Kerajaan Tanpa Jawatan Lantikan Politik?
Bayangkan tiada jawatan-jawatan lantikan politik dalam organisasi kerajaan. Bayangkan Malaysia tanpa Pilihanraya.
Maka tak adalah nanti jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet. Tak ada jawatan Menteri Besar, Ketua Menteri, EXCO Negeri atau Menteri-Menteri Negeri. Tak ada jugalah pula nanti para YB dari kalangan MP dan ADUN untuk bersidang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Namun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri masih tetap boleh wujud, tegak dan teguh untuk beroperasi tanpa terjejas sedikitpun kerana masing-masing Ketua Pegawai, Pegawai dan Kakitangan lantikan awam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri sedia ada peranan, tanggungjawab dan bidang tugas negeri dan negara untuk dilaksanakan.
Di peringkat Persekutuan, kita masih ada Ketua Setiausaha Negara sebagai ketua pegawai eksekutif negara lantikan awam oleh Agong. Yang sedia dibantu Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan, para Setiausaha dan para Pengarah, serta para Pegawai dan Kakitangan lantikan awam yang lain.
Di peringkat negeri pula, kita masih ada Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai ketua pegawai eksekutif negeri lantikan awam oleh Sultan/Raja/YDP Negeri. Kita juga ada Ketua-Ketua Jabatan Negeri, para Pegawai Daerah Negeri, para Penghulu Mukim, para Ketua Kampung dan para kakitangan lantikan awam negeri yang lain.
Barangkali Rakyat merasa perlu untuk bertanya sejauh mana besarnya peranan dan apakah sumbangan ‘value-add’ (nilai-tambah) parti-parti politik dari jawatan-jawatan lantikan politik sampai mahu menggelar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu ‘Kerajaan Barisan Nasional’ atau ‘Kerajaan Pakatan Rakyat’.
Jangan seolah sengaja mahu memperkecil dan menenggelamkan peranan, tugas, tanggungjawab dan sumbangan yg tidak kurang utama dan pentingnya semua pegawai dan kakitangan penjawat awam kepada rakyat, negeri dan negara (yang rata-rata mereka barangkali tidakpun menganggotai atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik). Siapa tahu barangkali mereka boleh menjayakan tugas masing-masing dengan lebih cekap dan berkesan, bebas dari kerenah, masalah dan gangguan ‘orang politik’ yang tak suka ikut protokol dan prosedur kerja.
Lebih-lebih lagi gaji dan elaun para pemegang jawatan lantikan politik pun, kos operasi pentadbiran Kerajaan, bantuan kewangan kepada para pelajar untuk tujuan pendidikan, bantuan subsidi serta kos projek-projek Kerajaan pun, bukannya dibiayai dari dana mana-mana parti politik yang menang atau kalah Pilihanraya. Maka atas apa landasan dan alasan untuk mengungkit jasa Parti kepada Rakyat?
Barangkali yg sebaliknya itulah yang betul..