SANDIWARA

tracking ORIGINS

Archive for the tag “syair”

Syair, Gurindam dan Seloka

oleh ANNAS HAJI AHMAD

Syair

Puisi Melayu yang berbentuk syair banyak terdapat dalam perkumpulan sastera Melayu lama. Syair adalah satu bentuk yang amat disukai di kalangan masyarakat Islam. Mungkin kerana bentuk syair itu bersemarak dalam masyarakat Melayu dengan datangnya Islam ke alam Melayu kita ini.

Perkataan syair berasal dari bahasa Arab, tetapi bentuknya dalam bahasa Arab adalah lain dari bentuk dan sifat syair yang kita jumpai dalam bahasa Melayu. Bentuk syair yang berkembang di alam Melayu berbeza dari bentuk syair Arab asli. Mengikut pendapat Za’aba, perkataan ‘syair’ itu asalnya dari perkataan arab ‘syir’ membawa maksud perasaan dan pengenalan dengan jalan pancaindera, kerana karangan syair selalunya membangkitkan berbagai-bagai perasaan dan pengalaman yang terasa menerusi gambaran yang indah.

Dalam pengertian orang-orang Melayu, syair ialah karangan berangkap yang terdiri dari rangkapan empat baris dengan persamaan bunyi pada hujung tiap-tiap barisnya. Syair juga selain dari merupakan sebuah cerita atau kisah, adalah dihiasi dengan kata-kata yang indah dan kerapkali dengan perkataan-perkataan Arab yang sukar difahami.

Orang-orang Melayu memang gemar akan bentuk syair kerana sesetengah daripada syair-syair itu dikenali oleh ahli-ahli masyarakat dan ditulis pula dalam huruf jawi. Selain dari buku-buku hikayat atau sastera, lebih-lebih lagi Penglipur Lara, ada versi-versinya dalam bentuk syair saperti syair Bayan Budiman, Syair Ken Tambuhan, dan Syair Panji Semirang.

Batu Bersurat dari Minye Tudjo

Syair yang tertua sekali yang diketahui ialah yang tertulis pada sebuah batu nisan bertarikh T.M. 1380 (14 Dzul-Hijjah 781 A.H.) yang dijumpai di Minye Tudjo di Aceh, di antara Sungai Pasai dengan Sungai Jambu Air. Syair ini tertulis pada sekeping batu dalam percampuran bahasa Melayu/Sumatra Kuno, Sanskrit dan Arab.

Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai terdapat karangan berangkap yang lebih bercorak gurindam, manakala dalam Sejarah Melayu terdapat sebutan syair dalam peminangan Tuan Puteri Gunung Ledang. Dalam buku itu ada disebut, “Ada yang saperti orang ‘bersyair.’ Ada yang saperti orang ‘berbait’.” Dari kesan-kesan di atas nyatalah syair dikenal di alam Melayu serempak dengan kedatangan ugama Islam dan tersebar dengan perkembangan agama itu.

Bentuk syair berkembang dalam zaman kerajaan Melayu Melaka dan juga setelah Acheh menjadi pusat tumpuan sasterawan-sasterawan dan pusat pengajian Islam (1525 — 1645 T.M.). Dalam zaman kecemerlangan kerajaan Acheh, terdapat seorang sasterawan agama iaitu Hamzah Fansuri yang mengarang syair-syair ibarat saperti Syair Dagang, Syair Si Burung Pingai dan Syair Perahu yang banyak dipengaruhi oleh perkataan-perkataan Arab.

Dalam daftar Werndly T.M. 1736 tidak terdapat buku-buku syair walaupun hasil-hasil Hamzah Fansuri telah ada dalam kurun masihi keenam belas. Dalam kurun masihi kedelapan belas, terdapat Syair Spellman atau Syair Perang Makasar. Perkembangan syair tidak hanya berbatas di Tanah Melayu tetapi merebak keseluruh alam Melayu, di Sumatra dan Jawa, juga di Kalimantan dan Brunei.

Sifat, Isi dan Jenis Syair

Sebahagian besar dari sastera Melayu lama terdapat dalam bentuk syair. Bahasa puisi saperti syair ini disukai oleh masyarakat lama kerana cerita dalam bentuk puisi adalah lebih menarik dan merdu selain senang masyarakat memahaminya. Juga bentuk syair menggunakan bahasa yang terikat pada irama yang menyebabkan ia senang diikuti.

Walaupun syair terdiri dari rangkap-rangkap empat baris, sesuatu rangkap syair tidak dapat berdiri sendiri. Tiap rangkap syair hanya berupa bahagian kecil dari keseluruhan cerita atau kesah tertentu. Ada kalanya kerana kepentingan iramanya, sesuatu baris itu ditambah tanpa membawa makna tertentu.

Biasanya bilangan perkataan dalam tiap-tiap baris syair terdiri dari empat perkataan, dan di antara delapan hingga dua belas sukukata. Hujung tiap-tiap baris dalam serangkap syair sama sajaknya dengan bunyi hujung lain-lain baris dalam rangkap itu dan berbentuk a, a, a, a, atau ada kalanya b, b, b, b. Ada kalanya untuk kepentingan persamaan bunyi perkataan, saperti ‘kan, -Iah, nya dan lagi’ dimasukkan ke dalam rangkap syair tanpa membawa sesuatu makna. Bentuk syair dapat digunakan untuk menyampaikan berbagai kisah hidup, baik yang berupa hikayat maupun untuk mengatakan percintaan, mengandungi mesej moral dan falsafah, atau untuk menyindir.

Segala sifat kelakuan manusia dapat diperkatakan dalam bentuk syair. Suatu perkara yang amat umum dalam syair Melayu ialah sifat rawan hati, kesedihan, cucuran airmata yang terdapat hampir dalam semua syair Melayu. Adakah sifat rawan hati ini merupakan satu kebiasaan dalam jiwa orang, Melayu, atau adakah pertaliannya yang rapat dengan sifat lemah lembutnya, belumpun dapat dipastikan.

Jenis Syair

Berdasarkan pokok ceritanya, syair boleh dibahagikan kedalam empat jenis, iaitu:—

1. Syair Romantik  (a) yang berpokokkan cerita Jawa Panji, (b) yang tidak berpokokkan Jawa.
2. Syair Sejarah (atau Syair Tawarikh)
3. Syair Ibarat (yang membawa kiasan dan sindiran)
4. Syair Keagamaan (yang bercorak keagamaan, dan membicarakan soal moral)

Syair Romantik yang berpokokkan cerita Jawa Panji

Syair, romantik yang berpokokkan cerita Jawa kebanyakannya berpusat di atas cerita Panji atau disadur dari cerita Panji. Syair ini ialah seperti Syair Ken Tambuhan yang amat terkenal di kalangan orang Jawa dan juga seluruh alam Melayu. Syair lain yang dimasukkan ke dalam golongan ini ialah Syair Lelakon Misa Kumintar, Syair Panji Semirang, Syair Damar Wulan dan ada lagi syair-syair cerita wayang yang lain.

Syair Romantik yang berpokokkan Jawa

Syair romantik yang tidak berpokokkan kapada cerita-cerita Panji dan amat disukai umum ialah Syair Bidasari, Syair Yatim Mustafa, Syair Selendang Delima (atau Seri Bunian), Syair Abdul Muluk, Syair Sultan Yahaya (atau Saudagar Budiman), Syair Siti Zuhrah, Syair Tajul Muluk dan Syair Harith Fazillah.

Syair-syair ini banyak memperlihatkan pengaruh India dan Parsi. Banyak daripada syair-syair ini menceritakan kisah pengembaraan anak raja atau raja, raja diusir dari negeri, watak garuda, nenek kebayan, penyiksaan dan penderitaan, dan penyamaran sebagai lelaki sebelum wataknya mendapat kebahagiaan. Banyak pula di antara syair-syair, ini mempunyai pelbagai versi.

Syair Sejarah

Syair-syair sejarah atau tawarikh tidak berapa banyak bilangannya dan ada dua tiga daripadanya yang dianggap penting. Isinya pada umumnya ialah mengenai peristiwa sejarah, tetapi tidaklah sebegitu penting baik dari segi sejarah maupun dari segi sastera. Salah satu daripada syair sejarah yang terpenting ialah Syair Emop, yang mengisahkan seorang Gabenor-Jeneral Belanda, Van Inhoff. Syair ini juga dikenali dengan nama syair Kompeni Wolanda Berperang Dengan Cina mengenai peristiwa di Betawi pada tahun 1740 M.

Sebuah lagi syair sejarah yang lebih tua dan ditulis secara objektif ialah Syair Perang Makasar. Syair ini mencatitkan peperangan antara Makasar dengan Syarikat East India Belanda dalam pertengahan abad ketujuh belas. Syair sejarah yang lain ialah Syair Perang Mentingha, Syair Perang Banjarmasin, Syair Perang Aceh, Syair Sultan Mahmud dan Syair Singapura Dimakan Api (karangan Abdullah Munsyi).

Syair Ibarat

Syair  Ibarat ialah syair yang digubah dalam bentuk kiasan dan digunakan watak-watak binatang, tetapi tujuan sebenarnya ialah untuk manusia. Binatang-binatang dalam syair-syair ini dilukis dengan sifat-sifat manusia dan berupa sejenis sastera yang aneh. Contoh-contoh daripada syair-syair ini ialah saperti Syair Kumbang dan Melati, Syair Nuri (mengesahkan cintanya kapada bunga cempaka), Syair Nyamuk dan Lalat, Syair Burung Pungguk dan Syair Ikan Terubuk Berahikan Puyu Dalam Lubuk, Syair-syair Ibarat ini mengandungi maksud yang dalam.

Syair Keagamaan

Syair-syair yang bercorak keagamaan sering juga disebut syair-syair didaktik dengan maksud hendak memberi moral atau mengajar. Syair-syair ini juga mengandungi renungan yang dalam dan benar dan memberi nasihat yang berfaedah. Contoh syair jenis ini ialah seperti Syair Burung, Syair Bayan Budiman, Syair Haji, Syair Makrifat Asallat, Syair Hari Kiamat dan Syair adzab dalam Neraka.

Syair ini dan berpuluh yang lain lagi, membicarakan soal-soal agama dengan tujuan menyampaikan nasihat. Sebahagian besar daripada syair agama yang lebih mustahak dari syair-syair di atas ialah syair-syair karangan seorang ahli tasauf atau mistik terkenal, Hamzah Fansuri. Antara syair Hamzah, terdapat Syair Burung Pingai, Syair Perahu, Syair Dagang dan Syair Sidang Fakir.

Walaupun karya Fansuri penuh dengan perkataan Arab, tetapi hasil karyanya merupakan satu kejayaan dalam sastera Melayu lama. Sebahagian besar syair-syair Hamzah mengibaratkan kehidupan manusia dalam perjalanannya menghadapi Tuhan. Syairnya juga menunjukkan pengaruh Parsi yang dalam. Dalam perjalanannya berbagai rintangan dan bahaya dialaminya.

Karangan, Hamzah ditentang hebat oleh seorang ulama yang berfaham kolot iaitu Syeikh Nuruddin Al-Raniri, akhirnya banyak daripada hasil Hamzah Fansuri telah dibakar.

Gurindam

Gurindam ialah satu lagi bentuk puisi Melayu lama yang berasal dari bahasa Tamil. Pendita Dr. Zaaba berpendapat bahawa gurindam dan seloka itu sama sahaja, iaitu satu jenis syair melarat yang tiada teratur, berangkap dan tidak tetap sukatan sajaknya dan sukukatanya. Dalam gurindam bahasanya selalu padat dan bernas dan isinya lebih cenderung kepada persoalan atau perasaan riang-ria yang berupa nyanyian, kelakar, senda gurau, atau sindir-menyindir dengan tujuan menggelikan hati.

Gurindam terjadi dari dua baris, kedua baris itu biasanya membentuk sebuah kalimat majmuk, dengan mana baris pertama menyebut sebab dan baris kedua menyebut akibat. Rumus sajaknya ialah a a. Tiap2 kerat atau baris terjadi dari sepuluh hingga empat belas sukukata. Isinya boleh mengandungi nasihat.

Raja Ali Haji dalam “Gurindam Dua Belas” menyatakan gurindam itu ialah, “perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dalam satu pasangan sahaja, jadilah sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu seperti jawab. Mithalnya: “Kalau banyak berkata-kata, Mudah termasuk perkataan dusta. Sejak kecil teranja-anja, Sesudah besar terbawa-bawa”.

B. Simorangkir Simandjuntak dalam ‘Kesusasteraan Indonesia’ berpendapat bahawa gurindam itu ialah satu ikatan yang timbul setelah ada pengaruh dari orang-orang India. Bilangan baris gurindam adalah dua, dan bersajak sempurna atau tidak sempurna. Keistimewaannya tersimpul dalam isi yang mengandungi nasihat seperti: “Kurang fikir kurang siasat, Tentu dirimu kelak tersesat”, atau “Cari olehmu sahabat, Yang boleh dijadikan ubat”.

Seloka

Seloka berasal dari bahasa Sanskrit. Bentuk ini asalnya terdapat dalam kitab-kitab tua India Mahabharata dan Ramayana, mempunyai sajak yang sederhana dan terdiri dari empat perkataan dan delapan sukukata pada tiap-tiap baris. Seloka kerapkali digunakan sebagai nasihat dan ibarat. Bahasanya kerapkali melarat dan penuh dengan sindir giat yang tajam dan dalam, dan biasanya mengejek-ejek. Seloka boleh juga mengandungi perasaan-perasaan hiba, rawan, sedih, asyik berahi, khayal dan angan-angan mengikut jenis-jenis seloka itu. Seloka terdiri dari empat baris dan bersajak saperti syair. Contoh seloka:—

“Sudah bertemu kasih sayang,
Duduk terkurung malam siang,
Hingga setapak tiada renggang,
Tulang sendi habis bergoncang.”

atau

“Orang selsema sakit berhingus,
Lubang hidung rasa terkambus,
ibarat laksana telur kemungkus,
Benci nak pandang, rasa cemus”

Soalan Ulangkaji:

1. Berikan sedikit huraian mengenai bentuk syair awal dalam bahasa Melayu.

2.. Apakah yang membezakan antara pantun dan syair ?

3.. Kemukakan beberapa hikayat Melayu yang terdapat dalam bentuk prosa dan puisi (syair).

4.. Masyarakat Melayu lama amat gemar akan bentuk syair. Huraikan perkembangan syair dalam kesusasteraan Melayu dan sebutkan jenis-jenis syair.

5. Apakah yang kamu fahami dengan puisi lama, seloka dan gurindam ? Berikan contoh-contoh untuk menjelaskan pendapat kamu ini.

Petikan dari:

SASTERA MELAYU LAMA (untuk Tingkatan Menengah dan Atas) oleh ANNAS HAJI AHMAD, Terbitan Saudara Sinaran Berhad (Tahun 1964)

Post Navigation

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 25 other followers