SANDIWARA

tracking ORIGINS

Archive for the tag “istilah bahasa”

Salah Faham Terhadap Pengertian ‘Fitnah’

‘Fitnah’ sepertimana yang difahami masyarakat  Malaysia pada umumnya adalah ‘defamation’. Yakni melempar tohmahan atau tuduhan palsu perlakuan keji yang kononnya dilakukan seseorang bagi tujuan mencela, mengaib dan menjatuhkan maruah dan kedudukan tertuduh di mata keluarga dan institusi masyarakat.

Malangnya, ia satu pengertian yang boleh saja dianggap ‘sempit’, dan barangkali juga ‘menyesatkan’ dari maksud sebenar ‘fitnah’ yang luas menurut pemahaman orang Arab sendiri. Apatah lagi apabila al-Quran memperihalkan anak-isteri dan harta-benda boleh saja menjadi ‘fitnah’ kepada orang-orang beriman.

Tambahan pula tak kurang yang punya pandangan untuk menganggap setiap bahagian dari tubuh wanita itu termasuk suara mereka adalah juga ‘fitnah’. Begitupun kedatangan ‘Dajal’ di akhir zaman dianggap bakal mendatangkan satu ‘fitnah besar’ kepada orang-orang beriman.

Tidak terkecuali peristiwa penghasilan dan penyebaran karikatur Nabi Muhammad secara yang amat tidak bertanggungjawab itu telah disifatkan dunia Arab sebagai satu ‘fitnah besar’ kepada masyarakat Islam dan dunia antarabangsa.

Oleh itu cetusan kontroversi penggunaan nama Allah yang telah menimbulkan kekacauan, walau terhad di Malaysia saja, barangkali boleh disifatkan sebagai satu ‘fitnah’ juga kepada masyarakat setempat yang berbilang agama dan fahaman dalam konteks yang serupa.

Sementara itu, Al-Quran memperihalkan ‘fitnah’ itu sebagai satu ‘ujian besar’ dan ‘godaan besar’ kepada umat manusia. ‘Fitnah’ mampu meruntuh iman dan menggugat akidah, lalu ia boleh merosak akhlak dan kesejahteraan bagi diri, keluarga dan ummah.

‘Fitnah’ berupaya menimbulkan kecelaruan dan kekacauan pada fikiran seseorang. ‘Fitnah’ juga boleh mengeruhkan perhubungan, mengganggu ketenteraman, merosak perpaduan, membangkit persengketaan, menimbul pergaduhan dan mencetuskan huru-hara kepada kehidupan keluarga dan masyarakat.

Lalu ‘fitnah’ pada konteks dan skala yang lebih besar menurut Al-Quran itu adalah lebih menjurus kepada apa yang kita fahami sebagai  ‘sedition’ atau jenayah menghasut masyarakat untuk menimbulkan ketegangan, kekecohan, porak-peranda dan kacau bilau kepada suasana kehidupan masyarakat yang tenang dan aman damai.

‘Fitnah’ seperti yang disebut didalam Al-Quran itu pada asasnya adalah apa yang difahami rata-rata penganut Kristian sebagai ‘Trials & Temptations’ dan ‘Trials & Tribulations’ yang diceritakan Bible.

Apapun, Quran dan Bible yang jelas sepakat bahawa ‘fitnah’ itu adalah satu ‘ujian besar’ dan ‘godaan besar’ kepada ummah sayugia dianalisis dan dinilai dari tiga sudut ‘ujian’ dan ‘godaan’ untuk kita mendapat fahaman yang lebih jelas.

Pertama, ‘ujian’ dan ‘godaan’ untuk cenderung berbuat ‘fitnah’. Kedua, ‘ujian’ dan ‘godaan’ untuk berbuat perkara-perkara yang boleh mendatangkan ‘fitnah’ . Dan ketiga, ‘ujian’ dan ‘godaan’ dalam menghadapi dan menangani suasana ‘kacau-bilau’ dan ‘kesengsaraan’ yang ditimbulkan ‘fitnah’.

Lalu kita dinasihati Allah supaya sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri dari dihampiri ‘fitnah’. Yakni mengelak kecenderungan untuk berbuat ‘fitnah’, mengelak perbuatan yang boleh mendatangkan ‘fitnah’, dan/atau bertindak bijaksana ketika berdepan dengan ‘fitnah’.

Yang jelas, kepada individu bahaya ‘fitnah’ itu ia boleh meruntuhkan akidah dan akhlak seseorang. Kepada pasangan suami isteri ia boleh menjadi pergaduhan yang berakhir dengan perceraian. Lalu ‘fitnah’ boleh merebak untuk memporak-peranda dan menimbulkan persengketaan sesama keluarga dan saudara-mara.

Lebih besar ‘fitnah’ itu bila ia berupa ancaman kepada perpaduan dan keamanan negara. Ia adalah isu keselamatan yang mampu mencetuskan pergaduhan untuk merebak menjadi kekacauan dan menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara. Lalu lebih buruk lagi jika ‘ fitnah’ itu berlaku pada skala yang lebih besar yang melibatkan hubungan antarabangsa untuk mencetuskan malapetaka kepada seluruh dunia.

Sesungguhnya  ‘fitnah’ itu berkait-rapat dengan bahan ‘rahsia’ dan bahan ‘cerita’ yang menjadi ‘punca’ dalam menimbulkan ‘fitnah’. Lalu kita perlu banyak berahsia dan tidak banyak bercerita kecuali bahan ‘rahsia’ dan bahan ‘cerita’ itu menyumbang kepada suatu perubahan positif.

Barangkali lebih banyak bahan ‘rahsia’ dan bahan ‘cerita’ yang boleh merosakkan suasana jika diketahui orang yang tidak wajar (atau belum bersedia) untuk tahu.

Lalu, sebagaimana ‘fitnah’ boleh timbul dari niat jahat, ‘fitnah’ juga boleh timbul dari niat baik. Dan ‘fitnah’ juga sebenarnya tidak bergantung kepada benar atau palsunya cerita yang dibawa.

Apa saja cerita yang dihebahkan yang berpotensi untuk merosakkan kehidupan peribadi seseorang dalam kerjayanya, mata pencariannya, kehidupan kekeluargaannya, atau kehidupan kemasyarakatannya adalah tetap ‘fitnah’.

Contohnya, kita tahu seorang rakan telah berkahwin lain tanpa pengetahuan isterinya, sedangkan ini adalah satu ‘rahsia besar’ yang memang rakan kita itu sengaja sembunyikan dari pengetahuan isteri. Kebetulan isteri rakan itu rakan baik kita juga. Selama ini mereka hidup dengan aman bahagia berumahtangga.

Lalu atas desakan ‘niat-baik’, kita ‘tergoda’ untuk sampaikan ‘cerita benar’ ini kepada isterinya. Akibatnya berlaku satu pergaduhan besar suami-isteri kedua rakan kita itu yang menyebabkan akhirnya mereka berdua bercerai. Mereka pun lalu banyak ‘berhabis’ naik turun mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak. Kehidupan anak-anak mereka pun turut terjejas dan pelajaran mereka pun menjadi merosot kerananya.

Maka begitulah  ‘niat baik’ kita dan ‘cerita benar’ kita telah mengakibatkan ‘fitnah’ (porak-peranda) berlaku dalam keluarga mereka.

Apapun, punca sebenarnya bermula dari rakan kita (seperti semua lelaki yang lain) untuk mudah ‘tergoda’ dengan sekujur tubuh dan paras rupa cantik, kemerduan dan kemanjaan suara, yang dimiliki seorang wanita lain, yang lalu mendatangkan ‘fitnah’ kepada dirinya.

Katakan pula kita ada seorang rakan penjawat awam. Masa bujang dulu dia terkenal sebagai seorang yang ‘bersih’. Namun selepas dinaikkan pangkat, berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak dia mula ‘tergoda’ dengan ‘kilauan’ wang ringgit yang meruntuhkan akhlaknya untuk terjerat dengan amalan ‘rasuah’.

Barangkali ia ‘tarikan’ daripada keinginannya sendiri untuk bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk. Atau dia sekadar menurut desakan untuk menyempurnakan ‘tanggungjawab’ dalam  ‘mensejahterakan’ keluarga. Atau barangkali juga ia berpunca dari tekanan isteri dan anak-anak yang mahu bermewah-mewah macam orang  lain yang sejiran dan sejawatan dengannya.

Maka begitulah harta, anak dan isteri menjadi ‘fitnah’ kepada dirinya.

Bayangkan apa yang akan terjadi kepada rakan kita itu apabila ‘rahsia’nya dapat dibongkar, didedah dan disebarkan. Lalu dia kemudian dibawa ke muka pengadilan dan dibuang kerja. Dan media pun melapor ‘cerita sensasi’ ini untuk semua orang kemudiannya dapat tahu.  Maka berlakulah ‘fitnah’ yang besar dalam kehidupan keluarganya.

Lalu Allah melarang manusia dari godaan untuk mengintai-intai rahsia dan godaan untuk mendedahkan rahsia kepada orang yang sepatutnya tidak wajar untuk tahu kerana ia boleh mencetuskan ‘fitnah’. Apatah lagi godaan untuk mendedahkan rahsia diri sendiri.

Lalu Allah mengingatkan kita di dalam al-Quran apakah kita mahu ‘membukanya’ di sebelah petang padahal Allah telah ‘menutupnya’ di sebelah pagi. Maka cukuplah untuk Allah saja yang tahu sedangkan Allah maha mengetahui apa yang kita zahirkan dan apa yang kita sembunyikan.

Allah tidak lalai daripada apa yang kita perbuat. Dan Allah tidak suka kepada kezaliman (ke atas diri sendiri dan orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Dan Allah suka kepada orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki diri.

Lalu Allah melarang keras perbuatan orang yang suka mengintai-ngintai dan mengorek-ngorek rahsia orang lain untuk barangkali mendapatkan bahan ‘cerita benar’ yang sensasi yang memberinya menafaat pulangan lumayan tetapi menjadi ‘fitnah’ yang membawa kesengsaraan kepada kehidupan orang lain. Maka sayugia kita semua tidak turut  terjebak (menzalimi diri sendiri dan orang lain) untuk menjadi alat menyebarkan bahan-bahan ‘fitnah’ ini secara berleluasa pula.

Maka Allah menuntut kita memeriksa segala cerita (‘sensasi’) yang dibawa orang-orang fasik. Dan untuk kita tidak ‘tergoda’ menjadi ghairah menyebarkannya pula tanpa memikirkan natijah  ‘fitnah’ yang bakal melanda.

Barangkali sudah terlalu ramai dari golongan artis yang ‘rahsia’ (lama atau baru) mereka telah dikorek, diintai dan didedahkan untuk menjadi ‘cerita sensasi’ yang melariskan surat khabar dan majalah. Akhirnya mereka menjadi ‘tidak laku’ lagi untuk hilang punca pencarian dan pendapatan oleh imej yang sudah tercalar dan tercemar.

Lalu mereka kemudian terpaksa hidup susah, merempat dan menjadi sengsara kerana ‘fitnah’ tersebut. Padahal Allah telah menganjurkan betapa memaafkan itu lebih baik jika kita mengetahui.

Sudah tentu Allah lebih mengetahui dan lebih bijaksana tentang ‘rahsia’ dan ‘siasah’ untuk menggalakkan kita bersikap sedia memberi maaf dan sedia menyembunyikan perlakuan aib untuk menyekat ‘fitnah’ dari merebak dan berlarutan .

Ingatlah, pesan Allah di dalam Al-Quran betapa ‘fitnah’ itu lebih besar (dosanya) dari membunuh. Dan kita dilarang membunuh kecuali dengan haq (mendatangkan kebaikan).  Semoga Allah memelihara kita semua dari menzalimi dan dizalimi dengan ‘fitnah’ supaya kita menjadi orang yang lebih bertakwa dan lebih bijaksana.

Post Navigation

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.