SANDIWARA

tracking ORIGINS

HIKAYAT HANG TUAH: Huraian dan Penilaian

HIKAYAT HANG TUAH: Huraian dan Penilaian
oleh Annas Haji Ahmad

i. Huraian Terhadap Hikayat Hang Tuah

Selama ini berbagai pendapat dan hujah telah diberi mengenai Hikayat Hang Tuah, tetapi biarlah hujah ini dibentangkan bila kita memperkatakan H.H. Tuah itu sendiri. Satu perkara yang patut kita akui sekarang ialah bahawa H.H. Tuah adalah sebuah hasil sastera Melayu yang indah yang hingga sekarang sukar ditandingi kalau kita pandang dari segi tema dan plotnya.

Dengan itu juga bangsa Melayu patut berasa megah akan legenda yang terkenal ini; hasil sastera yang bukan sahaja menggambarkan kecemerlangan kerajaan dan hulubalang Melayu, tetapi yang kaya dengan imbasan yang dibawanya.

Watak Hang Tuah kita temui dalam dua buah hasil sastera yang agong iaitu Sejarah Melayu dan H. H. Tuah. Supaya lebih jelas gambaran Hang Tuah dalam kedua hasil sastera ini, elok sekiranya kita bandingkan sifat dan watak Hang Tuah dalam kedua-dua teks tersebut.

Hang Tuah sudah pasti mempunyai sifat sejarah, tetapi dari ‘Sejarah Melayu’ susah hendak ditinjau tentang watak Hang Tuah, kerana Hang Tuah tidak digambarkan dengan selengkap-lengkapnya. Dalam ‘Sejarah Melayu’ tidak ada perkembangan wataknya dari kecil hingga tua, seperti yang terdapat dalam H.H. Tuah. Dalam ‘Sejarah Melayu’, sedikit sahaja peristiwa yang berlaku dan yang kena-mengena dengan watak dan peribadi Hang Tuah. Dalam Hikayat Hang Tuah, diceritakan dengan lanjut watak dan peribadinya dari kecil hingga ke zaman tuanya.

Dalam ‘Sejarah Melayu’, pertama kita jumpai watak Hang Tuah sebagai watak terkenal semasa Hang Tuah mengiringi Sultan Mansor Shah ke Majapahit untuk meminang Radin Galoh. Di sini Hang Tuah diceritakan sebagai hulubalang terkenal dan hulubalang harapan, “dan Hang Tuah itu yang terlebih cerdik, gagah berani dari yang lain”. Ketika Hang Tuah berada di Majapahit, sedikit sahaja diperlihatkan perkembangan wataknya dan Hang Tuah tidak membolot semua peranan utama dalam segenap peristiwa dan kejadian. Hang Tuah hanya digambarkan sebagai ahli rombongan dan tidak sebagai ketua rombongan.

Dalam H.H. Tuah, watak Hang Tuah dilukiskan dari masa ianya kecil hingga dewasa dan sampai ke Majapahit untuk mengiringi Sultan Mansor Shah.

Dalam Bab 2 H.H. Tuah kita bersua dengan wataknya masa ia berumur 10 tahun. Pada masa ini telah kelihatan bakat bakanya yang ada padanya. Hang Tuah semasa belayar dan bertemu dengan lanun telah menunjukkan bakat seorang ketua yang cerdik, pintar dan berani, seorang yang tahu menguasai suasana dan situasi genting. Dalam pertempuran dengan lanun, Hang Tuah memperlihatkan keperwiraannya, tahu bermain senjata dan hatinya cekal.

Penghulu Batin juga tatkala memberitahu Bendahara, tentang kisah Hang Tuah dan kawannya berlawan dengan lanun, telah berpendapat bahawa Hang Tuah mempunyai sifat, sikap dan perkataan hulubalang juga. Sifat, keperwiraannya dibuktikan lagi semasa menentang orang mengamuk. Taat setia kapada tuan, lemah lembut dan merendah diri yang kena pada tempatnya, kepandaian bercakap dan mengambil hati boleh dilihat dalam watak Hang Tuah dari masa ia masih kecil.

Dalam H.H Tuah juga terdapat gambaran tingkah laku dan sifat Hang Tuah yang kerapkali digunakan oleh pengarang moden untok memburuk-burukkan sifat dan peribadi Hang Tuah. Contoh ‘sifat buruk’ Hang Tuah yang dijumpai sebagai  utusan ketika dia pergi meminang Tun Teja yang berbunyi, “Jika Si Tuah gerangan membawa titah itu sehingga putih tulangnya tiada putih mata,” digunakan oleh sarjana moden untuk merendah-rendahkan tingkah laku Hang Tuah sebagai hulubalang yang bermegah dan sombong dan mengagongkan diri sendiri. Tingkah laku Hang Tuah dalam H.H Tuah mestilah dilihat dari segi sembolisnya, iaitu dari segi ketaatan dan kesetiaannya berkhidmat untuk umat Melayu.

Cuba kita perhatikan lagi gambaran watak Hang Tuah dalam H.H. Tuah. Sebab gagal mendapatkan Tun Teja (pada pertama kalinya, dari utusan peminangan yang ditolak), Sultan Melaka telah menitahkan Hang Tuah dan kawannya ke Majapahit untuk meminang Radin Galoh. Di sini wataknya dilukiskan dalam beberapa peristiwa yang mengerikan dan mengkagumkan. Dari saat ia menjejak tanah Majapahit, Patih Gajah Mada dan Bentara Majapahit telah membuat helah hendak memberi malu kapada Hang Tuah dan tuannya. Malah ini telah dijadikan pokok cerita hingga sampai ke tingkat mencari jalan untuk membunuhnya.

Di Tanah Jawa ia memperlihatkan hampir semua unsur, perwatakannya, keperwiraan, keberanian, ketaatan, kesetiaan, kecerdikan, keahlian bermain senjata, kapandaian dalam ilmu, kebijaksanaan menguasai peristiwa dan suasana.

Sifatnya dalam keberanian, kecekalan hati, keyakinan penuh pada kebolehan diri sendiri dan pendekar bermain senjata dapat dilihat dalam pertempuran dan pertikamannya dengan beberapa parajurit Jawa yang mengamuk. Unsur ini kelihatan bukan sahaja dalam menghadapi musuh dari Jawa bahkan musuh lain juga, seperti Feringgi.

Hang Tuah juga digambarkan sebagai orang yang tahu pelbagai ilmu, pendekar, kebal, pandai dalam ilmu pengasih (iaitu jelas waktu mengambil Tun Teja); juga Hang Tuah suka belajar ilmu akhirat dari seorang Sheikh dan tahu akan ilmu menawarkan arak.

Kesetiaannya kapada raja mengatasi segalanya, dan ini telah dibuktikan dalam beberapa peristiwa. Untuk menunjukkan kesetiaan kapada rajanya, Hang Tuah sanggup menolong menaikkan kuda anak raja yang telah jatuh ke dalam jamban. Hang Tuah sanggup membunuh Hang Jebat bila dititahkan oleh raja, walaupun Hang Jebat menderhaka kerana hendak membelanya.

Pendirian Hang Tuah lain dari Hang Jebat kerana, “Anak Melayu pantang durhaka” menjadi lambang hidupnya. Pada saat yang lain pula, Hang Tuah rela masuk ke dalam kubur untuk ditanam hidup-hidup, kerana menyempurnakan kehendak raja yang ingin tahu apa yang berlaku di dalam kubur.

Hang Tuah juga mempunyai bakat seorang diplomat, ia diutuskan ke lndia, kemudian kerana kelakuannya yang baik, kepintaran serta kebijaksanaannya, Raja India mengutuskan Hang Tuah ke negeri China. Hang Tuah juga pergi ke Siam, Mesir dan Rom sebagai duta Raja Melaka. la juga dikatakan dalam H.H. Tuah, telah bertemu dengan Nabi Khidir dan dengan pertolongan Nabi Khidir, Hang Tuah boleh bercakap dalam bahasa apa sahaja.

Pada dasarnya antara ‘Sejarah Melayu’ dan H.H. Tuah, terdapat beberapa perbezaan cerita. Kisah Hang Tuah berbeza kerana dari satu pihak ditilik dari cermin mata sejarah, dan dari pihak yang lain lagi ditilik dari segi hikayat atau legenda. Jadinya kedua-dua cerita ini berlainan; satunya ialah sumber sejarah dan satu lagi sebagai mitos, walaupun dasar pokoknya sama.

Dalam ‘Sejarah Melayu,’ watak Hang Tuah termasuk dalam golongan manusia biasa; kelakuan dan perbuatannya tidak asing kapada kita. Tingkah lakunya adalah yang sewajarnya dilakukan oleh seseorang, dan segala kejayaannya yang disebutkan dalam Sejarah Melayu adalah hal-hal yang biasa sahaja. Kita rasa, kita sendiri dalam keadaan yang sama, dapat melakukan seperti yang dilakukan oleh Hang Tuah. Perbuatan dan tingkahlaku Hang Tuah dalam ‘Sejarah Melayu’ adalah perbuatan dan kelakuan yang masuk akal. Juga dari segi pergaulannya kita dapati Hang Tuah manusia biasa.

Dalam H.H. Tuah ada beberapa peristiwa yang tidak diceritakan dalam Sejarah Melayu, contohnya kedatangan Hang Tuah ke Majapahit yang lebih dari tiga kali, dan perompakan di Melaka yang dilakukan oleh parajurit Jawa.

Kemudiannya terdapat pula beberapa pertelingkahan. Yang besar ialah pertikaman Hang Tuah dengan seorang sahabatnya yang dalam Sejarah Melayu disebut Hang Kasturi tetapi dalam H.H. Tuah dikatakan dengan Hang Jebat.

Dalam ‘Sejarah Melayu’ yang pergi ke lndia dan China dan melarikan Tun Teja ialah Hang Nadim. Tetapi dalam H.H. Tuah, semua ini dan beberapa kejadian lain lagi telah dikatakan dilakukan oleh Hang Tuah sendiri.

Dalam ‘Sejarah Melayu’, apa yang dipentingkan ialah sejarah atau apa yang dianggap sejarah atau sejarah. Kejadian di riwayatkan sedapat-dapatnya saperti apa yang betul-betul berlaku atau apa yang dianggap benar.

Dalam ‘Sejarah Melayu’ pun tidak dapat dinafikan adanya tokok tambah, tetapi nipis kalau dibandingkan dengan gambaran Hang Tuah dalam H.H. Tuah.

Hang Tuah dalam H.H. Tuah meningkat ke tangga legenda. Dalam cerita yang demikian, apa yang dipentingkan ialah peranan utama dari watak utama dalam tiap-tiap kejadian atau peristiwa, dan perwatakan itu disanjung, dibesar-besarkan dan didewa-dewakan. Hang Tuah dalam H.H Tuah meningkat ke tingkat legenda dengan sifat-sifat mitosnya.

Dengan kuasa-kuasa ilmunya ia mengambil kerisnya yang di simpan dalam peti tujuh lapis. Ia membunuh berpuluh-puluh parajurit Jawa, dan bertikam dengan Petala Bumi Sang Winara yang telah bertapa selama 7 tahun, dan semasa bertikam ini, masing-masing menukar-nukar rupa untuk menunjukkan ketinggian ilmu masing-masing. Watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah diselimuti oleh suasana kesaktian dan ghaib.

Dalam Hikayat Hang Tuah, tokoh Hang Tuah dijadikan tiang kerajaan Melayu di masa lampau. Bangsa Melayu dilambangkan dalam diri Hang Tuah hingga watak Hang Tuah menjadi perwira yang berunsur mitos, yang dapat membela keselamatan dan keamanan bangsa Melayu.

Cerita mengenai Hang Tuah dalam ‘Sejarah Melayu’ sangat sederhana, tidak dilebih-lebihkan, dan dapat diterima akal. Hang Tuah sebagai tokoh sejarah yang tidak sepi dari kelemahan-kelemahannya dan tidak begitu banyak sifat-sifat legendarisnya.

Seterusnya untuk meringkaskan gambaran watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, di sini digambarkan beberapa peristiwa dalam kedua-dua buku tersebut.

Dalam H.H. Tuah zaman hidup Hang Tuah meliputi zaman sejak timbulnya kekuasaan Melayu di Bentan hingga ke Melaka. Zaman ini dapat diagakkan pertengahan kurun masihi yang keempat belas, tetapi ceritanya dilanjutkan hingga Melaka dikalahkan oleh Feringgi. Setelah itu, Hang Tuah hidup bersembunyi hingga lewat tahun masihi 1641. Dalam ‘Sejarah Melayu’ tersebut juga ada kisah Hang Tuah meninggal dunia.

Dalam Hikayat Hang Tuah, disebutkan Hang Tuah pergi ke Majapahit untuk beberapa kali, tetapi dalam Sejarah Melayu hanya sekali sahaja. Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah diutuskan juga ke negara-negara lain selain dari Majapahit.

Di-dalam Hikayat Hang Tuah terdapat dua kali Hang Tuah kena fitnah dan dihukum mati, tetapi dalam Sejarah Melayu sekali sahaja. Bagitu juga dalam Hikayat Hang Tuah, peristiwa curi-mencuri keris berlaku tiga kali manakala dalam Sejarah Melayu hanya sekali sahaja, dan bukan Hang Tuah yang terlibat, tetapi Seri Bija Sura.

Bagitu juga harus kita perhatikan bahawa dalam Hikayat Hang Tuah terdapat lima kali peristiwa amok, dua kali Hang Tuah berguru pada orang pertapa dan dua belas kali berlaku percubaan membunuhnya.

ii. Nilaian Terhadap Hikayat Hang Tuah

Bilamana dan di mana Hikayat Hang Tuah tertulis, sukar hendak ditentukan, tetapi sebahagian besar dari kekaburan ini akan jelas dalam huraian berikut. Pada asasnya, soal hendak menentukan tempat Hikayat Hang Tuah dalam kesusasteraan Melayu belum mendapat persetujuan penuh dari sarjana-sarjana yang terkemuka.

Misalnya Juynbol — dalam katalog naskah Melayu dan Sunda ia memasukkan Hikayat Hang Tuah dalam golongan ‘fiction’ (cereka). Van Ronkel juga bersependapat dengan Juynbol.

Hooykaas pula telah mensifatkan Hikayat Hang Tuah sebagai ‘Malay Legendary Novel’ yang mempunyai unsur sejarah. Winstedt telah memasukkan Hikayat Hang Tuah dalam babak “Malayo-Javanese Romance”, kerana kata-nya, timbul-nya unsur-unsur hero dalam Hikayat Hang Tuah kerana dibina atas unsur-unsur hero dalam Hikayat Panji.

Mengikut Dr. A. Teeuw pula, Hikayat Hang Tuah adalah sebuah mitos. Kassim Ahmad yang pernah mengkaji Hang Tuah secara mendalam, meletakkan Hikayat Hang Tuah dalam golongan epos, kerana katanya dalam Hikayat Hang Tuah terdapat ciri epik sebab berdasarkan peri luas alam ceritanya, dan peri sifat kemanusiaannya.

Pada asasnya kita bersetuju, bahawa Hang Tuah adalah manusia sejarah. Tetapi kita hanya dapat menilai Hikayat Hang Tuah sebagai sebuah hasil sastera kerana Hikayat Hang Tuah tidak lain dan tidak bukan adalah sebuah ‘literary writing’ atau ‘literary creation’ yang dapat dinilai kerana memberi gambaran masyarakat zamannya.

Watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah mestilah kita kaji dari segi perlambangannya. Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah bukanlah Hang Tuah biasa, tetapi Hang Tuah yang melambangkan umat dan bangsa Melayu dan kesanggupan umat Melayu zamannya.

Segala gambaran kesetiaan, kegagahan, kemasyhuran umat Melayu adalah disenyawakan dalam watak dan manusia Hang Tuah. Tema yang diutamakan dalam Hikayat Hang Tuah ia-lah:—

i. Kesetiaan dan ketaatan umat Melayu yang digambarkan dalam sifat dan watak Hang Tuah.
ii. Kesanggupan dan kemasyhuran bangsa Melayu saperti yang digambarkan dalam pengembaraan dan kebolehan Hang Tuah.

Soal fantasi yang menyelimuti watak Hang Tuah dan sifatnya, bukanlah soal yang luar biasa dalam sastera yang dituturkan dari mulut ke mulut. Dan, dalam menggambarkan kesanggupan bangsa Melayu dalam zaman cemerlangnya, perkara yang dilukiskan itu tentu tidak lagi menjadi soal. Soal khayal adalah soal biasa dalam sastera sezaman dengan Hikayat Hang Tuah dan terdapat dalam hikayat-hikayat yang lain. Soal realiti adalah soal sastera abad dua puluh ini.

Nyata sekali bahawa dalam sejarah perkembangan semangat kebangsaan, tiap-tiap bangsa mengkehendaki satu rupa pembelaan semula semangat bangsanya, kerana semangat itu telah dilumpuhkan oleh penjajah dan keadaan moral bangsanya telah merosot. Maka timbullah daya dan keadaan memulih kembali moral yang runtuh itu, setidak-tidaknya dengan menggambarkan kecemerlangan bangsanya pada sesuatu ketika.

Pengolahan tema di atas dalam Hikayat Hang Tuah adalah melalui watak-wataknya, dan watak-watak ini pula memainkan peranan mereka masing-masing. Hidupnya watak-watak ini adalah berdasarkan gambaran keadaan dan peranan yang dimainkan. Yang penting disebutkan ialah watak yang terkemuka sahaja, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Raja Melaka, Bendahara Paduka Raja, kemudian dituruti pula oleh Tun Teja dan Pateh Kerma Wijaya.

Pertikaman Hang Tuah dengan Hang Jebat

Sepanjang hikayat ini, pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat adalah babak yang mustahak sekali kerana babak ini merupakan kemuncak kepada perjalanan Hikayat Hang Tuah dan menjadi intipati pengolahan cerita. Babak ini telah dilukis dengan teliti dan baik, dan di dalamnya terdapat kata-kata  yang menyayatkan hati. Nilaian tertinggi terhadap Hikayat Hang Tuah terdapat dalam babak ini, iaitu apabila dua orang hulubalang Melayu dihadapkan untuk menjalankan tugas yang mereka anggap sebagai pembelaan atas ‘kebenaran’.

Soal yang membawa kapada pertikaman ini adalah unsur yang terbaik dalam Hikayat Hang Tuah. Dari segi tragedi dapat kita lihat kata-kata Hang Jebat, “Cis Si Jebat dengan SiTuah, hulubalang Raja Melaka, mati tiada berguna, jika Si Jebat dengan Si Tuah gerangan dititahkan Raja Melaka menyerang negeri orang, aku dua orang itu pun dapat mengalahkan.” Cuba perhatikan keindahan susunan kata dari kedua-dua hulubalang ini yang menyebabkan babak ini tinggi nilai sastera-nya.

Hang Tuah berkata, bahawa kalau lain dari dosa yang telah dilakukan oleh Hang Jebat, “barang tipu dayaku pun kuperlepaskan juga engkau daripada mati.” Hang Jebat pula berkata, “Aku pun kerana melihat engkau dibunuh oleh Bendahara, tiada dengan dosanya, sebab itulah hatiku sakit.”

Bersabit dengan pertikaman ini dapat kita membuat beberapa rumusan. Hang Tuah telah sekali lagi membuktikan kapada rajanya bahawa ia adalah lambang kesetiaan Melayu, iaitu umat Melayu tidak sekali-kali menderhaka walaupun rajanya telah menjatuhkan hukum bunuh ke atasnya. Kedua-dua hulubalang ini merupakan wakil-wakil dari masyarakat zaman itu. Tuah melambangkan unsur ‘the divine right of king’ dan kesetiaan yang tidak berbelahbagi.

Jebat melambangkan unsur menuntut bela dari golongan yang memandang tindakan raja salah pada sisi keadilan. Oleh kerana Hang Tuah adalah lambang kesetiaan Melayu yang sudah menjadi tradisi zamannya, tindakan Hang Tuah membunuh Hang Jebat memang benar dan kena pada tempatnya. Tindakan Hang Jebat membunuh dayang-dayang raja dan membuat sesuka hatinya adalah bertentangan dengan tatasusila zamannya. Perbuatannya ialah perbuatan yang dikutuk.

Tetapi sifat Hang Jebat tidak kurang pula sebagai wira Melayu. Hang Jebat hidup dengan kepercayaan kapada kata-kata “Nama yang jahat jangan kepalang” dan “Sekali-kali tidak menyesal dan takut akan mati”.

Dalam zaman Hang Tuah dan Hang Jebat, soal keadilan tidak timbul. Dengan itu meskipun pemberontakan Hang Jebat tidak mendapat simpati dari zamannya kematiannya adalah kematian dalam ‘tragedi’. Pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat ialah satu ‘human tragedy’ yang besar yang merupakan satu keindahan dalam pengolahan plot Hikayat Hang Tuah.

Hang Tuah bukanlah manusia tanpa perasaan, kerana dalam bahagian ini kita diperlihatkan dengan beberapa peristiwa tangisan antara kedua hulubalang itu dan Hang Tuah sanggup menerima pesan Hang Jebat mengenai anak Hang Jebat. Juga Hang Jebat mati dalam pangkuan Hang Tuah, dan Hang Tuah berkata kapada Raja, “kerana sahabat pada patik dan saudara kapada patik daripada kecil sampai besar kerana dunia ini tuanku pun lebih maklum.”

Rumusan

Hikayat Hang Tuah hidup sebagai sebuah hasil sastera Melayu lama, dan mempunyai keindahannya. Apa yang telah dilakukan oleh pengarang Hikayat Hang Tuah ialah mengambil watak Hang Tuah dari manusia sejarah Hang Tuah dan ketika membina watak ini, ia disenyawakan dengan aspirasi dan perasaan, sifat dan keadaan-keadaan dalam masyarakat Melayu zamannya. Hikayat Hang Tuah menggambarkan zamannya; watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah adalah model-model manusia zamannya.

Tema kesetiaan, kesanggupan dan kejayaan umat Melayu disenyawakan dengan semesra-mesranya dalam watak Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah adalah sebuah roman sejarah bercorak kebangsaan yang mempunyai seni dalam erti ianya menyuarakan perasaan, dan kesanggupan umat Melayu zamannya. Penyuaraan kesetiaan, kesanggupan dan kedayaan umat Melayu adalah dalam bentuk sindiran atau kiasan. Sindiran dan kiasan di sini adalah untuk membaiki, memberi moral dan alasan kapada sesuatu kejadian.

Walaupun Hikayat Hang Tuah tidak menyebutkan pengarang dan tarikhnya ianya dikarang, dapat juga kita mengagak-agak dengan tepat bahawa hikayat ini telah ditulis setelah negara Melayu merasai penjajahan barat, iaitu penjajahan Feringgi.

Sebelum itu kekayaan Melaka adalah terkenal. Untuk memegahkan kembali semangat perjuangan dan membangkitkan moral yang dilumpuhkan, Hikayat Hang Tuah dikarang dengan berdasarkan manusia Hang Tuah yang pernah menjadi hulubalang Melaka. Cara membina kembali moral dan menyemaikan semangat ialah dengan menghidupkan seluas-luasnya alam pengembaraan, kegagahan Hang Tuah hingga berupa satu seni yang indah.

Kejayaan pengarang Hikayat Hang Tuah ialah dalam menggambar Hang Tuah sebagai Adiwira Melayu. Sifat kewiraan ini digunakan pada masa umat Melayu lemah moralnya, untuk memulih kembali moral itu atau sekurang-kurangnya menanam kepercayaan dan pegangan bahawa pada suatu masa dahulu umat Melayu gagah, setia dan punya kesanggupan.

Cara ini merupakan satu seni sastera yang dapat kita samakan dengan konsep ‘sastera untuk masyarakat’. Pada satu situasi, kita dapati manusia Hang Tuah dengan sejarah kepahlawanannya, pada situasi yang satu lagi, kita dapati keadaan moral umat Melayu yang lumpuh. Pengarang menggunakan watak Hang Tuah untuk menebus keadaan ini.

Ketika menilai Hikayat Hang Tuah, hendaknya janganlah dipisahkan masyarakat dengan keadaan dalam masyarakat, dan keadaan yang menyebabkan Hikayat ini timbul.

Kalau kita menilai Hikayat Hang Tuah dari kaca mata kita sekarang, dan menggunakan konsep sekarang untuk apa yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, kita mungkin berakhir dengan kegagalan. Konsep keadilan, konsep kesetiaan, soal nyata dan khayal berlainan sekali antara dahulu dengan sekarang.

Episod pertikaman dalam keadaannya sendiri telah menimbulkan berbagai pendapat. Episod yang seindah ini dari segi sastera, drama dan tragedi, belum pernah kita dapati dalam sastera Melayu lama yang lain, dan sehingga sekarang pun belum ada persamaannya.

Pertikaman di antara dua sahabat yang gagah ini dan soal-soal yang timbul sebelum pertikaman dan penjelasan Hang Jebat mengenai tindakan yang diambilnya, kesetiaan Hang Tuah yang memilih Raja yang telah menjatuhkan hukum bunuh ke atasnya, dialog dan senario masa pertikaman berlaku, adalah satu babak yang cukup baik dan tinggi mutu pengambarannya.

Ada yang mengambil babak pertikaman ini sebagai lambang pertarungan antara dua ideologi (tradisional dan moden) yang ada kitannya dengan pembaharuan pemikiran pada satu garis masa yang bakal merobah keadaan dan corak pemikiran masyarakat zamannya.

Jikalau kita hendak memahami dan menilai Hikayat Hang Tuah dengan sewajarnya, mestilah kita fahami konsep berikut, dengan latar belakang zamannya:

i. Konsep kesetiaan dan pandangan rakyat terhadap Raja yang memerintah.
ii. Konsep khayalan yang berasaskan masyarakat zaman Hang Tuah dan bukan konsep khayalan dalam abad dua puluh.

Bahasa dalam Hikayat Hang Tuah sebagai sebuah hasil sastera lama memang terpelihara. Kata M.G. Emeis, dalam Bunga Rampai Sastera Kuno, “Hikayat ini diceriterakan dalam bahasa Melayu yang hidup, yang bersemangat, yang jauh lebih baik dari roman sejati.”

Tetapi dalam Hikayat Hang Tuah juga terdapat beberapa kelemahan, contohnya beberapa peristiwa yang telah digambar mempunyai sifat ‘stereotaipnya’ iaitu satu peristiwa dibinakan atas peristiwa yang telah lepas.

Setiap hikayat lama, menggambarkan kebahagiaan untuk heronya pada penghujung cerita. Keistimewaan Hikayat Hang Tuah ialah Hang Tuah, Raja Melaka dan Bendahara Paduka Raja dikekalkan dan tiada ditamatkan riwayat mereka. Berbalik kapada gambaran kejayaan dan kesanggupan umat Melayu, kita dapati bahawa dalam simbolisnya hero-hero kejayaan zaman Melaka dan kebesaran Melayu ini tidak akan lenyap dari sejarah.

Mematikan mereka adalah mematikan sejarah kejayaan dan kegemilangan bangsa Melayu pada suatu masa dahulu. Mereka merupakan lambang perjuangan Melayu dan mungkin manusia sebagai Hang Tuah mati, tetapi manusia Melayu yang dilambangkan dalam sifat Hang Tuah akan terus hidup.

Hang Tuah tidak dapat membunuh Hang Jebat tanpa kerisnya; dan dengan hilangnya keris Hang Tuah disambar ‘buaya putih’, maka lemahlah kekuatan Hang Tuah.

Dalam bentuk perlambangan dapat kita tafsirkan ‘keris’ menjadi ‘senjata’ Melayu. Dengan kerisnya, Hang Tuah yang melambangkan bangsa Melayu, dapat ‘kemegahan’ dan ‘kemasyhuran’; dengan kerisnya bangsa lain yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah menghormati Raja Melaka dan negeri Melaka.

Apakah ‘buaya putih’ itu mungkin saja lambang ‘kuasa barat’ (Feringgi) yang menyambar kekuasaan Melayu secara curi — ketika raja dan orang besar-besar sedang (cuai) bertemasya? Lalu Mahkota Raja Melaka yang terjatuh ke dalam laut melambangkan kedaulatan bangsa Melayu yang terlebur!

Kalaulah kedua-dua benda iaitu keris dan mahkota itu dimaksudkan melambangkan pertembungan nilai dan pemikiran tradisonal melayu dengan nilai dan pemikiran moden barat, hal ini akan memperkuatkan lagi pendapat kita mengenai aliran sindiran ini. Dalam keadaan lambang dan sindiran, Hikayat Hang Tuah dapat hidup sebagai sebuah hasil sastera yang dapat dimegahkan oleh bangsa Melayu. Hingga hari ini belum ada sebuah hasil sastera Melayu yang sebegitu dalam seni dan keindahan sasteranya.

Petikan: Bab XIII, Sastera Melayu Lama untuk Tingkatan Menengah dan Atas, oleh Annas Haji Ahmad, BA (Hons.), Cert. in Ed., terbitan Saudara Sinaran Berhad, Januari 1964.

Filem Hang Tuah

.

About these ads

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 25 other followers

%d bloggers like this: