SANDIWARA

tracking ORIGINS

Pantun Melayu

oleh ANNAS HAJI AHMAD

Pantun Melayu mendapat perhatian istimewa dari sarjana bahasa Melayu baik dari bangsa Eropah maupun dari anak tempatan. Manakala anak-anak tempatan melebihkan soal-soal keindahan dalam pantun dan persamaannya dengan bentuk puisi lain di alam Melayu, sarjana-sarjana barat asyik memperkatakan asal perkataan itu dan perhubungan antara pembayang maksud dengan maksudnya hinggakan masing-masing mengeluarkan hujjah-hujjah yang tidak dapat dipersetujui oleh orang lain. Hingga kini belum ada persetujuan antara mereka dan tidak akan mungkin ada persetujuan.

Pantun ialah ragam puisi yang hidup di kalangan rakyat dan bersifat kemelayuan. Khasnya pantun berkehendakkan sajak dan irama, pilihan suku-kata dan perkataan. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu lama sebelum orang-orang Melayu tahu menulis dan membaca. Orang-orang Melayu menciptakan pantun untuk melahirkan berbagai-bagai bentuk perasaan, dengan mana pula merupakan satu seni yang indah. Mereka menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, bersuka-suka dan berjenaka, menyindir, dan untuk menyatakan rasa kesedihan.

Dengan adanya syarat-syarat tertentu di atas, pantun-pantun Melayu dilahirkan secara berkesan, padat dan ringkas. Pantun adalah hak masyarakat umum, tidak sesiapa yang memilikinya, tetapi semua ahli masyarakat tahu yang manakah pantun yang baik dan yang mana tidak. Keindahan pantun hanya dapat dirasakan bila didengar dan diucapkan.

Kata pantun asalnya dari Sanskrit, dan membawa erti: bicara, aturan yang sah; dan dalam bahasa Jawa dengan erti yang lebih umum, pantun merupakan sebahagian dari peribahasa. Dalam buku-buku sastera lama Melayu pantun diertikan dengan seperti. umpama, mithalnya dalam Hikayat Hang Tuah disebut: saperti pantun Melayu pagar makan padi. Pantun juga kadang-kadang membawa maksud sebagai atau seumpama saperti dalam Tuan sepantun kilat cermin.

Brandstetter telah mencuba memecahkan perkataan pantun kapada akar kata tun dan katanya dalam bahasa Sunda pantun berasal dari akar tun. Dalam bahasa Tagalog tuntun bererti membawa secara teratur, dan dalam bahasa Jawa Kuno matuntunan bererti memimpin. Jadi sarjana-sarjana bahasa tidak dapat memutuskan soal pantun dari segi etimologi.

Dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, pantun digunakan untuk mencemuh dan mengata sesuatu secara halus, mithalnya :—

“Cau Pandan, anak Babanya
Hendak menyerang ke Melaka.
Ada cincin berisi bunga
Bunga berladung si airmata.”

Dalam Hikayat Hang Tuah, semasa pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat ada disebut saperti pantun Melayu, “Rosak bawang ditimpa jambak”

Za’aba juga tidak ketinggalan menyatakan pantun biasa digunakan untuk membawa maksud seumpama, sebagai dan dalam kata-kata orang tua-tua biasa disebutkan:—

“Sepantun ayam tidak berinduk,
Menampi orang maka memakan”

Werndly seorang sarjana bahasa Melayu dalam tahun 1736, membawa perhatian kita kapada puisi Melayu yang disebutnya pantun Spellman, tetapi yang sebenarnya ialah syair iaitu ‘Syair Perang Makasar’.

Nyata sekali dalam sastera lama pantun digunakan dalam berbagai corak. Dalam Sejarah Melayu juga pantun biasa digunakan sebagai nyanyian dalam kisah Singapura dilanggar todak:—

“Carik baju raja,
Dilompati todak,
Bukan disengaja
Sebab akal budak.”

Dalam kisah Tun Jana Khatib disebutkan pula, itulah dipantunkan orang:—

“Telur itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.”

(Lihat ms. 74 Sejarah Melayu — Abdullah)

Memang sukar hendak ditentukan bilakah pantun mula digunakan dalam buku-buku sejarah Melayu lama. Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, iaitu sebuah teks Melayu yang tertua, ada sebuah karangan berangkap yang dua kali dipakai; tetapi kata Winstedt ini sukar hendak dikatakan bentuk pantun. Mungkin pantun telah dicatitkan ke dalam buku-buku Melayu lama itu pada masa kerajaan Melayu Melaka, dan banyak terdapat dalam hasil yang ditulis dalam abad ketujuh belas. Tetapi selepas abad delapan belas, pantun menjadi satu kebiasaan dan merupakan satu tingkat dalam perkembangan puisi Melayu.

Syarat-syarat yang ada pada pantun

Pantun sebagai satu cabang sastera puisi yang terpenting, berkehendakkan beberapa syarat tertentu. Syarat-syaratnyalah, yang menyebabkan pantun tidak menarik hati masyarakat moden. Bentuknya terikat dan tidak memberi kesempatan untuk gaya persendirian. Walau pun ada beberapa jenis pantun, seperti pantun empat kerat, enam kerat, delapan kerat dan pantun berkait,

Syarat-syarat untuk mengarang pantun ini adalah sama. Hanya pantun berkait sahajalah yang harus diperkatakan berasingan. Haruslah disedari bahawa pantun dua keratlah yang menjadi pendahuluan kapada pantun empat kerat dan seterusnya.

Pada asasnya ada empat syarat yang harus dipenuhi oleh sesebuah pantun yang baik iaitu:—

i. Pantun dibahagikan dalam dua bahagian; bahagian pertama disebut pembayang maksud atau sampiran atau pembawa maksud, dan bahagian kedua disebut maksud pantun yang sebenarnya. Perlu ada perhubungan antara bahagian pembayang maksud dengan maksudnya.

ii. Perhubungan antara pembayang maksud dengan maksud, sebenarnya dapat dilihat dalam bayangan bunyi.

iii. Di samping sajak, mesti pula ada asonansi (bunyi yang sama) seterusnya.

iv. Erti dan maksud dari seluruhnya tidak boleh tampil ke muka dengan sekali gus tetapi dengan perlahan-lahan. Sarjana, barat banyak menyumbangkan tenaga dalam mencari asal-usul pantun dan perkaitan antara pembayang maksud dengan maksudnya.

Marsden dan Crawford berpendapat bahawa bahagian pertama pantun berisi metaphor, ibarat, mithalan yang membayangkan apa yang akan dikemukakan dalam bahagian kedua iaitu maksudnya. Bahagian maksud mengandungi isi yang lebih lanjut dari bayangannya dalam bahagian pertama. Contohnya terdapat dalam pantun:—

“Telur itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.”

‘Ibarat dan bandingannya terdapat dalam jarak letak kedua tempat itu dan juga sifat-sifat tertentu yang dilambangkan oleh telur itik dan pandan itu. Unsur-unsur yang saperti ini dapat menolong kita untuk menerangkan lagi maksud pantun itu. Keadaan merintis jalan atau membayangkan apa yang dikemukakan dalam maksud pantun memang sukar hendak diadakan, tetapi lebih senang untuk mencari perhubungan antara pembayang maksud dengan maksud dari segi persamaan bunyi sahaja.

Winstedt dan Wilkinson pula berpendapat pembayang maksud serangkap pantun harus mengandungi sesuatu fikiran yang indah dan dalam dan bertaraf seni. Mereka berpendapat pantun harus mengandungi dua bentuk iaitu bentuk metaphor dan keduanya harus pula ada bayangan bunyi.

H. Overbeck dalam makalahnya “The Malay Pantun” majalah Royal Asiatic Jil. 85 (1922) menyatakan bahawa bayangan bunyi dalam pantun ialah sifatnya yang utama dan assosiasi fikiran sifatnya yang kedua.

Dr. Hussein Djajadiningrat telah membandingkan bait-bait pantun dengan bait-bait dalam bahasa Jawa dan Sunda dan berpendapat bahawa wangsalan Jawa dan pantun Melayu berdasarkan atas keinginan untuk menyampaikan hasrat atau menyatakan sesuatu dalam bentuk yang halus dengan menggunakan bayangan bunyi atau disembunyikan di sebalik sindiran.

Orang-orang Bugis dan Makasar suka kepada sindiran dan bayangan bunyi dalam kebiasaan hidup mereka. Mereka menghadiahkan ikan penuo kapada pengantin baru dengan harapan, mereka akan berada dalam keadaan penuh dan tidak kekurangan sesuatu. Bagitu juga hadiah pokok riwu-riwu (ribu) ialah untuk mengucapkan selamat supaya makmur.

Orang-orang Sibolga di Sumatra Barat menyembahkan ikan belanak dengan harapan orang yang menerimanya akan dikurniai Tuhan dengan beberapa orang anak. Demikianlah pentingnya bayangan bunyi dalam pantun.

Untuk memperkatakan sifat-sifat pantun seterusnya, perhatikanlah pantun di bawah ini:—

1. “Buah langsat kuning mencelah,
2. Keduduk tidak berbunga lagi,
3. Sudah dapat gading bertuah,
4. Tanduk tidak berguna lagi.”

Dalam sesebuah pantun mesti ada persajakan (persamaan bunyi) antara hujung baris pertama dengan hujung baris ketiga dan hujung baris kedua dengan hujung baris keempat. Ringkasnya persajakan pada pantun mestilah a, b, a, b. Sajak di hujung begini dinamakan sajak akhir.

Sajak akhir ada dua jenisnya iaitu sajak sempurna dan sajak tidak sempurna. Sajak itu sempurna kalau sukukata akhir bersuara sama tepat saperti:—

lidi dengan padi
gunting dengan benting
mata dengan kota

Sajak itu tidak sempurna kalau perulangan sukukata terakhir tidak sama tepat, tetapi hanya hampir sama bunyinya sahaja, seperti:—

peti dengan budi
kunci dengan puji

Selain dari bunyi hujung yang bersajak, Wilkinson dalam bukunya Pantun Melayu (MPH) berpendapat bahawa pantun yang baik hendaklah mengandungi lebih dari satu sukukata yang bersajak. Pantun yang baik mempunyai assonansi (persamaan bunyi) dalam keempat-empat sukukata dalam tiap-tiap kerat bersajak dengan pasangannya.

Dalam pantun di atas terdapatlah sajak awal buah baris pertama bersajak dengan sudah baris ketiga. Keduduk baris kedua bersajak dengan tanduk baris ketiga, dan sajak tengah Langsat dan kuning bersajak dengan dapat dan gading. Tidak berguna bersajak dengan tidak berbunga. Jadi dalam pantun yang baik, tiap-tiap perkataan ada peranannya yang tertentu, dan dari itu pantun Melayu susah hendak diterjemahkan.

Kebiasaan mencari persamaan sajak dalam pantun dengan mengulang-ulang perkataan yang sama atau dengan menambah lah, pun dan lagi tidak dipandang tinggi dalam puisi pantun.

Perhatikan pantun:—

“Ke teluk sudah, ke Siam sudah,
Ke Mekah saja saya yang belum,
Berpeluk sudah, bercium sudah,
Bernikah saja saya yang belum.”

Kita akan dapati beberapa sukukata dalam pantun ini bersajak dan ini akan menambahkan indah bunyi pantun tersebut, tetapi cara bersajak saperti ini dengan mengulang-ulangkan perkataan dipandang kurang baik dalam pantun.

Dalam membentuk serangkap pantun ada orang yang mengemukakan soalan dalam baris pertama dan dijawab dalam baris kedua, mengemukakan lagi dalam baris ketiga dan dijawab dalam baris keempat saperti:-

“Dari mana punai melayang,
Dari sawah turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.”

Ada pula yang memberikan pernyataan sahaja seperti:-

“Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya gantikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya serahkan.”

Dalam mengarang pantun, ada orang yang mementingkan pembayang maksud dan maksud yang berkait atau bertalian dari suatu perkara untuk menunjukkan pantun yang elok, seperti:—

“Kupu-kupu terbang merayap,
Hinggap di bunga mengisap madu,
Hendak terbang tidak bersayap,
Meranalah dinda sepanjang waktu.”

Dalam pantun di atas perkaitan kerat pertama dengan kerat kedua membawa keindahan kapada pantun. Ada juga pantun dikarang dengan menggunakan dua unsur yang berlainan dalam pembayangnya saperti:—

“Limau purut lebat di pangkal,
Batang selasih condong uratnya,
Hujan ribut dapat kutangkal,
Hati kasih apa ubatnya.”

Dalam pantun di atas, tidak ada perkaitan antara kerat pertama ‘limau purut’ — dengan kerat kedua — ‘batang selasih.’

Banyak pula sarjana yang berpendapat bahawa pembayang maksud untuk pantun bukanlah boleh diambil sembarangan sahaja. Mereka berpendapat bahawa pantun yang baik ialah pantun yang mengandungi pembayang maksud yang ada perkaitan atau perbandingannya dengan maksudnya saperti dalam pantun-pantun ini :—

“Pisang emas bawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.”

dan

“Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.”

atau

“Puaslah saya menanam keladi,
Nenas juga ditanam orang,
Puaslah saya menanam budi,
Emas juga dipandang orang.”

Pilihan kata dan sukukata dalam pantun

Pantun yang baik ialah pantun yang indah bunyinya dan dalam ertinya. Jadi pantun tidak seharusnya memenuhi syarat-syarat sajak dan irama, tetapi sajak, rentak, irama dan pilihan kata-katanya berkehendakkan satu-satu penyatuan yang padat, jelas dan membawa makna yang dalam. Makna yang dalam hanya dapat disimpulkan dalam bentuk peribahasa, kiasan bahasa dan kata-kata yang pendek, tegas, tetapi luas dan dalam makna.nya. Jika kita pandang kepada masa-masa pantun digunakan saperti dalam istiadat meminang, menaiki pelamin, membuai anak, memberi nasihat dan mengeluarkan perasaan hati dalam percintaan, ketika-tika seperti ini berkehendakkan satu ikatan puisi yang indah yang dapat meyakinkan senikata-senikata yang dapat mencurahkan perasaan.

Pemilihan kata-kata yang tepat, dalam, sesuai dan sedap bunyinya menambahkan nilai keindahan dalam pantun. Suasana ini hanya dapat diciptakan dalam masyarakat yang tenteram dan tenang di mana manusia mempunyai kesempatan untuk berfikir dan mengeluarkan kata-kata yang halus dan dalam yang berhubungan rapat dengan alam sekeliling dan dengan kehidupan sehari-hari.

Kata-kata yang pendek, ringkas, padat dan tajam adalah dalam bentuk peribahasa, pepatah, dan kiasan. Dalam sifatnya yang ringkas itu terdapat efek yang tertentu. Dalam pantun ‘buah langsat’ pembawa maksudnya ialah :—

“Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi”

Gading bertuah dan tanduk adalah dua kiasan yang tepat dan indah dan masyarakat faham maknanya. Penggunaan perumpamaan dan kiasan sesuai dengan kehendak sukukata dan bilangan perkataan dalam pantun.

Cuba perhatikan kiasan yang terdapat dalam pantun dibawah ini:—

“Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah Raja Melayu,
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.”

Perhatikanlah betapa tepat dan dalam makna kiasan ikan busuk dan perencah dalam pantun diatas. Dalam pilihan kata, orang-orang Melayu kerapkali mengambil benda-benda disekeliling mereka untuk melambang atau menggantikan sesuatu maksud. Lambang-lambang ini mempunyai sifat-sifat universal dengan maksud supaya ahli-ahli masyarakat faham akan erti lambang-lambang seperti kumbang, awan, bunga, burung dan bulan.

Maksud di sebalik lambang-lambang ini sudah jelas kapada masyarakat lama, mithalnya:—

“Cahaya sungguh bulan mengembang, awan juga membawa diri.” atau “kalau tuan menjadi burung, saya menjadi ranting kayu.”

Dalam memperkatakan sukukata dan bilangan perkataan dalam pantun, baiklah diambil kembali pantun — buah langsat dan pecahkan kapada sukukatanya:—

Bu/ah lang/sat ku/ning men/ce/lah
4 perkataan, 9 sukukata

Ke/du/duk ti/dak ber/bu/nga la/gi
4 perkataan, 10 sukukata

Su/dah da/pat ga/ding ber/tu/ah
4 perkataan, 9 sukukata

Tan/duk ti/dak ber/gu/na la/gi
4 perkataan, 9 sukukata

Pantun dipandang indah dari segi bunyi dan keindahan kandongannya. Dalam tiap2 kerat pembayang maksud dan maksud pantun diatas terdapat empat perkataan dan antara sembilan hingga sepuloh sukukata. Pantun yang baik mengandungi tidak lebih dari dua belas sukukata dan tidak kurang dari delapan sukukata dalam tiap kerat dan bilangan sukukata yang baik sekali ialah antara sembilan hingga sebelas sukukata. Kata-kata yang lebih diutamakan ialah kata-kata yang bersuku dua kerana kata-kata ini lebih seimbang. Dalam bilangan perkataan, sebaiknya tidak lebih dari empat dan kurang dari tiga perkataan pada tiap-tiap kerat. Sukatan-sukatan ini penting kerana bunyi dan bilangan rentaknya.

Jenis Pantun Melayu

Pantun bukan sahaja ada jenis-jenisnya, bahkan boleh pula dipecahkan ke dalam beberapa bahagian. Bentuk-bentuk pantun yang biasa didapati ialah:—

1. Pantun dua kerat, teka-teki, ada kalanya disebut pantun kilat atau karmina.
2. Pantun empat kerat. Pantun ini pula dapat dibahagikan ke dalam pecahan-pecahannya:—

a. Pantun biasa atau pantun umum.
b. Pantun seloka.
c. Pantun berkait.

3. Pantun enam kerat yang biasa juga disebut talibun.

4. Pantun delapan, sepuluh dan dua belas kerat.

Dalam kesemua bentuk pantun ini separuh daripadanya terdiri dari pembayang maksud dan separuh lagi maksudnya.

1. Pantun dua kerat terjadi dari dua baris, kalimatnya bersajak di tengah dan dihujung. Baris pertama merintis jalan kepada jawapan dalam baris kedua. Biasanya jawapan ini difahami oleh ahli-ahli masyarakat. Contohnya:—

“Dahulu parang, sekarang besi,
Dahulu sayang, sekarang benci.”

atau

“Sayangkan kain buangkan baju,
Sayangkan lain buangkan aku.”

2. Pantun empat kerat terbitnya dari pantun dua kerat. Pantun ini juga menunjukkan unsur-unsur dari pantun dua kerat seperti dalam:—

“Lembing atas tangga, Perisai atas busut,” — tahulah orang jawabnya “Kening atas mata, Misai atas mulut.”

a. Pantun empat kerat—

Pantun empat keratlah pantun yang umum atau biasa sekali digunakan dalam masyarakat. Pantun ini pula ada beberapa jenisnya saperti:—

i. Pantun anak-anak :- a) Pantun bersukacita, b) Pantun berdukacita.

ii. Pantun anak muda:- a) Pantun dagang atau nasib, b) Pantun perhubongan mengenai soal-soal perkenalan, percintaan, perceraian dan berhiba hati.

iii. Pantun orang tua:- a) Pantun adat, b) Pantun agama, c) Pantun nasihat.

iv. Pantun teka-teki.

b. Pantun seloka:—

Menurut B. Simorangkir dalam bukunya Kesusasteraan Indonesia pantun ini sebenarnya adalah sebuah bidai yang diberi sampiran sehingga merupakan bentuk pantun biasa. Pantun ini bersamaan dengan syair mengenai jumlah sukukata dan sajaknya, tetapi berdasarkan kapada pantun dalam pembayangnya dan maksudnya. Rumus sajak dalam pantun ialah a, a, a, a; contohnya:—

“Ada suatu burung merak,
Lehernya panjang suaranya serak,
Tuan umpama emas dan perak,
Hati yang mana boleh tertolak”.

c. Pantun berkait:—

Ciri pada bentuk pantun ini samalah saperti syarat-syarat untuk pantun empat kerat. Tetapi pantun ini dikaitkan hingga menjadi sebuah kisah atau cerita lengkap. Caranya ialah dengan mengambil baris kedua dalam rangkap pertama, dan dijadikan baris pertama dalam rangkap kedua, dan baris keempat dalam rangkap pertama dijadikan baris ketiga dalam rangkap kedua. Seterusnya rangkap ketiga berdasarkan rangkap kedua dengan syarat yang sama. Contohnya :—

“Tanam melati di rumah,
Ubur-ubur sampingan dua,
Kalau mati kita bersama,
Satu kubur kita berdua.

Ubur-ubur sampingan dua,
Tanam melati bersusun tangkai,
Satu kubur kita berdua,
Kalau boleh bersusun bangkai.

Tanam melati bersusun tangkai,
Tanam padi satu persatu,
Kalau boleh bersusun bangkai,
Daging hancur menjadi satu.”

3. Pantun empat kerat, atau lebih (tapi biasanya berjumlah dalam angka genap), tetapi pembahagiannya sama seperti pantun empat kerat dan berkehendakkan syarat yang sama, contohnya:—

“Kalau tuan pergi ke pekan,
Yu beli, belanak beli,
Ikan parang beli dahulu,
Kalau tuan pergi berjalan,
Ibu cari sanak pun cari,
Induk semang cari dahulu.”

4. Pantun delapan kerat mengandungi empat baris pembayang maksud dan empat baris maksud, contohnya:—

“Bagus rupanya bunga melur,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan,
Pahar, cerek sudah teratur,
Cawan mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.”

Contoh Pantun

Pantun teka-teki, pantun kilat atau karmina:—

“Pinggan tak retak, nasi tak dingin,
Orang tak hendak, kami tak ingin.”

Pantun teka-teki yang menjadi permainan:—

“Terima kasih daun keladi,
kalau boleh mahu lagi.”

Pantun dua kerat yang mengejek:—

1) “Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata.”

2) “Hujong bendul dalam semak,
Kerbau mandul banyak lemak.”

Pantun empat kerat yang senang2 dan berbentuk tekateki:—

1) “Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi
Pandai baca kitab.”

2) “Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya sebiji ragi,
Kalau tuan bijak pandai,
Apa binatang keris di kaki.”

Pantun anak-anak — pantun bersukacita.

1) “Ikan parang-parang,
Gulai sama cuka,
Nyonya gigi jarang,
Baba tiada suka.”

2) “Elok rupanya kumbang jati,
Dibawa itik pulang petang.
Tidak terkata besar hati,
Melihat ibu sudah pulang.”

Pantun berdukacita:—

“Pecah cangkir berganti pinggan,
Emas urai dalam geleta,
Sejak anak emak tinggalkan.
Gila berurai airmata.”

Pantun anak muda — pantun dagang atau nasib:

“Asam pauh dari seberang,
Tumbohnya dekat tepi tebat,
Badan jauh dirantau orang,
Sakit siapa akan mengubat.”

Pantun perkenalan:—

“Samarinda tenunan suri,
Bunga dedap di dalam puan,
Maka pun kanda datang ke mari,
Hendak mengadap adikku puan.”

Pantun berkasih-kasihan:—

“Dari mana punai melayang,
Dari paya turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata terus ke hati.”

Pantun perpisahan:—

“Kalau ada sumur di ladang,
Dapatlah kiranya menumpang mandi,
Kalau ada umur panjang,
Tentulah kita bertemu lagi.

Pantun jenaka:—

“Elok rupanya pohon belimbing,
Tumbuhnya dekat pohon mangga,
Elok rupanya berbini sumbing,
Walau marah tertawa juga.”

Pantun budi:—

“Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji diatas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.”

Pantun orang tua — pantun ‘adat:—

“Rama-rama si kumbang jati,
Khatib indah pulang berkuda,
Patah tumbuh hilang berganti,
Pusaka tinggal bagitu juga.”

Pantun agama:—

“Banyaklah hari antara hari,
Tiada semulia hari Juma’at,
Banyaklah nabi antara nabi,
Tiada semulia Nabi Muhammad.”

Pantun nasihat:—

“Anak Cina membawa madat,
Dari Perak langsung ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.”

Soalan Ulangkaji:

1. Huraikan bagaimana timbulnya dan perkembangan pantun Melayu.

2. Adakah kamu bersetuju kalau dikatakan bahawa pantun itu hak Melayu asli ? Apa sebabnya ?

3. Apakah pendapat sarjana barat dan tempatan mengenai pembayang maksud dan maksud pantun?

4. Pantun ialah bentuk puisi yang terikat. Apakah syarat-syarat yang terdapat pada pantun Melayu?

5. Dengan memberi contoh-contoh, terangkan jenis-jenis pantun Melayu yang menggambarkan berbagai-bagai peristiwa dan suasana.

6. Apakah yang dikatakan pantun seloka ?

7. Apakah pantun berkait ? Beri sebuah contoh.

8. Bagaimana bentuknya pantun talibun ?

Petikan dari:

SASTERA MELAYU LAMA (untuk Tingkatan Menengah dan Atas) oleh ANNAS HAJI AHMAD, Terbitan Saudara Sinaran Berhad (Tahun 1964)

About these ads

Single Post Navigation

2 thoughts on “Pantun Melayu

  1. ixara on said:

    thanks for the info>really appreciate it<

  2. Pingback: Abu Merah Jambu : Episod 16 : Pensel Kontot

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers

%d bloggers like this: