SANDIWARA

tracking ORIGINS

Puisi Melayu Lama

Oleh ANNAS HAJI AHMAD

Kita tidak dapat menafikan lagi betapa pentingnya pengkajian sastera lama dan juga cabangnya, iaitu puisi lama. Puisi lama telah lama berkembang dalam masyarakat kita, dan kini telah pun timbul puisi Melayu baru. Yang lama dan yang berkesan dalam masyarakat kita patut dijadikan unsur penyelidikan dan kajian kita kerana puisi lama adalah sebahagian dari kebudayaan masyarakat lama. Pengetahuan kita mengenai selok-belok,bentuk dan gambaran dalam puisi lama dapat membawa kita kapada memahami masyarakat lama, cara mereka berfikir dan kebiasaan-kebiasaan dalam masyarakat itu.

Istilah puisi adalah satu istilah baru yang kita pinjam dari Indonesia untuk karangan-karangan berangkap yang mementingkan sajak, irama, sukukata dan pilihan kata. Perkataan puisi berasal dari perkataan Belanda poesie yang dalam bahasa Inggerisnya diberi nama poetry. Karangan-karangan seperti teka-teki, pantun, syair, talibun, gurindam, seloka adalah bentuk-bentuk yang biasa dikenal dengan istilah karangan berangkap. Karangan-karangan berangkap di atas ada pertaliannya antara satu sama lain dan dapat kita selidiki asalnya. Disamping itu harus juga kita ketahui akan masyarakat yang membentuk puisi Melayu lama.

Puisi lama lahir dari masyarakat lama dan menggambarkan masyarakat lama pula. Puisi lama hidup sabagai sastera lisan dan merupakan sebahagian besar dari sastera rakyat. Puisi ini hidup dari mulut ke mulut sejak zaman puntung berasap dan zaman Tok Nador berkajang kain. Puisi lama adalah hak kumpulan dicipta untuk kumpulan dan menjadi milik kumpulan. Dari itu, semua ahli masyarakat turut menggunakannya dan patuh kapada syarat-syarat yang terdapat padanya, iaitu syarat-syarat sajak di segi persamaan bunyi, sukukata dan bilangan perkataan.

Masyarakat lama tidak mementingkan soal-soal persendirian dan tidak mengkehendaki unsur-unsur pembaharuan, kerana sastera, terutama puisi, adalah hak ramai. Dalam masyarakat yang tenang, manusia mementingkan unsur-unsur persamaan. Kita telah faham bahawa bentuk-bentuk peribahasa memenuhi syarat-syarat sajak, kerana adanya sukukata-sukukata yang tertentu dan mengandungi isi yang padat. Dari itu tidaklah dihairankan jikalau teka-teki dan pantun dua kerat merupakan pendahuluan kapada bentuk pantun biasa, atau pantun empat kerat.

Kita biasa mendengar peribahasa-peribahasa ini:—

“ikut rasa binasa,
ikut suka duka,
ikut hati mati,
dan biar titik jangan tumpah
biar rebeh jangan roboh”

dan kita tahu bahawa peribahasa-peribahasa ini mempunyai rentak dan irama dan pemilihan kata-kata. Dari kesedapan bunyi ini, timbullah pula unsur-unsur permainan dalam bentuk teka-teki yang ada kalanya disebut pantun dua kerat. Cuba perhatikan teka-teki ini:

“Siakap senohong,
gelama ikan duri,
bercakap bohong,
lama-lama mencuri”

dan

Hujung bendul dalam semak,
kerbau mandul banyak lemak”

Teka-teki di atas boleh dilagukan dalam empat baris, sama saperti kita mengarang pantun. Hanya bila kita tuturkan terdengar seakan-akan ada dua baris sahaja. Teka-teki berasal dari perkataan Sanskrit ‘terka’ bermaksud: ‘mencuba,’ ‘mencari’ dan teka-teki berdasarkan kapada sajak dan asonansi (persamaan bunyi hujung).

Soal yang mengelirukan dalam mengkaji sastera Melayu lama, juga alam puisi Melayu, ialah percampuran dan pengaruh-pengaruh kebudayaan luar dalam sastera kita, hingga kadang-kadang kita berasa sangsi yang manakah bentuk asli dan yang mana sadoran. Ahli-ahli penyelidik seperti Adriani dan Kruijt yang berusaha mencari bentuk-bentuk asli puisi lama, telah membawanya ke arah kebudayaan bangsa Toradja di Laut Pasifik, dimana kata mereka puisi ini tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luar.

Kata mereka bentuk teka-teki dan tebakan digunakan ketika menjalankan upacara-upacara ritual pertanian mereka. Sastera disesuaikan dengan musim padi. Tebakan dan teka-teki (dari segi simpetetik dan kuasa-kuasa kosmos) dapat mencepatkan dan mengelokkan hasil padi mereka. Mengeluarkan makna yang tepat pada tebakan bererti seperti mengeluarkan buah padi dari batangnya. Jadi tebakan yang mula-mula digunakan untuk usaha-usaha yang baik kemudian berubah menjadi adat pengisi waktu dan alat permainan. Dengan itu terbitlah bentuk baru seperti teka-teki atau permainan ini.

“Siapa yang belum keluar dari rumahnya tetap basah” — jawapannya — lidah.

“Yang banyak ditambahi, yang kurang dikurangi” — jawapannya menimba air dalam perahu.

Teka-teki dan pantun dua kerat telah begitu sebati dengan orang Melayu hinggakan jika disebut sekerat sahaja tahulah si pendengar akan maksud pelengkapnya.

Dengan itu jika disebut, “Pinggan tak retak, nasi tak dingin” — fahamlah si pendengar akan pelengkapnya “Sekali kau tak hendak, seribu kali aku tak ingin”. Begitu juga jikalau ada anak-anak muda yang hendak mengusik seseorang janda yang agak gemuk, mereka akan berkata:— “hujung bendul dalam semak,” tahulah janda itu jawapannya “Kerbau mandul banyak lemak.”

Teka-teki dan persajakan bagini digunakan oleh kanak-kanak waktu mereka bermain atau berolok-olok dengan kawan-kawan mereka saperti “pet-pet ketam batu,” jawapannya “mata sepet tunggu pintu” , atau “tang-tut buah labu, siapa kentut bini hantu.”

Jawapan kapada kerat pertama terpulanglah kapada hujung kerat pertama, dan kerapkali berupa menjadi sesuatu yang menggelikan hati; dan kadang-kadang oleh budak sekolah dicari mereka penyesuaian rangkap begini:—

“Siakap senohong,
gelama ikan duri,
bercakap bohong,
lama-lama mencuri”.

kepada

“Satu dua tiga empat,
Anak ikan sudah lompat.
Lima enam tujuh lapan
Jatuh balik atas papan.”

Penyesuaian hujung baris begini dapat mendidik anak-anak memahami bentuk pantun dan juga menggambarkan betapa luas dan dalam penggunaan puisi dalam masyarakat kita.

Satu lagi susunan kata-kata yang tidak dapat dinafikan memainkan peranan penting dalam masyarakat lama ialah mentera, jampi dan serapah. Bentuk ini khasnya digunakan oleh pawang dan bomoh. Yang menarik perhatian kita dalam bentuk ini ialah sifat-sifat asalnya, kemudian sulaman pengaruh Hindu dan akhirnya penyingkiran pengaruh Hindu dan diganti pula dengan kalimat-kalimat dari agama Islam.

Juga harus kita kaji keindahan susunan katanya dan persamaan bunyi yang ada pada hujungnya. Ada kalanya seragam dan ada kalanya pula berselang-seli. Dari zaman animisma lagi bentuk ini amatlah banyak kerana pawang dan bomoh memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat lama. Pawang bukan sahaja menjadi ahli membasmi penyakit atau wabak, penjauh hantu syaitan dan pemuja penunggu, tetapi juga pawang dapat menggunakan ilmunya untuk perkara-perkara yang buruk seperti memasukkan hantu dan untuk ilmu-ilmu pengasih.

Dalam zaman pengaruh Hindu, mentera, jampi dan serapah disulami dengan nama dewa-dewa Hindu saperti Betara Guru, Visnu, Betara Kala, Seri Rama dan lain-lain. Dalam zaman Islam pula, dewa, Hindu digantikan dengan sebutan Allah, Muhammad, Ali dan pahlawan Islam. Pengkajian mengenai bentuk puisi lama dapat menolong kita memahami keadaan dalam masyarakat lama kita dan mengetahui keadaan kepercayaan dan fahaman yang mereka anuti.

Soalan Ulangkaji:

1. Huraikan bentuk-bentuk dan jenis-jenis puisi Melayu lama.

2. Huraikan dengan ringkas bagaimana pantun Melayu berkembang dan apakah sebabnya pantun
kurang mendapat perhatian masyarakat Melayu sekarang.

3. Pantun ialah puisi Melayu asli yang dapat menunjukkan keperibadian bangsa Melayu. Bincangkan dan kemukakan pendapat kamu mengenai jenis-jenis pantun Melayu dan berikan contoh-contohnya.

4. Banyak sarjana barat berbeza pendapat mengenai asal perkataan pantun dan perhubungan antara pembayang maksud dengan maksudnya. Bagaimana pendapat kamu? Bagaimana pula pendapat sarjana-sarjana tempatan mengenai perkara-perkara di atas?

5. Apakah yang dikatakan pantun dua kerat atau teka-teki ? Adakah apa-apa perkaitan antara pantun dua kerat dengan pantun biasa?

6. Adakah pula perkaitan antara peribahasa dengan pantun?

7. Adakah perkaitan antara pembayang maksud dalam pantun biasa dengan maksudnya?

8. Apakah yang dikatakan pantun berkait dan berikan contohnya?

9. Beri berbagai-bagai contoh jenis dan bentuk pantun Melayu.

10. Selidiki berbagai-bagai unsur nyanyian kanak-kanak di daerah kamu dan analis akan dari segi pilihan kata, irama dan isinya.

Petikan dari:

SASTERA MELAYU LAMA (untuk Tingkatan Menengah dan Atas) oleh ANNAS HAJI AHMAD, Terbitan Saudara Sinaran Berhad (Tahun 1964)

About these ads

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 25 other followers

%d bloggers like this: