“Hikayat Dua Panglima”

image

Pada zaman dahulu di sebuah negeri dua panglima raja pulang dari medan perang membawa kejayaan besar menewaskan lanun-lanun yang mengancam perairan negeri.

Sang Raja dengan gembiranya telah mengurniakan masing-masing panglima dengan sepasang persalinan baru yang putih bersih milik Baginda sendiri . Sang Raja walaubagaimanapun telah berpesan yang persalinan tersebut adalah amanah Baginda yang dipinjamkan sementara. Ia mesti dikembalikan semula dalam keadaan asal pada bila-bila masa yang dikehendaki Baginda.

“Aku sememangnya memerlukan persalinan baru bagi menggantikan pakaianku yang telah lusuh, kotor dan koyak ini,” bisik hati Panglima Pertama. “Walaubagaimanapun demi menjalankan amanah Raja, tidaklah aku akan pakai persalinan ini”.

“Biarlah aku simpan dengan baik agar aku dapat kembalikannya seperti keadaan asal apabila diminta Baginda”. Itulah keputusan yang diambil Panglima Pertama.

Berkata pula Panglima Kedua di dalam hatinya, “Sudah tentu aku memerlukan persalinan baru sebegini bagi menggantikan pakaianku yang lusuh, kotor dan koyak ini”.

“Baik aku pakai saja persalinan yang diberi ini kerana takut nanti Baginda tuduh aku tidak bersyukur kerana tidak memenfaatkan kurnianya”. Dan itulah pula keputusan yang diambil oleh Panglima Kedua.

Pada suatu hari Sang Raja telah memerintahkan kedua-dua panglima tersebut segera mengadap Baginda.

Panglima Pertama segera teringat kepada persalinan yang dikurniakan Sang Raja dahulu. Beliaupun mengambilnya dari peti simpanan untuk dibawa mengadap Sang Raja. “Manalah tahu kalau-kalau Sang Raja akan bertanyakan tentang persalinan yang diamanahkannya ini,” fikirnya.

Panglima Kedua pula terus bergegas mengadap Sang Raja dengan pakaian persalinan yang dikurniakan Sang Raja melekap dibadannya. Pakaian yang dulunya putih bersih kini telah menjadi lusuh dan kotor kerana sentiasa dipakai dan tidak pula diperduli untuk membersihkannya.

Sebaik mengadap, Sang Raja seraya bertitah kepada kedua-dua panglima kesayangannya: “Kamu tunjukkan sekarang kepada Beta persalinan yang Beta kurniakan kepada kedua-dua kamu dahulu untuk Beta periksa satu persatu”.

Panglima Pertama dengan perasaan lega, bangga dan gembira segera menyerahkan Sang Raja persalinan yang dikurniakan Sang Raja kepadanya dahulu. “Ini dia, Tuanku, yang Patik ada bawa bersama mengadap Ke Bawah Duli. Tidaklah Patik gunakannya walau sekalipun agar ianya sentiasa terpelihara putih dan bersih,” ucap Panglima Pertama.

Panglima Kedua pula dengan perasaan takut dan gementar seraya berkata kepada Baginda: “Ampunkanlah Patik, Tuanku. Inilah dia persalinan yang Tuanku kurniakan dahulu yang sentiasa melekap di tubuh Patik sejak dari hari yang Tuanku kurniakan dahulu”.

Sang Rajapun tertawa dengan gelagat kedua-dua panglimanya yang walaupun nyata gagah perkasa dan berani tetapi kurang bijaksana dalam hal menguruskan Amanah Baginda.

Sang Raja menoleh ke arah Panglima Pertama dan berkata: “Apakah kamu fikir sia-sia kurniaan persalinan Beta kepada kamu?. Kenapakah kamu sampai mempersia-siakannya? Kenapa kamu tidak memenfaatkannya? Sesungguhnya kamu adalah seorang yang tidak tahu bersyukur!”

Sang Raja memandang pula kepada Panglima Kedua dan berkata: “Lupakah kamu tentang pesan Beta? Bagaimanakah kamu menjaga amanah Beta sampai dikotori persalinan kurniaan Beta sedemikian rupa? Sesungguhnya kamu seorang yang tidak beramanah!”

Melihat kedua-dua panglimanya bersedih dengan kata-kata Baginda, Sang Rajapun tersenyum lalu memegang mesra bahu kedua-dua panglima yang disayanginya seraya berkata:

“Janganlah ada di kalangan kamu yang mempersia-siakan kurniaan Beta. Sesungguhnya tidaklah sia-sia kurnia Beta kepada kamu tetapi kamulah yang selalu mempersia-siakannya. Hendaklah kamu termasuk di kalangan mereka yang sentiasa bersyukur di atas rahmat dan nikmat yang dikurniakan kepada kamu”

“Sudah barang tentu dalam kamu cuba memenfaaatkan kurniaan dari rahmat dan nikmatku, kamu akan mencemari amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kamu. Tetapi adalah menjadi tanggungjawab kamu pulalah untuk sentiasa rajin membersihkannya agar terpelihara kesucian dan kemurniannya sepanjang masa,” ujar Baginda.

4 Comments Add yours

  1. Ludbafital says:

    Raja ni mesti Superman..raja ni la yang kita cari-cari kut..

  2. amnaj says:

    Superman masih lagi man. Superman pun perlu cari jalan ketemu Sang Maha Raja. Jangan ordinary man sampai tersesat fikir Superman itu Sang Maha Raja..

  3. ludbafital says:

    Ada member kat ITM dulu, Professor Zubli nama dia, dia habaq dia nak perbetulkan bahasa Inggeris ni, sebab dia kata selama ni Inggeris banyak buat tak adil kepada kaum Hawa, contohnya ‘Superman’ jadikan ‘Superdaughter’, ‘person’ tukaq jadi ‘perdaughter’. Apa hang setuju? Hang boleh pi kat site dia, http://www.totalhappiness.wordpress.com/.

  4. tengkuputeh says:

    Sungguh bijak bestari sang raja…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s