini makam almarhum yang terletak di Kampung Melapi Kinabatangan masih lagi tersergam kukuh dan menjadi salah sebuah tempat yang paling bersejarah di Daerah Kinabatangan.
Almarhum adalah seorang pemimpin yang sangat berpengaruh dan ketua masyarakat bangsa Sungai Buludupi yang merupakan salah satu kumpulan etnik yang terawal mendiami kawasan Sungai Kinabatangan dan Sungai Segaliud (Ian, 1983). Pada 03 September 1999, Jabatan Muzium Negeri Sabah telah menobatkan Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey (1820-1884) sebagai salah seorang pahlawan Sabah yang terbilang di Pantai Timur Negeri Sabah khususnya di Gua Gomantong Kinabatangan. Mengikut Danny (2000) penentangan almarhum terhadap zaman penjajahan Koloni British telah mendahului penentangan Panglima Kendurung di Kawang (1885), Pengiran Shahbandar Hassan di Padas Damit (1888-1889) seterusnya Paduka Mat Salleh di Labuk-Sugut (1894-900).
Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey adalah pewaris Gua Gomantong yang diwarisi daripada datuknya Pengiran Sandukung. Dengan menguasai pentadbiran penuaian hasil sarang burung di Gua Gomantong keluarga almarhum merupakan sebuah keluarga yang berada serta sangat berpengaruh di kawasan tersebut. Sejarah pewarisan Gua Gomantong tercatat dalam kebanyakkan buku sejarah tentang Negeri Sabah terutama semasa penjajahan The British North Borneo Chartered Company (BNBCC). Pengiran Sandukung telah mendapat kuasa mutlak keatas pentadbiran Gua Gomantong daripada Sultan Sulu sejak 1782 (Danny, 2000).
Beberapa tahun selepas pertempuran di Kampung Melapi, keluarga almarhum secara berperingkat-peringkat berhijrah ke tempat lain dan membuat petempatan baru di Kampung Bilit kemudian di Kampung Sukau, Kampung Suan Lamba, Kampung Sentosa Jaya dan pada ketika ini sudah menetap di beberapa tempat lain di seluruh Malaysia. Menyedari hakikat ini, satu usaha telah digembleng oleh anak cucu almarhum untuk mengumpul segala manuskrip termasuklah artifak budaya untuk direkodkan sebagai satu fakta sejarah Negeri Sabah yang terawal sekali. Usaha ini telah dimulakan dengan pengumpulan salasilah keturunan Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey.
Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj merupakan anak tunggal dalam keluarganya dilahirkan pada 1820-an di kampung Melapi, Daerah Kinabatangan. Ayahanda almarhum bernama Pengiran Ebey dan bondanya bernama Sitti. Manakala moyangnya bernama Pengiran Sandukong Bin Pengiran Basag Bin Pengiran Ambin. Menurut buku bertajuk The White Man Returns yang ditulis oleh Puan Agnes Newton Keith (1951) antara seloka yang terkenal yang selalu dinyanyikan oleh almarhum adalah berbunyi :
I am a Buludupi man
I have always ruled the Kinabatangan
No one – Suluk savage, Bajau pirate, nor white man
Shall take the river from me
Dari petikan seloka tersebut membuktikan bahawa Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj merupakan seorang pejuang bangsa yang sanggup berkorban demi mempertahankan hak kedaulatan anak negeri.
Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj telah mendirikan rumahtangga sebanyak tiga kali dan dikurniakan seramai empat orang cahayamata perempuan. Isteri pertamanya bernama Puan Tadok telah dikurniakan seorang cahayamata bernama Pengiran Pandan. Isteri kedua beliau bernama Puan Andiri telah dikurniakan seorang cahayamata bernama Pengiran Dagangan. Melalui perkongsian hidup dengan isteri ketiga bernama Puan Rayub telah dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Pengiran Fatimah dan Pengiran Sinyurah.
Saya kira Dr. Bianca Maria Gerlich yang sesungguhnya percaya Sandokan bukan sekadar watak khayalan Emilio Salgari tentunya berminat dengan fakta menarik dari penceritaan saudara ini bagi tujuan penyempurnaan kajiannya.
Sila lawat laman web Dr. Bianca Maria Gerlich di: http://www.mompracem.de/e-frames.html
Saya tertarik dengan cerita ini dan berusaha untuk mengesan kerabat-kerabat Pengiran. Daripada cerita pewaris Raja Kinabatangan, memang adanya pahlawan-pahlawan yang mempertahankan Sabah, khususnya kawasan Kinabatangan. Asalnya para Pengiran adalah anak Raja Kinabatangan daripada isteri ke enam baginda ia itu puteri daripada China. Para pengiran inilah yang menjalankan pemerintahan Raja Kinabatangan. Walau macamana pun para pengiran ini berkahwin dengan masyarakat setempat. Pengiran Guliga adalah sahabat yang sangat rapat dengan anak-anak baginda Raja Kinabatangan dengan isteri ke tujuh ia itu wanita Pingas. Pengiran Digadong adalah juga yang selalu bersama Pengiran Guliga. Anak Raja Kinabatangan dengan wanita Pingas yang selalu dikaitkan dengan Pengiran Guliga ialah Sindukung. Berikut adalah silsila anak Raja Kinabatangan dengan isteri ke tujuh.
Raja Kinabatangan
+
+
Panguud, Lumintip
+
+
Sindukung
Noname, mengikut kajian Bianca (melalui catatan tinggalan sejarah, artifak dan pengembaraan ke sabah sarawak dan sekitar malaysia) pangeran ebey bukan anak kepada pangeran sandukung.. tapi ayah pengeran ebey adalah Pagkon. Pagkon adalah saudara bungsu pangeran sandukung..
lebih kurang begini
Pagkon – Kasanudin – Paid – Manggi – Sandukung
| |
pangeran ebey Sidum
| |
pangeran samah Tabidong
| |
pangeran jikrun Pariwong
|
pangeran samah(cucu digadong samah)(mnggal pda disember 1978)(pernah brsama Tun datuk mustapha dan inggeris menentang jepun)
Sya suka bca sjrah ni …
Untuk rujukn
Tq admin..
Noname, mengikut kajian Bianca (melalui catatan tinggalan sejarah, artifak dan pengembaraan ke sabah sarawak dan sekitar malaysia) pangeran ebey bukan anak kepada pangeran sandukung.. tapi ayah pengeran ebey adalah Pagkon. Pagkon adalah saudara bungsu pangeran sandukung..
lebih kurang begini
Pagkon – Kasanudin – Paid – Manggi – Sandukung
…|……………………………………………………..|
..\/…………………………………………………….\/..
pangeran ebey……………………………… Sidum
…|……………………………………………………..|
..\/…………………………………………………….\/..
pangeran samah…………………………. Tabidong
…|……………………………………………………..|
..\/…………………………………………………….\/..
pangeran jikrun……………………………. Pariwong
…|…
..\/..
pangeran samah(cucu digadong samah)(mnggal pda disember 1978)(pernah brsama Tun datuk mustapha dan inggeris menentang jepun)
Sdr Carlos.. semua fakta saudara adalah palsu dan merupakan pembohongan semata-mata. Saya adalah cicit daripada Almarhum Pengiran Digdong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey. Manuskrip salasilah almarhum ada tersimpan dengan saya. mau bukti dalam bentuk apa lagi?? Tolong jangan cuba masuk campur hal-ehwal keturunan saya.
It is said that Samah was either the grandson or the grand-nephew of Pg Sandukung. I suppose one can reconcile the two genealogies in one way. It is possible that Pg Ebey’s sife and Pg Samah’s mother was a daughter of Pg Sandukung.
The Gerlich genealogy is wrong in one respect. Haji Jikrun’s sister was married to Pg Indar. He was given control over the Gua Gomontong after Pg Guliga died . This was because Pg Indar had died during Guliga’s lifetimg and Pg Indar’s sons were still too young to manage the business. The Gua Gomontong was turned over to rightful heir, Datuk Hj Pg M. Galpam, in 1949.
Bilit Guy tolong hubungi saya melalui email zalhass1968@gmail.com
Terima kasih.
Puan Zaliha teima kasih
saya berminat dgn kisah Sandokan ni…saya merupakan pelajar tahun akhir ijazah pendidikan seni di UPSI…saya ingin membuat satu karya painting yg memaparkan watak Sandokan…kepada tuan pemilik..sudikah untuk berkongsi maklumat tentang Sandokan ini dgn saya..
Silakan..
Baanyak sejarah menarik yang belum dibukukan untuk generasi Borneo
Sandokan adalah panggilan oleh penjajah kepada Sindukung. Sindukung adalah anak Raja Kinabatangan daripada isteri ke tujuh. Beliau bersama Pangiran Guliga, Pangiran Gadong (Di Gadong) dan beberapa Pangiran lain yang telah mempertahankan Borneo daripada penjajah. Pangiran Guliga, Pangiran Gadong (dan saya percaya Pangiran lain yang terlibat) adalah samada cucu atau anak Raja Kinabatangan daripada puteri China (ia itu isteri baginda yang ke enam). Semua anak-anak Raja Kinabatangan daripada puteri China berkenaan dilantik oleh Raja Kinabatangan sebagai Pangiran untuk mengurus hal ehwal pentadbiran kerajaan baginda samada di Borneo atau kepulauan Sumunul (sekarang Philippines) untuk memudahkan urusan antara pedagang China dan masyarakat tempatan.
Terima kasih pencerahan
Sya suka sjrah ini
Terima kasih
Pencerahan tentang
Sejrah sadokan