SANDIWARA

tracking ORIGINS

Archive for the tag “hukum”

Hukum Hudud: Satu Jihad Hak Asasi Manusia

‘Hudud’ adalah berkaitan ‘had’ (atau ‘batasan’). Manakala ‘Taghut’ pada maksud harfiahnya berkonotasikan kecenderungan untuk ‘melampaui batas’ (dari lengkongan keredaan Allah), untuk peristilahan ‘Taghut’ punya kaitan langsung dengan pengertian dan permasalahan ‘hudud’ itu sendiri.

Sementara itu Allah mendasari ‘Hukum’ yang berperanan ‘memberi hak’ dan ‘menjamin hak’ individu seseorang, Lalu Allah perkenalkan ‘Hukum Hudud’ yang tujuannya tak lain untuk ‘membatasi hak’ seseorang yang menguasai seseorang yang lain. Supaya tidak berlaku  ‘sekatan hak’, ‘penafian hak’, ‘perlanggaran hak’, pencabulan hak’ atau ‘perlucutan hak’ oleh seorang manusia kepada seorang manusia yang lain, secara yang salah dan tidak bertanggungjawab.

Matlamatnya,  supaya ‘Hak Asasi’ seseorang individu untuk mendapatkan ‘hak’ dan menjalankan ‘hak’nya tidak digangu-gugat, disekat, dinafi, atau dihalangi. Ini termasuk jangan ada mana-mana pihak yang berani melanggar, merampas, mencabul dan melucutkan ‘hak’ yang telah dimiliki seseorang secara sah dan benar.

Asas kepada jaminan hak yang Allah berikan kepada setiap individu umat manusia tanpa terkecuali ini adalah pertama-tamanya hak kebebasan untuk memilih ‘Kepimpinan’ dan ‘jalan/penyelesaian hidup ’ (Deen). Untuk sama ada memilih ‘Kepimpinan’ Allah dan ‘Deen’ anjuran Allah, atau memilih ‘kepimpinan’ alternatif lain dari ‘Taghut’ dan ‘deen’ alternatif lain dari anjuran ‘Taghut’ yang didalangi Iblis ‘As-Syaitan’, yang Allah peringatkan ‘As-Syaitan’ sebagai musuh manusia yang nyata.

Begitulah ‘liberal’nya Allah dalam hal keperluan memberi kebebasan penuh kepada setiap individu manusia untuk membuat pilihan asas tentang siapa  ‘Pemimpin’ dan apa ‘Deen’  yang diingini dan disukai seseorang insan itu,

Lalu Allah telah tegaskan keputusanNya (atau ‘Hukum’Nya) bahawa tiada paksaan dalam hal beriman  kepada Allah, dan tiada paksaan dalam hal memilih dan mengikuti ‘deen’ yang dianjurkan Allah itu. Biarpun Allah sedia menjadi ‘Pemimpin’ terpercaya dan telah sediakan ‘Deen’ Islam yang terbaik dan yang paling sesuai buat umat manusia, namun Allah sama sekali tidak suka memaksakannya pula.

Ini termasuk tidak ada halangan Allah terhadap mana-manapun manusia yang berkeinginan untuk mengambil ‘As-Syaitan’ (a.k.a. ‘Taghut’) sebagai pemimpin alternatif mereka jika ada yang mahu beriman (atau percaya) kepada kepimpinan ‘Taghut’ termasuk soal memilih ‘deen’ (jalan/penyelesaian hidup) yang lain daripada apa yang disediakan Allah  untuk yakin dan suka kepada ‘jalan’ dan ‘langkah-langkah’ Iblis As-Syaitan itu.

Sehubungan dengan ini, dan atas kemahuan Iblis dan persetujuan Allah sendiri, Allah telah memutuskan untuk memberi izin dan kebebasan kepada Iblis ‘As-Syaitan’ untuk ‘kufur’ dan menentang ‘Kepimpinan Allah’. Supaya Iblis dan kuncu-kuncunya dari kalangan ‘Kepimpinan Taghut’ manusia boleh berperanan untuk menyediakan ‘deen’ alternatif lain kepada Manusia,  yang seperti Iblis, sudah tidak percayakan Allah dan tidak yakin kepada Jalan dan Penyelesaian Hidup (‘Deen’) anjuran Allah.

Sudah tentu kebebasan ini tidak harus dimengertikan yang ‘tangan Allah itu terikat’, yang lalu ‘Ketuanan Allah’ sudah tidak lagi relevan, mahupun  segala perintah Allah dan larangan Allah terhadap semua umat manusia sebagai hamba-hambaNya itu telah menjadi luput dan terbatal.

Malahan, inilah yang menjadi tanggungjawab kepada setiap orang yang beriman kepada Allah dan yang meyakini ‘Deen’ (yakni, jalan dan penyelesaian hidup) anjuran Allah untuk mempastikan ‘Hukum’ Allah berkaitan ‘Hudud’ ini tertegak, dilaksana dan dikuatkuasakan di atas muka bumi Allah ini.

Lalu, ‘Jemaah Islam’ dan ‘Pemerintah Islam’ harus bertindak tegas memerangi ‘jenayah kemanusiaan’ dari tindakan melampaui batas  ‘Hudud’ segolongan manusia dari tindakan wewenang yang menjurus kepada penafian, pencabulan dan perlucutan  ‘Hak Asasi’ manusia, baik dari di kalangan mahupun di luar kalangan ummah. Kerana Perintah dan Kekuasaan dari ‘Ketuanan Allah’berhubung perkara ini adalah meliputi semua tanpa terkecuali, termasuk mereka yang ‘kufur’, ‘syirik’ dan ‘fasik’  kepada Allah.

Sayugia dijelaskan, maksud ‘kufur’ di sini adalah ‘hilang kepercayaan’ kepada Allah lalu menafikan hak mutlak ‘Ketuanan Allah’, yang bahawasanya hanya Allah saja layak ‘menghukum’, mengeluarkan perintah dan larangan, termasuk menghalal dan mengharam mengikut apa yang dikehendaki Allah.

Mereka yang ‘Syirik’ adalah mereka yang mengadakan ‘sekutu’ terhadap Allah secara menggantikan ‘Ketuanan Allah’ dengan ‘Ketuanan Taghut’ (yang diangkat dari kalangan mereka sebagai Pemimpin Idola) untuk mereka tunduk, takut dan taat kepada segala keputusan, undang-undang dan peraturan yang dibuat ‘Ketuanan Taghut’ yang bertentangan dari apa yang dianjur dan diputuskan Allah. Seperti menghalal apa yang Allah haramkan, mengharam apa yang Allah halalkan, melarang apa yang Allah perintahkan, dan menganjur apa yang Allah larangkan.

Mereka yang ‘Fasik’ adalah mereka yang tidak mengambil hirau tentang ‘Ketuanan Allah’, bertindak menderhakai Allah, menentang ‘Hukum Allah’ dan menderhakai perintah dan larangan Allah.

Perlu pula diperingatkan kepada semua, terutama kepada Jemaah dan Pemerintah Islam, bahawa Allah telah ‘menghukum’ (memutuskan)  bahawa tidak ada halangan Allah terhadap sebarang aktiviti ‘suka-sama-suka’ antara manusia, yang pada hematnya termasuk dalam perkara perlakuan maksiat dan salahlaku seperti berjudi, minum arak, menagih dadah dan pelacuran. Ini termasuk juga menjalankan aktiviti perniagaan yang menyediakan khidmat dan barangan keperluan untuk diperniagakan sesama kelompok atau pelanggan luar mereka atas dasar ‘suka-sama-suka’.

Biarpun ini masih perbuatan yang boleh disifatkan ‘zalim’ dan melampaui batas ‘hudud’, namun ia bersifat peribadi yang lebih menjurus kepada penzaliman terhadap diri dan sesama sendiri dengan kerelaan sesama sendiri dan diri masing-masing. Apatah lagi jika aktiviti ini dijalankan secara ‘privasi’ dan aman dan bebas dari unsur mengganggu ‘ketenteraman awam’ dan di luar pandangan awam.

Ini harus dilihat sebagai salah satu ‘Hak Asasi’ dalam Manusia membuat pilihan bebas tentang  ‘deen’ (jalan dan penyelesaian permasalahan hidup) yang mereka kehendaki di mana Hak mereka dalam menjalani kehidupan mengikut kehendak dan kesukaan mereka mendapat jaminan Allah, berdasarkan ‘Hukum Hudud’, supaya tidak diganggu-gugat oleh sesiapapun, mahupun dari kalangan Jemaah Islam dan Pemerintah Islam itu sendiri.

Lalu sebarang serbuan, halangan, tangkapan, kurungan dan hukuman  terhadap mereka yang menjalankan aktiviti ‘suka-sama suka’ secara yang ‘privasi’ dalam keadaan  ‘aman’ dan tersembunyi dari pandangan awam ini, hendaklah disifatkan sebagai tindakan paksaan dan halangan yang menjurus kepada penafian, pencabulan dan perlucutan  ‘Hak Asasi’ manusia yang menjadi larangan keras Allah berkaitan ‘Hukum Hudud’ ini.

Pun begitu, sepertimana yang Allah anjurkan, hendaklah Jemaah dan Pemerintah Islam melalui cara berlembut, berhemah dan bijaksana, mengusahakan seruan kepada ‘amar makruf, nahi mungkar’, secara yang aman pula. Tanpa menggunakan paksaan, kekerasan dan halangan dan tanpa menimbulkan rasa tidak enak dan kurang senang pihak yang diseru.

Kerana telah jelas apa yang Allah perintahkan dari apa yang Allah larang, apa yang Allah halalkan dan apa yang Allah haramkan, biarpun Allah tidak suka memaksa atau menghalang. Begitulah Allah mengingatkan kepada Manusia supaya seruan Manusia kepada Jalan Allah hendaklah dilakukan secara yang bijaksana.

Apapun, pendekatan berhemah dan berlembut begini bukanlah cara dalam hal kita menangani pihak yang melampaui batas ‘Hukum Hudud’ dalam hal menzalimi orang lain untuk mendapat atau memaksakan kehendaknya ke atas orang lain tanpa rela. Lalu paksaan harus ditentangi dengan halangan dan dibalas dengan paksaan juga. Kerana sudah tentu perbuatan seperti rasuah, mencuri, merompak, mencedera, membunuh, menipu, menceroboh, mengugut dan memaksa,  mencabul kehormatan, merogol, dsb.  adalah jelas tindakan melampaui batas dari jenayah ke atas kemanusiaan yang tidak direlakan mangsa untuk tidak boleh dibiarkan, dan hendaklah dihalangi, ditentang dan diperangi menggunakan kekerasan dan paksaan pula. Untuk dapat ditangani, diadili dan mendapat hukuman setimpal melalui institusi Kehakiman, Mahkamah dan Penjara.

Kesimpulannya, ‘Hukum Hudud’ ini adalah sejagat sifatnya yang mengenai sekelian manusia sama ada yang beriman kepada Allah atau beriman kepada Taghut. ‘Hukum Hudud’ ini hendaklah difahami benar supaya Jemaah Masyarakat dan Pemerintah tidak melampaui batas Kuasa melangar ‘Hukum Hudud’ ini seperti kezaliman menjalankan hukuman penjara, seksa atau mati  terhadap penzina, pelacur, penjudi, penagih dan pengedar dadah, peminum dan pengedar arak, dsb. sedangkan perbuatan mereka dan kesalahan mereka adalah sekadar menzalimi diri sendiri dan sesama sendiri atas dasar ‘suka-sama-suka’ dan kerelaan sesama sendiri.

Apakah hak Pemerintah dan Jemaah Masyarakat untuk mengganggu-gugat aktiviti aman mereka, untuk menzalimi golongan seperti ini, dan memaksakan moral dan akhlak masyarakat kepada mereka?  Bukankah Allah telah menjamin Hak kebebasan setiap individu Manusia untuk memilih ‘Deen’ yang diingini dan disukai untuk menjadi amalan dan budaya hidup masing-masing secara aman dan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa?

Sayugia kita mengambil iktibar dari Kisah Musa dan Firaun yang Allah ceritakan di dalam Al-Quran. Biarpun Firaun boleh digolongkan sebagai ‘Taghut’, tetapi melampaui batasnya Firaun adalah berhubung dengan urusan  peribadinya dengan Allah. Sedangkan ‘Ketuanan Taghut’ Firaun adalah dengan kerelaan dari Rakyatnya sendiri juga

Firaun jelas  tidak melanggar ‘Hukum Hudud’ Allah, apabila Firaun tidak menghalang, malah memberi izin dan kebebasan kepada Musa dan para pengikutnya keluar dari perhambaan ‘Ketuanan Firaun’ dan meninggalkan negeri Mesir.  Musa pun sekadar menyeru dan tidak memaksa atau memerangi Firaun dan para hamba Firaun untuk beriman kepada Allah dan mematuhi ‘Deen’ Islam.

Jelas di sini sikap saling hormat-menghormati yang terjadi di antara Firaun dan Musa. Allah turut menceritakan di dalam Al-Quran gambaran persaingan antara Musa dan Firaun dalam membukti dan ‘mensyahadahkan’(mempersaksikan)  kebenaran ‘Deen’ masing-masing sebagai dua ombak besar yang mendatangi dan mendekati satu sama lain, yang kesudahannya Firaun dan pengikutnya ‘tenggelam’, sementara Musa dan para pengikutnya ‘terselamat’.

Firaun akhirnya menerima ‘kekalahan’ itu untuk tunduk kepada bukti dan persaksian yang sudah tidak boleh disangkal lagi. Lalu Firaun mengisytiharkan dirinya sebagai ‘Muslim’ di saat rebah dan hancurnya kemegahan ‘Kerajaan Taghut’ Firaun yang bertindak silap untuk memilih kufur kepada Allah, memandang rendah kepada ‘deen’ Islam, dan kufur kepada ‘Hari Kesudahan’ (yang  memenangkan ‘deen’ Islam ke atas ‘deen’ Taghut di penghujung perhitungan).

Maka begitulah Allah yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana itu mengenakan ‘Hukum Hudud’ sebagai ‘Peraturan Wajib’ pada ‘Perlawanan’  yang Allah bertindak sebagai ‘Pengadil’nya,  untuk dipatuhi oleh kedua-dua ‘Pasukan’ yang sentiasa ‘Berjuang’ berhempas-pulas untuk cuba mengatasi satu sama lain.  Apapun, ‘Keputusan’ kalah atau menang adalah di tentukan pada ‘Penghujung’ perlawanan.

Sementara Allah sebagai ‘Maha Pencipta’ kepada ‘Perlawanan’ yang lalu ‘Maha Mengetahui’ selok-belok ‘Perlawanan’ dan ‘Kesudahan’ pada ‘Perlawanan’ telah terlebih dahulu menjanjikan ‘Kemenangan’ kepada Pasukan yang menggunakan ‘Deen’ (Islam) ciptaan Allah sebagai ‘Strategi’ yang mementingkan pencapaian ‘Jangka Panjang’ (Ukhrawi) itu, untuk muncul ‘Pemenang’ di ‘Kesudahan’ perlawanan. Berbanding Pasukan yang menggunakan ‘Deen’ ciptaan dan anjuran ‘Taghut’ yang Allah janjikan kekalahan pada kesudahan perlawanan kerana mementingkan pencapaian ‘Jangka Pendek’ (duniawi) untuk mudah menjadi lalai, leka dan sombong dengan ‘Kemenangan Awal’ seolah mereka akan ‘Kekal’ menang dan sudah tidak mungkin lagi dapat dikalahkan.

Begitulah Allah mengumpamakan kehidupan ini sebagai satu ‘Permainan’ yang ‘Berperaturan’ yang bermatlamatkan ‘Kemenangan’ di ‘Kesudahan’ perlawanan.

Salahfaham Terhadap ‘Hukum Hudud’

Hudud dalam bahasa arab bermaksud ‘had’ atau ‘batas’ dalam bahasa melayu.

Lalu konsep ‘hudud’ dalam Islam adalah berkaitan hukum (law) dan peraturan (rules)  yang meng’had’kan kuasa seseorang individu atau sekumpulan individu daripada tindakan melampaui ‘batas’ mereka terhadap individu atau sekumpulan individu lain. Ia bertujuan melindungi ‘hak asasi’ dan ‘privasi’ satu pihak daripada dicerobohi, didedah atau dizalimi satu pihak yang lain yang boleh mengakibatkan kematian, kecederaan atau ketidakselesaan, kehilangan harta-benda dan juga maruah, atau menimbulkan rasa aib, rasa takut dan rasa kesedihan yang melampau.

Ini termasuk tindakan ‘melampaui batas’ pemerintah terhadap rakyat dan tindakan ‘melampaui batas’ rakyat terhadap pemerintah. Dan sudah tentu tindakan melampaui batas sebuah Negara terhadap sebuah Negara yang lain.

‘Hukum hudud’ harus dibezakan dengan ‘hukuman hudud’ yang lebih tertumpu kepada persoalan bentuk hukuman yang dikenakan akibat perlanggaran Hukum Hudud. Lalu yang menimbulkan kontroversi adalah lebih kepada isu tentang perlaksanaan bentuk hukuman tertentu kerana kesalahan hudud, bukannya penguatkuasaan hukum hudud itu sendiri yang sudah tentu kebaikannya jelas untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan umat manusia.

Kita tidak mahu dalam keghairahan menolak bentuk hukuman hudud yang kontroversi yang barangkali berpunca dari persepsi salah manusia terhadap apa yang sebenar dimaksudkan Allah, Lalu kita tolak sekali ‘hukum hudud’. Lalu berleluasalah perlanggaran manusia terhadap ‘hukum hudud’ yang diperintahkan Allah untuk dilaksanakan itu.

Maka bukan saja ‘hukum hudud’, malah Islam dan Allah menjadi mangsa fitnah gara-gara kurang cermatnya kita memahami dan menangani permasalahan hudud yang tujuannnya tidak lain untuk kebaikan kita semua juga.

Amar Makruf, Nahi Mungkar

Barangkali bukan menjadi hak atau kewajipan masyarakat Islam untuk menghalang tumbuhnya tempat-tempat maksiat atau  memerangi aktiviti-aktiviti maksiat ‘suka sama suka’ oleh pelaku jika ia dilakukan secara sembunyi-sembunyi di tempat terpencil dan tersembunyi dari laluan atau pandangan orang-ramai.

Malah, pendekatan dan tindakan mengintip, mengintai dan menceroboh ‘privacy’ bagi tujuan menangkap, mendedah perlakuan aib dan memalukan pelaku di mata keluarga dan masyarakat mungkin saja termasuk perbuatan melampaui kuasa (‘ultra-vires’) atau menyalahguna kuasa (abuse of power) yang sebenarnya menjadi larangan Allah pula.

Mengintai, mendedah dan menyebarkan aib seseorang adalah tergolong dalam perbuatan ‘fitnah’ yang disifatkan Allah lebih buruk dari membunuh kerana individu yang ‘terfitnah’ akan menanggung aib dan malu seumur hidup.

Keperluan untuk mengadakan empat saksi dari orang baik-baik yang menyaksikan aksi sex pasangan berzina secara yang amat jelas untuk menangkap dan menghukum penzina perlu diperhati dari aspek kesalahan pasangan penzina yang berani berbuat aib di depan khalayak sampai tidak kurang dari empat orang yang baik-baikpun boleh nampak.

Padahal kalau boleh ada sampai empat pengintip yang boleh hadir bersama mengintai perlakuan sex pasangan penzina di tempat ‘private’ yang tertutup dan tersembunyi dari pandangan orang ketiga, maka keempat-empat ‘saksi’ tersebut bolehkah disifatkan sekumpulan orang yang sangat-sangat tidak bermoral untuk ‘hilang’ kelayakan mereka menjadi saksi.

Padahal senakal-nakal orang, dia akan terasa malu bila perbuatan aibnya mengintai pasangan sedang ‘bersetubuh’ itu disedari dan diketahui orang lain.

‘Amar Makruf, Nahi Mungkar’ adalah berkaitan anjuran  ‘suruh’ (amar) dan anjuran ‘larang’ (nahi) yang pada dasarnya lebih berbentuk ‘seruan mulut’ saja yang tidak melibatkan ‘tindakan anggota badan’ pihak yang menyeru. Respons tindakan anggota badan adalah untuk pihak yang kena seru. Itupun terpulang sama ada dia nak ‘ikut’ atau tidak dengan ‘nasihat’ tersebut.

Begitu juga dengan ‘ingat-mengingat kepada kebenaran’ dan ‘ingat-mengingat kepada kesabaran’ adalah berupa ‘nasihat’ yang bukan bertujuan memaksa.

Maka, Islam pada asasnya adalah ‘agama dakwah’ dan ‘agama nasihat’ yang menyeru umat manusia kepada kebaikan. Untuk diikuti secara sukarela dan bukannya untuk mendapat kepatuhan melalui ugutan, paksaan, atau menidakkan pilihan. Maka wujud garis panduan  Allah supaya ‘tiada paksaan’ atas sebab ‘telah jelas apa yang baik dan apa yang buruk’.

Bagaimanakah yang ‘baik’ dan yang ‘buruk’ boleh menjadi jelas untuk dibeza-bezakan jika semua yang ‘buruk’ dihapus dan ditiadakan?

Cabaran kepada para ‘pemimpin’ dan ‘pendakwah’ adalah lebih kepada untuk ‘establish’ dan untuk terangkan dengan jelas supaya yang baik dan yang buruk itu menjadi jelas kepada semua menggunakan contoh-contoh yang ada dan nyata di persekitaran.

Walaubagaimanapun, sudah tentu kaedah ‘berlembut’ ini hanyalah berkaitan perlakuan buruk ‘suka sama suka’, bukanlah untuk digunapakai dan dikompromikan kepada perkara berkaitan perbuatan  ‘jenayah’ yang termasuk perbuatan ‘maksiat’ yang dilakukan secara terang-terangan di khalayak ramai.

Jelasnya, jenayah bukanlah aktiviti ‘suka sama suka’ dan perbuatan maksiat secara terbuka (kecuali dilakukan di tempat-tempat ‘private’ yang rata-rata dikunjungi golongan ‘pemaksiat’) pula bukanlah sesuatu yang disukai masyarakat untuk menjadi tontonan khalayak umum.

Tentunya masyarakat bertamadun tidak suka kepada  perkara dan perlakuan buruk yang memalu dan mengaibkan terutama apabila ia boleh mempengaruhi dan meracuni fikiran ‘kanak-kanak’ yang belum ‘mumaiyiz’ (untuk kenal dengan jelas apa yang buruk dan apa yang baik).

Allah menciptakan buruk dan baik untuk menjadi pelajaran kepada manusia supaya manusia dapat dididik untuk tahu apa yang sepatutnya dianjur untuk dilakukan, dan apa yang sepatutnya ditegah untuk dihindari atau ditinggalkan.

Jelasnya, mendapat ‘pahala’ bukan saja melalui cara menghampiri dan berbuat apa yang disuruh, tetapi melalui cara menghindari dan meninggalkan apa yang terlarang juga.

Menghapuskan tempat-tempat maksiat dan memerangi aktiviti-aktiviti maksiat, barangkali boleh menghalang anggota masyarakat dari berbuat dosa. Tetapi yang buruknya, ia sekaligus menghilangkan peluang anggota masyarakat daripada ‘mendapat pahala’ dari menyeru kepada ‘amar makruf, nahi mungkar’. Ini termasuklah peluang mendapat pahala dari menghindari perbuatan mungkar ketika berdepan dengan pilihan nyata ‘nak buat atau tak nak buat’. Apatah lagi peluang mendapat pahala meninggalkan perbuatan terlarang yang datang dari keinsafan diri sendiri secara ikhlas dan sukarela.

Sesungguhnya Allah menjadikan yang baik sebagai contoh tauladan dan anjuran kepada golongan penjenayah/pemaksiat untuk berubah menjadi ‘solihin’ yang memperbaiki diri. Dan Allah menjadikan yang buruk sebagai ujian untuk menduga dan memantapkan lagi iman golongan orang baik-baik supaya mereka tidak mudah ‘tergoda’ untuk ‘tergelincir’ menjadi orang yang ‘menzalimi’ diri sendiri.

Allahpun bertanya di dalam Al-Quran apakah kita fikir iman kita akan terus diterima Allah tanpa diuji? Maka siapa kita mahu mendahului Allah dan Rasul dalam hal menghapuskan ‘rahmat’ dan ‘ujian’ Allah  ini.

Post Navigation

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.