SANDIWARA

tracking ORIGINS

Archive for the tag “peribahasa”

Harapkan pegar, pegar makan padi

Jangan tergelak. Ini bukan kes tersalah ejaan!

Kerana memang bukan HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI, tetapi yang sebetulnya HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI.

Mari kita tinjau rasionalnya dengan cuba mengenali tabiat sejenis burung yang dikenali di Malaysia sebagai ayam pegar ini dengan lebih dekat.

Burung pegar, sepertimana lebih dikenali di Indonesia, umumnya makan hanya pada tanah tetapi bertenggek di pohon terlindung di malam hari. Mereka makan berbagai jenis buahan, bijirin dan dedaun serta berbagai invertebrata, termasuk vertebrata kecil seperti ular, katak dan mamalia kecil.

Dikenali sebagai ayam pegar di Malaysia. Sebab bunyi dan rupa yang lebih mirip kepada ayam, selain tabiat mengais dan mematuk makanan di tanah macam ayam juga. Dan seperti ayam lebih suka berlari dari terbang.

Lalu, seperti ayam biasa, ayam pegar ini tak mungkin makan padi pada tangkainya, tapi musuh padi yang di bawah pokok padi. Kerana itu pegar diharapkan untuk menjaga tanaman padi dari dirosakkan musuh padi.

Tapi kalau padi sampai kena dijemur di atas tanah kerana basah dan mahu dikeringkan, lainlah jadinya. Bukan saja masalahnya nanti mengundang ayam pegar, ayam kampung biasa pun akan sama datang kais, patuk dan makan padi.

Lalu, begitulah burung atau ayam pegar ini menjadi inspirasi kepada peribahasa HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI.

Lalu, masanya untuk tolak peribahasa HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI itu sebagai defektif dan tak masuk akal. Mana ada pagar yang boleh makan padi? Selain tak pernah dibuat  orang pasang pagar keliling tanaman padi.

Kerana lebih logik PEGAR yang dimaksudkan pada peribahasa ini, bukannya PAGAR. Lebih-lebih lagi burung ‘pegar’ (atau ‘pheasant’ dalam bahasa inggeris)  memang pernah menjadi ‘ayam’ peliharaan orang melayu di kampung-kampung pada satu ketika dulu untuk membenarkan kaitannya dengan peribahasa tersebut.

Ia dikatakan berpunca dari kesilapan ketika memindahkan peribahasa dari tulisan jawi yang menjadi asal tulisan peribahasa ini kepada tulisan rumi. Yang malangnya tulisan jawi ‘Pa-Ga-Ra’ ditulis secara silap sebagai PAGAR, bukannya PEGAR seperti yang sepatutnya.

Melepas Batok di Tangga

Ramai yang menyalahtafsir asal usul peribahasa ini. Sebenarnya bukan MELEPAS BATUK  tetapi MELEPAS BATOK DI TANGGA.

Ia bermula dari kesilapan mengubah ejaan batok kepada batuk lalu menjadikan ramai golongan muda tidak tahu apa sebenarnya batok yang dimaksudkan dalam peribahasa ini.

Batok yang dimaksudkan bukanlah batuk “uhuk..uhuk”.

Batok adalah dari istilah yang dipinjam dari bahasa jawa bermaksud tempurung. Dalam konteks ini batok adalah penyedok air yang diperbuat daripada tempurung yang digunakan pada zaman dulu-dulu di rumah kampung datuk nenek kita untuk cedok air di dalam tempayan (atau guri) untuk buat basuh kaki. Sebabnya ialah orang dulu-dulu berjalan ke sana sini berkaki ayam saja (tidak pakai kasut).

Selepas kita gunakan, sewajarnya batok itu kita letakkan semula di tempat yang sepatutnya seperti didalam tempayan, di atas penutup tempayan atau digantung pada batang kayu yang dicacak dekat tempayan. Bukan melepaskannya (yakni meninggalkannya) di atas tangga begitu saja sebelum naik ke rumah. Itu kerja orang malas dan tak ada disiplin.

Jadi peribahasa ini bermaksud orang yang buat kerja separuh jalan, tidak bersungguh-sungguh, tidak sempurna, tak ada komitmen atau hanya ambil syarat saja.

Post Navigation

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.