SANDIWARA

tracking ORIGINS

Archive for the tag “pilihanraya”

Calon Pilihanraya: Calon Individu atau Calon Parti?

Pada asasnya proses pencalonan Pilihanraya di Malaysia bermula apabila dua individu, seorang pencadang dan seorang lagi penyokong, menamakan orang ketiga sebagai calon pilihanraya pada ‘Kertas Penamaan’ yang ditandatangani mereka untuk dikemukakan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya).

Ia adalah pencalonan yg tidak ada kena mengena dengan parti politik sehinggalah calon memilih lambang yg disediakan SPR untuk menjadi lambang calon pada kertas undi.

Atas persefahaman antara SPR dengan semua Pertubuhan Politik yg berdaftar dgn ROS (Pendaftar Pertubuhan), calon-calon yg memilih lambang ‘dacing’, ‘bulan’, ‘mata’ atau ‘roket’ umpamanya, hendaklah mengemukakan  surat persetujuan penggunaan lambang dari parti-parti politik berkenaan. Tidak ada keperluan sedemikian jika calon memilih lambang-lambang lain yg disediakan SPR seperti ‘kunci’, ‘basikal’, ‘motorsikal’, dsb.

Maka di sudut perundangan, penggunaan lambang yg mengaitkan calon dgn parti politik tidak menjadikan calon sebagai calon parti tetapi sekadar calon individu yang mendapat sokongan parti politik berkenaan yg akan bertindak sebagai agen kempen pilihanraya calon.

Lalu kemenangan pilihanraya pada hakikatnya adalah kemenangan individu calon untuk menjadikan kerusi  yang dimenangi calon tidak terjejas sekiranya calon berhenti dari menjadi ahli parti berkenaan mahupun sekiranya parti  dibubar  ataupun diharamkan Kerajaan.

Model Baru Pilihanraya Untuk PRU 13?

Satu kejutan barangkali. Namun pasti semua pihak akan mengalu-alukan sekiranya SPR bercadang buat perubahan besar pada struktur dan proses pilihanraya secara membahagi dan mengkhususkan pencalonan wakil rakyat utk sesuatu kawasan pilihanraya kepada sesuatu kaum tertentu sahaja.

Dengan kata lain, setiap kerusi Parlimen dan DUN itu terlebih dahulu diagihkan mengikut kaum sebelum bermulanya Pilihanraya.  Lalu pencalonan untuk mana-mana kawasan Pilihanraya menjadi ‘tertutup’ dan ‘khusus’ kepada kaum tertentu sahaja, biarpun para pengundinya tetap kekal terdiri dari pelbagai kaum.

Kenapa tidak, jika ia berkonsepkan agihan kerusi Parlimen dan DUN di negeri masing-masing mengikut kuota kaum yg mencerminkan nisbah kaum dalam negara (untuk kerusi Parlimen) dan nisbah kaum dalam masing-masing negeri (untuk kerusi DUN).

Seperti halnya penyemakan semula persempadanan Pilihanraya dan bilangan kerusi, kedudukan kerusi di Parlimen dan DUN mengikut kaum juga perlukan penyemakan semula dari masa ke semasa bagi mencerminkan kedudukan semasa nisbah kaum dalam negara dan di negeri masing-masing yang boleh berubah-ubah itu.

Mungkin perkembangan baru ini akan menjadi satu dorongan kuat mempermudah dan menyegerakan parti-parti yg berasaskan ‘perkauman’ dalam BN bergabung menjadi satu parti besar yg bukan perkauman pula menjelang PRU 13.

Setidak-tidaknya parti yang bukan berasaskan perkauman seperti Parti Gerakan dan PPP dalam Pakatan BN, misalnya, boleh mula membuka keahlian seluas-luasnya kepada semua kaum. Lalu pengagihan kerusi untuk calon melayu dalam BN di Semenanjung, misalnya,  tak semestinya datang dari UMNO saja, calon cina tak semestinya datang dari MCA saja, dan calon india tak semestinya datang dari MIC sahaja. Ia boleh saja datang dari Gerakan dan PPP yang merupakan parti-parti pelbagai kaum dalam BN.

Ia juga pasti akan memudahkan Pakatan Rakyat (yang masing-masing parti anggotanya adalah merupakan parti-parti pelbagai kaum) dalam menentukan parti mana dalam PR mendapat agihan kerusi mana, tanpa perlu lagi masing-masing berfikir nak letakkan kaum yang mana (sebab kawasan Pilihanraya yang telah terlebih dulu ditentukan untuk kaum yang mana oleh  SPR).

Barangkali lebih sesuai PGRM (Parti Gerakan) bergabung saja dengan DAP dan merubah senario sedia ada tentang wajah keahlian, wajah barisan kepimpinan negeri dan wajah barisan kepimpinan pusat Parti untuk lebih selaras dengan nisbah masyarakat majmuk di negara ini. Lagipun DAP dan Gerakan adalah dua parti yang berkongsi ideologi Sosialis.

Siapa tahu Parti gabungan baru DAP-PGRM ini bakal dikepalai kaum Melayu pula nanti. Gabungan dan imej baru parti pelbagai kaum ini barangkali dapat melonjakkan kemendirian Parti untuk berpotensi menang Pilihanraya secara bersendirian tanpa perlu bergantung kepada kerjasama dengan PAS dan PKR semasa Pilihanraya, walau mereka mungkin perlu berbuat demikian selepas Pilihanraya untuk tujuan menubuhkan Kerajaan Campuran yang kuat.

PKR, yang  telah sedia berjaya muncul dengan imej pelbagai kaumnya adalah satu-satunya parti yang berpotensi memendiri  bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN di semua negeri. PKR tak perlukan pakatan dan kerjasama dengan parti-parti lain seperti halnya UMNO, MCA dan MIC dalam BN bagi letak calon bertanding untuk kerusi di semua kawasan Pilihanraya.

Barangkali PAS pun boleh muncul dengan imej pelbagai kaumnya untuk mencari ahli dan letak calon di semua kawasan pilihanraya kerana Islam adalah agama anutan semua kaum di Malaysia. Setidak-tidaknya PAS boleh bekerjasama dengan NGO Kristian, Hindu dan Buddha yang sama kecenderungan kepada nilai murni keagamaan untuk mendapatkan calon-calon yang sesuai dan berpotensi untuk bertanding atas tiket PAS dalam Pilihanraya.

Sementara itu, pendekatan baru SPR ini boleh jadi satu-satunya cara yg mampu menjamin setiap kaum (termasuk pelbagai etnik pribumi di Sabah dan Sarawak) punya bilangan representasi yg adil dan saksama di Parlimen dan DUN, tak kira apapun keputusan PRU berhubung siapa calon yg menang dan apa parti yg berkuasa untuk membentuk Kerajaan.

Pendekatan baru yang sengaja bertujuan mengelak pertembungan calon dari kaum yg berlainan dalam satu kawasan pilihanraya yang sama, dikira dapat mencegah isu dan sentimen perkauman dari dibangkitkan samasekali semasa kempen Pilihanraya.

Sebaliknya, senario politik baru yang menggalak kepada iklim parti pelbagai kaum ini akan membantu memupuk kerjasama rapat dan hubungan harmonis para pengundi setempat dari berlainan kaum untuk memenangkan calon parti sokongan masing-masing, tanpa perlu sensitif kepada kaum dan agama anutan calon lagi.

Artikel lain yang ada kaitan: http://amnaj.wordpress.com/2010/04/08/memoir-pru-13-satu-model-baru-politik-malaysia/

4 Mitos Pilihanraya dan Politik Kepartian Di Malaysia

MITOS 1: Pilihanraya tidak boleh diadakan jika semua parti politik ambil tindakan boikot Piliharaya.

Sebenarnya tidak.  Sebaliknya, Pilihanraya masih boleh terus diadakan. Para calon hanya perlu gunakan lambang-lambang lain yang disediakan SPR seperti motorkar, motorsikal, basikal, kapal terbang, kunci, dsb. Cuma tak ada calon bertanding yang akan gunakan lambang dacing, mata, bulan atau roket.

MITOS 2: Kerajaan tidak boleh ditubuhkan jika tiada penyertaan parti politik untuk menang dalam pilihanraya.

Sebenarnya tidak. Sebaliknya, setiap wakil rakyat yang terpilih ke Parlimen berhak dan boleh mencalon dan mengundi di dalam Dewan dari kalangan mereka sendiri untuk dipilih ke jawatan Yang Dipertua Dewan, Perdana Menteri (yang kemudian akan melantik anggota Kabinet) dan Ketua Pembangkang.

Hak sama dan proses yang serupa boleh berlaku dalam Dewan Undangan Negeri di mana para ADUN mencalon dan mengundi dari kalangan mereka sendiri ke  jawatan Speaker Dewan, Menteri Besar/ Ketua Menteri (yang kemudian akan melantik anggota EXCO) dan Ketua Pembangkang.

MITOS 3: Jawatan Ketua Pembangkang adalah untuk parti pembangkang yang mempunyai anggota Dewan paling ramai.

Sebenarnya tidak. Sebaliknya, kewujudan konsep team pembangkang dan jawatan Ketua Pembangkang adalah kerana aktiviti Dewan yang bercirikan perbahasan di mana setiap usul yang dicadangkan memerlukan sessi perbahasan. Adalah menjadi lumrah untuk setiap perbahasan perlu ada pencadang dan pembangkang.

MITOS 4: Kerajaan akan terjejas seandainya parti yang menang pilihanraya dibubar atau diharamkan.

Sebenarnya tidak. Sebaliknya, hak dan kedudukan Perdana Menteri dan Kabinet (begitu juga halnya kedudukan Menteri Besar/ Ketua Menteri dan EXCO di negeri masing-masing) tidak terjejas kecuali Dewan mengemuka usul dan meluluskan undi tidak percaya.

 

Artikel lain yang ada kaitan: http://amnaj.wordpress.com/2010/04/08/memoir-pru-13-satu-model-baru-politik-malaysia/

Kewujudan Parti Politik tidak Relevan dalam Sistem Pilihanraya di Malaysia?

 

Terdapat salah-faham yang serius tentang peranan parti-parti politik dalam Pilihanraya. Walaupun rata-rata pengundi fikir yang mereka ‘pangkah parti’ dalam setiap pilihanraya, hakikatnya bukanlah begitu.

Di Malaysia, parti-parti politik pada hakikatnya tidak pernah bertanding dalam mana-mana Pilihanraya. Yang bertanding adalah rata-rata calon individu belaka. Kekeliruan adalah berpunca dari sistem pilihanraya di negara ini yang menghendaki semua calon mesti menggunakan lambang yang dibenar atau disediakan SPR.

Dacing, bulan, mata, roket, kunci, motokar, basikal, motosikal dsb. semuanya sekadar lambang pada kertas undi untuk dikaitkan dengan calon yang bertanding dalam Pilihanraya. Kalau mahu, SPR boleh saja gantikan semua lambang-lambang itu dengan gambar-gambar calon tanpa sedikitpun menjejaskan proses pilihanraya.

Barangkali ini cara yang lebih sesuai dan tepat kerana pada dasarnya para pengundi perlu tahu nama dan kenal wajah calon yang mereka mahu pilih.

Kenapa kena guna lambang sebagai perantaraan? Walhal, sesiapapun boleh jadi calon pilihanraya asalkan layak. Tak perlu menjadi ahli sebuah parti politik untuk jadi calon pilihanraya dan tak perlukan parti untuk mencadang dan menyokong pencalonan pada kertas pencalonan.

Bukan saja calon, malah pencadang dan penyokong yang terlibat dalam proses menyedia dan mengemukakan kertas pencalonan semuanya dikehendaki dibuat atas kapasiti individu masing-masing. Tiada petak khas disediakan dalam borang pencalonan untuk memasukkan nama parti atau cop parti, dan tiada juga tempat untuk menulis jawatan masing-masing dalam parti.

Pada borang pencalonan Pilihanraya (dipanggil ‘Kertas Penamaan’) ada bahagian ‘butir-butir calon’ dgn petak-petak utk diisi nama penuh calon, no. kad pengenalan calon, nama lain calon (jika ada), pekerjaan calon (jika ada), alamat tempat tinggal calon dan alamat surat menyurat calon. Juga ada bahagian ‘butir-butir pencadang dan penyokong’ dengan petak-petak utk diisi nama dan nombor kad pengenalan pencadang, juga nama dan no. kad pengenalan penyokong selain ruang tandatangan pencadang dan penyokong yg perlu menandatangani deklarasi yg mereka adalah pemilih bagi bahagian pilihanraya yg tersebut dan calon adalah seorang yg mereka dapati layak dan sesuai utk berkhidmat sbg ahli Dewan. Itu saja maklumat yg dikehendaki dan yang tertera pada kertas pencalonan.

Jelaslah, pada kertas pencalonan tidak ada satupun maklumat bagi menandakan penglibatan atau kaitan calon, mahupun pencadang dan penyokong, dengan mana-mana parti politik. Oleh itu, pada dasarnya dan di segi perundangan ia tidak boleh dianggap pencalonan parti politik, apatah lagi untuk menjadikan Pilihanraya di Malaysia pertandingan antara parti-parti politik.

Cuma wujud persefahaman antara SPR dan parti-parti politik supaya penggunaan lambang-lambang seperti dacing, bulan, mata dan roket memerlukan persetujuan dari parti-parti politik berkenaan terlebih dahulu jika ia mahu digunakan mana-mana calon.

Sebagai contoh, PAS telah memberi persetujuan untuk SPR membenarkan Ibrahim Ali menggunakan lambang ‘bulan’ dalam PRU12, walau Ibrahim Ali bukannya ahli PAS untuk mengaitkannya dengan PAS.

Oleh itu di segi perundangan lambang adalah sekadar lambang yang digunakan cuma untuk mengaitkannya dengan calon sama ada lambang kunci, basikal, motosikal, maupun dacing, bulan, mata atau roket.

Barangkali jika SPR mahu, SPR mempunyai kuasa untuk menolak penggunaan lambang-lambang dacing, bulan, mata dan roket di dalam Pilihanraya tanpa boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana parti politik.

Lalu bukan saja kemenangan Ibrahim Ali itu atas kapasitinya sebagai calon individu, malah semua calon yang bertanding dan menang dalam PRU12 itu telah terpilih sebagai ‘wakil rakyat’ atas kapasiti individu mereka masing-masing. Lalu mereka mempunyai hak mutlak ke atas kerusi yang dimenangi mereka.

Oleh itu, sesiapapun wakil rakyat yang keluar parti atau lompat parti, tidak akan menjejaskan status atau kedudukan kerusi yang mereka telah menangi.

Keperluan untuk mengadakan pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum bagi menggantikan wakil rakyat yang kerusinya menjadi kosong kerana kematian, perletakan jawatan atau hilang kelayakan menyerlahkan hakikat bahawa yang sah terpilih dalam PRU adalah individu, bukannya parti.

Maka cadangan supaya diadakan undang-undang supaya kerusi wakil rakyat yang meninggalkan parti atau lompat parti itu diisytiharkan kosong sudah tentu tidak ada relevannya kerana parti sebenarnya tidak pernah bertanding, apatah lagi untuk menang pilihanraya.

Hakikat ini menjadi lebih terserlah pada peristiwa sejurus berakhirnya PRU12 yang lalu apabila keinginan dan keputusan pucuk pimpinan parti mengemukakan calon pilihan parti bagi jawatan Menteri Besar di Perlis, Terengganu dan Perak tidak kesampaian.

Sebenarnya, kuasa menubuhkan Kerajaan dan untuk menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia maupun Menteri Besar di masing-masing negeri sebenarnya adalah terletak di tangan kalangan MP atau ADUN yang telah terpilih di dalam Pilihanraya itu sendiri, bukannya ketua parti.

Apa yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan/Negeri adalah Yang Dipertuan Agong/Sultan/Yang Dipertua Negeri berhak melantik individu yang didapatinya mendapat sokongan majoriti di dalam Dewan. Tidak ada peruntukan yang menyebut ketua parti berhak menubuhkan Kerajaan atau memilih siapa yang mereka suka untuk menjadi PM atau MB di masing-masing negeri.

Kesimpulannya, kewujudan parti-parti politik dalam sistem dan proses Pilihanraya dan penubuhan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri ternyata tidak relevan maupun diperlukan sejak mula lagi.

Negara tidak memerlukan NGO berkategori ‘parti politik’ kerana penyertaan mana-mana NGO biasa untuk tujuan berkempen bagi memenangkan mana-mana calon yang mendapat sokongan mereka dalam Pilihanraya sudahpun memadai.

Apa yang ketara semua NGO (Non-Government Organization) dari namanya saja adalah jelas untuk dimaksudkan sebagai ‘pertubuhan bukan kerajaan’. Hakikatnya, semua parti politik adalah tergolong dalam kategori NGO.

Maka wujud kesalahan serius untuk melabel atau memperihalkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai ‘Kerajaan Barisan Nasional’, ‘Kerajaan PAS’ atau ‘Kerajaan Pakatan Rakyat’, apatahlagi ungkapan ‘Kerajaan Pembangkang’.  Tidak harus juga ada ungkapan ‘parti kerajaan’ dan ‘parti pembangkang’.

Semua kesilapan ini harus segera diperbetulkan. Bukan saja sebab tidak ada NGO yang boleh menjadi Kerajaan atau dikaitkan dengan Kerajaan, tetapi atas sebab NGO yang berkategori parti politik sekalipun pada hakikatnya tidak pernah bertanding apatah lagi untuk menang kerusi pilihanraya untuk dapat menubuhkan Kerajaan.

Artikel lain yang ada kaitan: http://amnaj.wordpress.com/2010/04/08/memoir-pru-13-satu-model-baru-politik-malaysia/

Memoir PRU 13 – Satu Visi Model Baru Politik Malaysia

Hari Mengundi

Hari ini adalah hari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang mencatatkan satu detik penting dalam sejarah Pilihanraya di Malaysia. Paling ketara pada PRU kali ini tiada lagi lambang-lambang dacing, bulan, mata, roket, kunci, basikal dsb di kertas undi (untuk dipangkah) tetapi gambar dan nama calon yang bertanding.

Kawasan Parlimen tempat aku membuang undi semua calon dari kaum melayu sahaja. Kawasan DUN aku pula semua calon bertanding dari kaum cina belaka. Dua-dua kawasan adalah pertandingan pelbagai penjuru – melayu lawan melayu, cina lawan cina.

Bukan kebetulan, tapi sengaja dirancangkan begitu.  Inilah peraturan baru Pilihanraya yang julung kali diperkenalkan di Malaysia di mana semua kerusi yang dipertandingkan adalah mengikut kaum. Yakni semua calon sesuatu Kawasan Pilihanraya hendaklah terdiri dari satu kaum yang sama sahaja sepertimana yang digazetkan dalam dokumen penetapan, pembahagian dan pengagihan kerusi Pilihanraya bagi semua Kawasan Parlimen dan DUN di semua negeri. Ia adalah tambahan baru kepada syarat-syarat kelayakan calon yang sedia ada.

Kaedah baru Pilihanraya ini bertujuan menjamin kedudukan perwakilan pada kerusi-kerusi di Parlimen dan DUN di negeri masing-masing bilangannya adalah mengikut kuota kaum. Kerusi diklasifikasikan mengikut kaum melayu, cina, india, etnik-etnik pribumi dan lain-lain.

Bagi pembahagian jumlah kerusi dan kawasan Parlimen yang diperuntukkan mengikut kaum itu, ia dikira berdasarkan nisbah semasa kaum dari jumlah keseluruhan penduduk pelbagai kaum di negara ini. Bagi kerusi dan kawasan DUN di negeri masing-masing pula, ia juga dibahagikan mengikut nisbah semasa kaum tetapi dari nisbah dan jumlah keseluruhan penduduk di negeri-negeri berkenaan mengikut kaum. Ia akan disemak semula dari masa ke semasa bagi setiap PRU akan datang.

Kebanyakan Kawasan Pilihanraya Parlimen dan DUN diatur sedemikian rupa supaya pengagihan kerusi mengikut kaum adalah bertepatan dengan majoriti kaum penduduk setempat. Namun ada Kawasan Pilihanraya yang kerusinya diperuntukkan kepada kaum yang bukan dari majoriti penduduk. Keadaan istimewa ini adalah bagi mencukupkan bilangan jumlah kuota kerusi Parlimen dan DUN yang ditetapkan kepada kaum tersebut akibat kekurangan Kawasan Pilihanraya yang kaum berkenaan merupakan penduduk majoriti.

Sebelum Hari Mengundi

Hari Pencalonan

Hari pencalonan adalah lebih meriah berbanding dengan Pilihanraya yang sudah-sudah. Calon-calon diarak dengan kibaran pelbagai bendera pertubuhan. Bukan saja UMNO, MCA, PAS, PKR tetapi pelbagai NGO lain juga. Kini Pilihanraya menjadi medan terbuka kepada semua NGO. Peraturan Pilihanraya yang baru telah membenarkan semua NGO yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan turun ke padang di hari pencalonan untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding dan mengadakan kempen Pilihanraya sebelum tiba hari mengundi.

Pun begitu UMNO, MCA, PAS dan PKR tidak lagi turun ke padang sebagai parti-parti politik. Tiada lagi NGO bertaraf parti politik. Kategori sudah dimansuhkan. Pendaftar Pertubuhan telah mengarahkan semua NGO yang dulunya pertubuhan politik untuk  tukar nama dan/atau tukar fasal perlembagaan yang ada istilah atau bercirikan parti politik padanya.

UMNO (United Malay National Organization), MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress) mengekalkan nama pertubuhan masing-masing kerana telah sedia menggunakan nama pertubuhan yang tidak melambangkan sebuah parti politik. Cuma masing-masing telah mengubah perlembagaan pertubuhan mereka untuk membuang ciri-ciri sebuah parti politik selaras dengan arahan Pendaftar Pertubuhan.

PAS pula telah mengubah nama pertubuhannya kepada Persatuan Islam Se-Malaysia (PAS), PKR menjadi Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), manakala PGRM (Gerakan) kini dikenali dengan nama Pakatan Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM). Di Sabah, PBS kini dikenali sebagai Pakatan Bersatu Sabah (PBS), manakala di Sarawak, PBB telah bertukar nama menjadi Perikatan Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB). Begitulah yang berlaku kepada semua pertubuhan yang menggunakan istilah ‘Parti’ (atau ‘Party’) telah membuang istilah tersebut pada nama pertubuhan dan perlembagaan pertubuhan masing-masing.

Senarai Calon

Agak menggemparkan di hari pencalonan apabila diumumkan ramai calon melayu, cina, india dan etnik peribumi telah menang tanpa bertanding di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Barangkali semua NGO sepakat untuk memberi sokongan padu kepada mereka. Cukup menarik apabila ada calon yang bertanding satu lawan satu mendapat sokongan bertindih dari UMNO, PAS dan PKR, manakala seorang lagi calon mendapat sokongan kuat dari NUTP, GPMS, MTUC dan PGRM.

Di kebanyakan tempat-tempat lain pertandingan adalah dari pelbagai penjuru. Menariknya, ada kawasan-kawasan yang menyaksikan trend ‘UMNO’ lawan ‘UMNO’, ‘PAS’ lawan ‘PAS’ dan ‘PKR’ lawan ‘PKR’, sesuatu yang jangan dimimpikan untuk berlaku dalam Pilihanraya yang lepas-lepas.

Kempen Pilihanraya

Senario kempen Pilihanraya tetap meriah dengan calon-calon menggunakan jentera pilihanraya masing-masing. Ada satu atau lebih badan NGO yg turut serta memberi sokongan moral kepada calon dokongan mereka. Bezanya kali ini tiada langsung aura ketegangan.

Tidak nampak kelibat FRU, cuma beberapa anggota polis biasa yang kerja mereka adalah lebih kepada mengawal lalu-lintas. Buat pertama kalinya orang ramai merasa begitu selamat untuk keluar beramai-ramai hadir ke rapat-rapat umum untuk memeriahkan kempen Pilihanraya. Pihak SPR pula menganjur dan menyediakan pentas untuk acara perbahasan terbuka antara calon di satu kawasan lapangan yang lebih luas.

Paling seronok tengok kemeriahan pada gerai-gerai kecil jualan makanan, minuman, buku-buku, cd, dll yang tumbuh bagai cendawan di sekitar kawasan tumpuan. Sudah tentu ini kesempatan rezeki ‘durian runtuh’ untuk kutipan yang lebih lumayan dari hari-hari biasa.

Sementara itu, jaminan bilangan kerusi kaum di Parlimen dan DUN melalui kaedah baru pertandingan sesama kaum menjadikan isu dan sentimen perkauman tidak lagi relevan untuk dibangkit dan digunakan semasa kempen. Sebaliknya wujud suasana kempen pilihanraya yang sihat lagi mencerminkan kemesraan dan keharmonian kaum. Semua bekerjasama rapat berkempen untuk memenangkan calon pilihan mereka masing-masing, tak kira calon dari kaum mana.

Agak pelik untuk lihat UMNO, PAS atau PKR duduk dalam keadaan ‘berkecuali’ apabila ada kawasan pilihanraya yang melibatkan pertandingan ‘orang’ PAS lawan ‘orang’ PAS, ‘orang’ PKR lawan sesama ‘orang’ PKR dan pertandingan ‘eksklusif’ sesama rata-rata ‘orang’ UMNO.

Inilah bagusnya sistem pilihanraya tanpa pangkah parti ini. Siapa yang nak jadi calon Pilihanraya, jadilah. Dah tak payah beli undi untuk pegang jawatan penting dalam bahagian dan dah tak perlu lagi bersusah payah lobi-melobi untuk jadi calon. Kejadian meruntuhkan pondok-pondok  panas, koyak-mengoyak poster dan pulau-memulau yang melakari senario kempen pilihanraya yang lepas-lepas kini dah jadi sejarah.

Walaubagaimanapun tiada poster atau bendera mana-mana NGO yang berkempen dibenar ditampal atau dikibarkan di tempat-tempat awam. Hanya poster individu calon-calon yang diterima bertanding di kawasan Pilihanraya berkenaan sahaja yang dibenarkan.  Pengecualian cuma diberi pada pentas kempen dan semasa calon dan wakil NGO berucap di rapat-rapat umum.

Selepas Hari Mengundi

Keputusan Pilihanraya

Amat terasa ketiadaan ketegangan, suspens dan drama seperti sensasi yang menyelubungi Pilihanraya yang lepas-lepas semasa pengumuman keputusan Pilihanraya dibuat. Tiada lagi kesibukan untuk mengira-ngira parti mana yang akan menang pilihanraya kerana medan pertandingan kali ini adalah dari jenis perlawanan antara tokoh individu. Apa yang dipantau adalah tokoh-tokoh mana yang menang atau kalah. NGO pula masing-masing mahu tahu siapa calon-calon yang mereka sokong menang atau kalah.

Menariknya begitu ramai yang menang adalah dari kalangan calon-calon anak tempatan. Ada yang langsung tidak mendapat sokongan dari mana-mana NGO peringkat nasional semasa kempen Pilihanraya. Paling mengejutkan mereka berjaya pula mengalahkan tokoh-tokoh calon import yang disokong NGO-NGO besar bertaraf nasional.  Ia seperti menonton rancangan realiti tv di mana undian popular dari ‘sms’ peminat boleh berlaku di luar jangkaan dan tidak terpengaruh dengan komen-komen dan pilihan para juri.

Pemilihan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan

Tidak sepertimana yang sudah-sudah dan buat pertama kalinya dalam sejarah negara, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bukan lagi menjadi hak atau pilihan Ketua Parti dan Timbalan Ketua Parti yang menang Pilihanraya,

Kali ini ia ditentukan sendiri secara eksklusif oleh semua wakil rakyat yang terpilih menduduki kerusi Parlimen dari kalangan mereka di dalam Dewan Rakyat. Pemilihan secara undi rahsia ini dikoordinasikan oleh pengerusi SPR sendiri pada sidang pertama Parlimen yang dipanggil beliau.

Sudah tentu ada usaha lobi-melobi yang kuat di kalangan anggota Dewan. Masing-masing kumpulan mengatur strategi untuk mengutara dan memenangkan calon pilihan dari kumpulan sendiri atau dari kumpulan lain yang sudi bergabung dengan kumpulan mereka bagi kepentingan bersama. Mudah dibuat pemetaan siapa dari kumpulan mana berdasarkan NGO yang menyenaraikan calon-calon pilihanraya yang didokong mereka. Ada juga dari kelompok ‘bebas’ yang tidak didokong mana-mana NGO tapi berjaya menduduki kerusi Dewan.

Pada pusingan awal pemilihan selepas cadangan ditutup menyaksikan lima tokoh calon tersenarai untuk bertanding jawatan Perdana Menteri. Keputusan undian kemudian menyenarai-pendekkan dua calon yang memperoleh undi teratas untuk pertandingan satu lawan satu di pusingan akhir. Ia sejajar dengan kehendak Perlembagaan yang mensyaratkan calon yang akan menjawat jawatan Perdana Menteri mestilah yang mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat.

Menariknya calon jawatan Perdana Menteri yang mendapat tempat kedua undi terbanyak pada pusingan awal sebelumnya itu sebaliknya telah berjaya meraih undi majoriti dalam pertandingan satu lawan satu tersebut. Ternyata kumpulan pihak-pihak yang kalah di pusingan awal telah memilih untuk memberi undi kepada beliau.

Lebih menarik lagi Dewan kemudiannya sebulat suara bersetuju untuk calon yang tewas dalam pusingan akhir pertandingan satu lawan satu Jawatan Perdana Menteri dipilih terus ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dewan kemudiannya bersidang lagi untuk pemilihan jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan menggunakan proses pemilihan yang serupa.

Setelah semuanya selesai, Dewan bersetuju berehat selama  dua minggu untuk membolehkan Pengerusi SPR mempersembahkan keputusan Dewan kepada Yang DiPertuan Agong berkenaan keputusan pemilihan jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan. Ia juga untuk memberi masa kepada Perdana Menteri dan Timbalannya berunding untuk menyenaraikan barisan Kabinet untuk dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong.

Acara mengadap Seri Paduka di Istana Negara untuk upacara mengangkat sumpah jawatan telah dibuat sebelum sidang Dewan Rakyat kedua bermula.  Seperti yang dijangkakan tiga calon yang kalah di pusingan awal adalah yang termasuk dalam senarai Menteri Kabinet yang diputuskan Perdana Menteri dan Timbalannya.

Pemilihan Ketua Pembangkang,  Timbalan Ketua Pembangkang dan AJK ‘Back-Bencher’ Dewan

Sidang kedua Dewan yang dipanggil Yang Dipertua Dewan yang baru telah dibuat dua minggu kemudiannya. Ia khusus untuk memilih Ketua Pembangkang dan Timbalan Ketua Pembangkang dari kalangan ‘back-bencher’ menggunakan proses pemilihan yang serupa. Pemilihan ini turut dikoordinasikan oleh Pengerusi SPR.

Ketua Pembangkang kini adalah lebih sebagai ketua ‘back-bencher’ Dewan yang tidak duduk dalam Kabinet mahupun Pentadbiran Kerajaan . Beliau diberi kuasa menubuh Jawatankuasa yang diperlukan termasuk melantik Timbalannya dan Ketua-Ketua Jawatankuasa dari kalangan anggota ‘back-bencher’ Dewan.

Beliau dan Jawatankuasanya bertindak sebagai ‘penjaga’ kepada kepentingan Rakyat di dalam Dewan untuk dapat mengimbangi kuasa Kabinet dan Kerajaan. Sudah tentu pasukan ini dipertanggungjawabkan untuk meneliti segala usul dan deraf cadangan undang-undang yang dibuat Jawatankuasa Kabinet dengan cermat selain membahaskannya secara kritis sebelum Dewan mengundi melulus atau membuat pindaan padanya.

Sidang Ketiga Dewan

Sidang ini diadakan khusus untuk perasmian Dewan oleh Yang Dipertuan Agong dan untuk mendengar Amanat Seri Paduka Baginda.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang baru telah membuat ucapan balas yang disusuli sesi perbahasan dan ucapan terima kasih yang dibuka kepada semua anggota Dewan.

Apa yang menariknya buat pertama kalinya dalam sesi perbahasan ucapan Yang DiPertuan Agong wujud aura ketenangan dan kemesraan yang terpancar di wajah semua ahli Dewan. Masing-masing bercakap dengan cara yang santun dan dengan nada penuh sopan sebagai selayaknya untuk bergelar Yang Berhormat. Tiada lagi suara-suara sumbang, suara permusuhan, dendam-mendendam, jerit-pekik dan perasaan tidak puas hati sehingga ada pihak yang keluar meninggalkan Dewan sepertimana yang berlaku sudah-sudah.

Tak ada lagi cubaan membawa isu remeh-temeh dan yang tidak relevan dengan agenda ‘Ucapan Terima Kasih Kepada Yang DiPertuan Agong’. Semua pihak mulai sedar masa berharga Dewan tidak harus disia-siakan dengan begitu sahaja. Banyak isu dan perkara berkaitan kebajikan Rakyat dan kepentingan Negara harus diselesaikan dalam jangkawaktu sesi Persidangan Dewan yang amat terhad. Yang Dipertua Dewan telah bertindak bijak untuk menghalang mana-mana anggota Dewan dari membawa isu remeh-temeh dan tidak relevan dengan Agenda Persidangan yang selayaknya disebut dan diselesaikan di luar Dewan sahaja.

Alhamdulillah, buat pertama kalinya sejak peninggalan Al-Marhum Tun Abdul Razak, Dewan telah berjaya dimulai dengan satu nota positif.  Begitulah yang sepatutnya. Sudah tentu semua perkara harus bermula dengan positif dan kekal positif.

Post Navigation

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.